Skip to content
Home » Berkongsi Jalan dengan Kenderaan Kecemasan: Apa Patut Anda Lakukan?

Berkongsi Jalan dengan Kenderaan Kecemasan: Apa Patut Anda Lakukan?

    Berkongsi jalan dengan kenderaan kecemasan

    Anda sedang memandu di jalan raya dan berada di lampu isyarat. Tiba-tiba, anda melihat sebuah ambulans dengan lampu siren yang menyala datang dari arah belakang melalui cermin kereta anda. Apa yang perlu anda lakukan dalam situasi ini? Untuk pengetahuan anda, ambulans dikategorikan sebagai kenderaan kecemasan. Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pengguna jalan raya mesti memberi laluan kepada kenderaan kecemasan dengan siren yang dihidupkan.

    Bagaimanakah anda harus bertindak balas apabila dihampiri oleh kenderaan kecemasan ketika di jalan raya? Teruskan membaca artikel ini untuk mengetahuinya dengan lebih terperinci. 

    Apakah yang dianggap sebagai kenderaan kecemasan?

    Kategori kenderaan kecemasan
    • Polis
    • Bomba
    • Ambulans
    • Askar

    Apakah yang perlu anda lakukan jika dihampiri kenderaan kecemasan?

    Semestinya, anda perlu gerakkan kenderaan anda bagi memberikan laluan kepada kenderaan kecemasan yang semakin menghampiri. Ini termasuk sama ada mereka datang dari arah belakang atau depan anda.

    Sila bergerak dengan sepantas mungkin apabila anda melihat lampu serta mendengar siren kereta polis, ambulans atau trak bomba.

    Berikut adalah beberapa senario yang mungkin anda hadapi dengan kenderaan kecemasan di jalan raya.

    Senario A: Jika kenderaan kecemasan berada di belakang anda

    Jika anda melihat kenderaan kecemasan datang dari arah belakang, sila perlahankan kereta anda. Berhenti seketika atau tukar ke lorong jauh dari kenderaan kecemasan bagi memberikan laluan. Walau bagaimanapun, jika anda tidak dapat menukar lorong, kurangkan kelajuan kereta dan teruskan dengan berhati-hati.

    Seandainya kenderaan anda sedang berada di dalam kesesakan lalu lintas dengan jalan yang mempunyai banyak lorong, cuba bergerak perlahan-lahan ke lorong lain untuk beri ruang kepada kenderaan kecemasan. Kenderaan kecemasan seperti trak bomba atau ambulans memerlukan ruang (sekurang-kurangnya jurang 3 meter) untuk dilepasi.

    Hentikan seketika kereta anda sehingga kenderaan kecemasan melepasi anda.

    Senario B: Jika anda melihat kenderaan kecemasan berhenti

    Jika kenderaan kecemasan berhenti di sebelah kanan jalan dengan lampunya menyala, perlahankan kelajuan kenderaan anda dan lalu dengan berhati-hati.

    Bergerak ke lorong yang agak jauh. Ini bagi memberi ruang tambahan kepada kenderaan kecemasan untuk bergerak.

    Senario C: Apabila kenderaan kecemasan datang dari arah bertentangan

    Anda sepatutnya berhentikan kenderaan secepat mungkin jika kenderaan kecemasan datang dari arah bertentangan.

    Anda tidak tahu sama ada mereka ingin melalui jalan itu, atau merancang untuk membelok ke simpang di hadapan anda.

    Apa yang tidak boleh anda lakukan?

    Menyekat simpang

    Elak menyekat persimpangan jalan. Jika anda perlu mengalihkan kenderaan anda untuk memberi laluan kepada kenderaan kecemasan, sila pastikan anda tidak berhenti di tengah-tengah simpang.

    Jika pada ketika itu anda sedang berada di persimpangan jalan, sila pandu keluar dahulu dari simpang tersebut sebelum berhenti.

    Dalam sesetengah kes, pemandu kenderaan kecemasan mungkin menggunakan pembesar suara untuk memaklumkan pemandu yang menghalang laluan mereka.

    Mengikut kenderaan kecemasan

    Jangan mengambil kesempatan dengan mengikut rapat kenderaan kecemasan yang sedang mengaktifkan siren.

    Ingat, jangan mementingkan diri sendiri dengan memintas kenderaan lain dan mempercepatkan perjalanan anda menggunakan situasi semasa.

    Bolehkah anda disaman kerana menghalang laluan kenderaan kecemasan?

    Beri laluan kepada kenderaan kecemasan

    Mengikut  Kaedah 9 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959, kenderaan kecemasan yang sedang bertugas mempunyai hak laluan ke atas semua lalu lintas lain.

    Kaedah 9(1) menyatakan bahawa:-

    1. Mereka mesti memberi amaran kepada orang lain bahawa mereka menghampiri dengan membunyikan siren, loceng atau hon dua nada.
    2. Mereka masih terikat dengan tanggungjawab undang-undang dan undang-undang jalan raya mengenai pemanduan berbahaya, cuai atau tidak bertimbang rasa.

    Oleh itu, adalah satu kesalahan untuk menghalang mereka. Berikut adalah beberapa kes yang melibatkan orang ramai menghalang laluan kenderaan kecemasan:

    • Polis menahan dua lelaki kerana sengaja menghalang ambulans yang membawa pesakit ke hospital pada Mac 2022. Mereka disiasat mengikut Seksyen 341 kod yang sama kerana kesalahan menghalang.
    • Dua lelaki yang memasuki laluan ambulans telah didakwa di Mahkamah Majistret pada Mac 2022 mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Bertimbang rasa dengan kenderaan kecemasan di jalan raya

    Tidak salah untuk mempunyai sikap bertimbang rasa. Sila beri laluan untuk kenderaan kecemasan melepasi anda. Siapa tahu, mungkin anda boleh menyelamatkan nyawa seseorang dengan tindakan anda itu.


    Bjak merupakan platform perbandingan insurans kereta terbesar di Malaysia yang menyediakan 15 syarikat insurans untuk pengguna lakukan perbandingan. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak hari ini dan renew insurans kereta atau motosikal anda dengan mudah dan pantas.

    Baca juga: