Skip to content
Home » Berapa kerap harus anda nilai semula polisi insurans?

Berapa kerap harus anda nilai semula polisi insurans?

    Adakah anda tahu bahawa anda harus membuat semakan polisi insurans anda dari semasa ke semasa?

    Ya! Penting bagi anda menilai semula untuk memastikannya polisi insurans anda memadai dan bersesuaian dengan kepentingan dan keperluan semasa anda. Semasa pertama kali anda membelinya, ia sememangnya dibeli dan diubahsuai sesuai dengan keadaan kewangan anda pada masa itu.

    Tetapi, bagaimana pula dengan sekarang? Kehidupan anda mungkin mempunyai perubahan, yang memerlukan anda untuk mengkaji semula sekiranya polisi anda ketika itu masih bersesuaian dengan komitmen anda pada hari ini.

    Apakah jenis perubahan hidup yang mungkin memberi kesan besar terhadap keperluan insurans anda?

    Perkahwinan atau perceraian

    Perubahan hidup utama yang dimaksudkan adalah seperti perkahwinan dan perceraian. Keperluan kita sudah semestinya berubah serta-merta dengan kehadiran pasangan dan anak-anak. Anda mungkin ingin memberikan perlindungan kepada pasangan anda atau bahkan menyenaraikan anak-anak anda sebagai penerima manfaat daripada pelan polisi anda ini.

    Atau mungkin anda juga ingin mempertimbangkan untuk mengambil joint-plan (pelan bersama) dengan manfaat perubatan bersama untuk anda dan pasangan.

    Begitu juga sekiranya berlakunya perceraian antara anda dan pasangan. Anda harus menyesuaikan perlindungan insurans anda atau membuang benefisiari anda.

    Nota: Penerima manfaat anda adalah orang atau entiti yang anda senaraikan untuk menerima faedah insurans hayat anda.

    Jumlah perlindungan tidak bersesuaian

    Semakan tahunan dapat memastikan anda sentiasa dapat mengemaskini polisi anda sesuai dengan keadaan semasa anda. Mungkin anda mempunyai komitmen tambahan dan anda perlukan perlindungan tambahan. Perlindungan yang anda ambil pada tahun lepas mungkin tidak lagi mencukupi untuk anda pada tahun ini selepas mengambil kira komitmen baru anda.

    Majoriti rakyat Malaysia mempunyai jumlah perlindungan yang tidak mencukupi. Antara faktor yang disebut dalam laporan tersebut adalah kerana kekurangan bajet dan kekurangan maklumat mengenai kepentingan pampasan yang mencukupi.

    Pertukaran kerjaya anda

    Perubahan kerjaya boleh merangkumi kenaikan pangkat, kehilangan pendapatan, pekerjaan baru, potongan gaji, dan lain-lain! Ya, perubahan kerjaya anda secara langsung boleh mempengaruhi status kewangan anda.

    Dengan kenaikan gaji, anda mungkin ingin mempertimbangkan untuk memperluas perlindungan anda dan memilih rancangan polisi yang lebih baik untuk menyesuaikan dengan gaya hidup anda yang semakin meningkat!

    Anda beli rumah baru!

    Ini adalah salah satu pembelian utama yang akan anda buat sepanjang hayat anda. Sekiranya anda baru membeli rumah, sudah tentu anda perlu mengkaji semula polisi insurans anda dengan ejen anda.

    Dengan gadai janji baru, anda mungkin mahu keluarga anda tinggal di rumah selepas ketiadaan anda. Pastikan bahawa polisi anda menyediakan jumlah dan perlindungan yang diperlukan untuk tanggungan anda.

    Seiring waktu berjalan, kehidupan anda berubah. Begitu juga polisi insurans anda!

    Anda dinasihatkan untuk menjadualkan penilaian semula ke atas polisi insurans anda secara tahunan dengan ejen insurans anda untuk memastikan anda dapat merancang secara menyeluruh agar perlindungan semasa anda sentiasa dikemaskini dan mencukupi untuk anda dan tanggungan anda (jika ada).