Skip to content
Home » Kadar Kemalangan Pemandu Lelaki 2.4 Kali Lebih Tinggi Dari Wanita

Kadar Kemalangan Pemandu Lelaki 2.4 Kali Lebih Tinggi Dari Wanita

    Kemalangan jalan raya

    Bila sebut mengenai cara pemanduan pengguna di atas jalan raya, ramai yang lebih skeptikal mengenai skill pemanduan golongan wanita berbanding lelaki. Ada segelintir yang menganggap bahawa pemanduan wanita adalah lebih berbahaya dan tidak selamat.

    Kadar kemalangan lelaki lebih tinggi

    Namun tahukah anda, statistik yang didedahkan melalui laporan Utusan baru-baru ini menyatakan bahawa pemandu lelaki mencatatkan angka kemalangan jalan raya jauh lebih tinggi berbanding wanita.

    Menurut Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Superitendan Dr. Bakri Zainal Abidin, pemandu lelaki kekal mencatatkan angka kemalangan jalan raya paling banyak dengan jumlah yang cedera 19,077 kes berbanding wanita hanya 3,992 kes sahaja.

    Menurut beliau, statistik yang dikumpul untuk tempoh tiga tahun dari 2018 hingga 2021 itu juga mendapati bahawa bilangan pemandu lelaki yang terlibat dalam nahas jalan raya adalah 2.4 kali ganda lebih tinggi berbanding wanita.

    “Mengambil kira bilangan penduduk, lelaki mempunyai purata kadar nahas jalan raya sebanyak 1,351.74 untuk setiap 100,000 penduduk berbanding 537.97 bagi wanita, sekali gus membuktikan lelaki 2.4 kali lebih berisiko berbanding wanita.” katanya.

    Dipengaruhi beberapa faktor

    Walaubagaimanapun, Dr. Bakri menjelaskan bahawa risiko tersebut turut dipengaruhi oleh beberapa faktor.

    Antaranya adalah faktor pendedahan lelaki di atas jalan raya memandangkan majoriti mereka adalah ketua keluarga, dan golongan suami yang lebih kerap memandu berbanding isteri. 

    “Risiko ini juga dipengaruhi oleh faktor pendedahan lelaki di atas jalan kerana majoriti mereka merupakan ketua keluarga yang keluar mencari rezeki setiap hari. Dalam aspek keluarga pula, suami selalunya lebih kerap memandu berbanding isteri,” katanya.

    Sementara itu, memetik laporan yang sama, Pakar Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr. Law Teik Hua berkata angka kemalangan yang lebih tinggi terhadap pemandu lelaki turut disumbang oleh peranan kumpulan itu yang majoritinya memandu jarak jauh. 

    “Kebanyakan lelaki yang bekerja seperti memandu lori dan sebagainya memerlukan mereka untuk memandu jarak jauh dengan kerap sekali gus meningkatkan risiko kemalangan.

    “Namun, tidak dinafikan sikap semula jadi pemandu lelaki yang lebih agresif berbanding wanita yang kebiasaannya lebih bersopan di atas jalan raya turut menyumbang kepada angka kemalangan,” ujarnya.

    Kematian pemandu lelaki lebih ramai

    Dalam pada itu, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut mendedahkan bahawa berlaku perbezaan ketara angka kematian di antara pemandu lelaki dengan pemandu wanita. 

    Statistik yang dikeluarkan itu menyatakan kadar kematian untuk pemandu lelaki adalah lebih tinggi iaitu sebanyak 3,965 kes berbanding wanita, 574 kes.

    Dr. Bakri berkata, ciri berbeza pada lelaki dan wanita mempengaruhi pemanduan seperti persepsi keselamatan dan keselesaan dalam kereta sendiri. Namun ujarnya, kes kemalangan jalan raya sering berlaku tanpa mengira jantina.

    Katanya, sikap memandu dengan terlebih yakin sehingga berbahaya dan di luar kawalan menyebabkan kemalangan jalan raya selain faktor lain seperti memandu menggunakan telefon bimbit dan melebihi had laju.

    Tahu 7 kesalahan utama yang menyebabkan kemalangan jalan raya

    Bermain telefon sambil memandu merupakan salah satu punca berlakunya kemalangan jalan raya

    Sebelum ini, Bjak sudah menjelaskan kepada anda mengenai kesalahan-kesalahan utama yang menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya seperti yang dikongsikan hantaran Facebook Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang

    Untuk ketahui ringkasan kesalahan yang sering dibuat dan denda serta hukuman yang boleh dikenakan kepada pemandu jika didapati melakukannya, sila teruskan membaca di bawah:

    Guna telefon bimbit – mengikut peraturan 17A, LN166/59, tindakan memandu sambil menggunakan telefon bimbit tanpa alat bebas tangan (hands free), anda akan didenda sehingga RM1,000 atau penjara tidak melebihi tiga bulan. Bagi sabitan kedua pula, anda akan didenda sebanyak RM2,000 dan penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali. 

    Tidak berhenti di lampu isyarat merah – Sekiranya anda melanggar lampu isyarat merah, anda boleh didenda sebanyak RM300.

    Potong barisan – Jika didapati bersalah memotong barisan, pemandu boleh didenda sehingga RM300 oleh pihak berkuasa.

    Memotong di garisan berkembar – Jika didapati bersalah, pemandu boleh dikenakan saman sebanyak RM300 serta-merta.

    Tidak pakai seat belt atau helmet – Denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali jika penumpang kereta tidak pakai seat belt belakang. Untuk penunggang motosikal, denda sebanyak RM300 akan dikenakan jika helmet tidak dipakai. 

    Memandu di lorong kecemasan –  pengguna jalan raya yang didapati menggunakan lorong kecemasan boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

    Memandu lawan arus –  Pemandu boleh didenda sehingga RM300, atau lebih dan boleh dipenjarakan jika menyebabkan kemalangan maut, mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Pandu dengan cermat

    Kemalangan jalan raya boleh berlaku pada sesiapa sahaja tanpa mengira jantina. Sebenarnya, ia bergantung kepada sikap pemandu itu sendiri. Jika lebih cermat seseorang itu memandu, maka risiko untuk terlibat dalam kemalangan juga adalah lebih rendah.

    Buang sikap pentingkan diri sendiri dan jangan lakukan kesalahan-kesalahan seperti yang dikongsikan di atas sehingga boleh mendedahkan diri kepada kemalangan jalan raya.

    Ingat, pandulah dengan cermat dan sentiasa patuhi peraturan jalan raya untuk keselamatan bersama.

    Dalam pada itu, pastikan juga kenderaan anda mempunyai perlindungan insurans yang sah. Ingat, anda boleh turut dikenakan tindakan undang-undang jika didapati memandu kenderaan tanpa insurans. Untuk memudahkan serta menjimatkan wang anda, anda disarankan untuk mendapatkan insurans kereta atau motosikal secara online di Bjak yang menawarkan sehingga 15 jenama insurans