Skip to content
Home » Bila Perlu Tukar Minyak Hitam Kereta? Ketahui 4 Tanda Ini

Bila Perlu Tukar Minyak Hitam Kereta? Ketahui 4 Tanda Ini

    Signs Your Car Engine Oil Needs Changing

    Minyak hitam kereta atau turut dikenali sebagai minyak enjin dan minyak pelincir berfungsi membersih, menyejuk dan melicinkan pergerakan sekali gus mengurangkan risiko kerosakan pada bahagian enjin kereta.

    Pemeriksaan dan penyelenggaraan minyak hitam kereta secara berkala boleh membantu mengelakkan anda daripada berdepan dengan situasi luar jangka seperti minyak hitam bocor bawah enjin kereta yang mungkin berisiko merosakkan komponen lain dalam enjin kereta anda.

    Bagaimana untuk tahu bila anda perlu tukar minyak hitam kereta? Ada yang berpendapat bahawa minyak hitam perlu ditukar pada setiap 5,000 atau 10,000 kilometer mengikut jenis dan grednya. Ikuti artikel ini untuk ketahui tanda-tanda yang menunjukkan minyak hitam kereta anda perlu ditukar.

    Tanda-tanda anda perlu menukar minyak hitam

    Warna minyak bertukar hitam dan kotor

    Calit dipstick pada kain putih untuk lihat tahap kelikatan minyak

    Meskipun namanya minyak hitam, warnya tidaklah hitam seperti yang digambarkan. Minyak hitam yang bersih atau yang masih baru sebenarnya kebiasaannya berwarna amber (kuning jingga). Lama-kelamaan, warna tersebut akan berubah menjadi gelap dan hitam kesan daripada kotoran dan bendasing akibat pembakaran dalaman enjin kereta.

    Perubahan warna ini tidak akan nampak ketara pada permulaannya, jadi anda disarankan untuk membuat pemeriksaan tahap kejernihan minyak hitam dari semasa ke semasa sekurang-kurangnya sebulan sekali. Bagaimana caranya?

    • Cabut dipstick dan bersihkan dahulu
    • Kemudian, masukkan semula dipstick ke dalam minyak hitam
    • Keluarkan semula dipstick
    • Calitkan dipstick pada kain berwarna putih untuk melihat tahap kelikatan minyak hitam.
    Cek juga paras minyak hitam

    Jangan lupa untuk periksa juga paras minyak hitam anda. Pastikan tidak melebihi atau kurang daripada tahap yang sepatutnya. Sekiranya ia melebihi paras high level, sebahagian minyak pelincir perlu dikeluarkan supaya ia tidak mengganggu kelancaran enjin.

    Sekiranya paras minyak hitam berada di bawah low level, minyak pelincir perlu ditambah untuk mengelakkan kerosakan komponen enjin.

    Enjin kereta meragam

    Enjin kereta mungkin berbunyi kuat jika minyak hitam sudah cair atau gelap dan berkurangan

    Minyak enjin adalah lapisan pelindung yang membantu mengelakkan pergeselan antara komponen logam di dalam enjin dan memastikan enjin berjalan dengan senyap. Apabila minyak hitam semakin cair, berwarna gelap dan tidak ditukar atau berkurangan, ia tidak akan dapat menjalankan fungsinya dengan baik. Sebab itu, bunyi enjin kereta akan kedengaran lebih bising dan kuat seperti ‘bunyi ketukan’.

    Penggunaan bahan api meningkat

    Minyak hitam yang telah cair dan tidak cukup likat akan meningkatkan stress ke atas enjin kenderaan anda


    Peningkatan penggunaan bahan api atau minyak petrol turut menandakan minyak hitam kereta anda sudah perlu digantikan. Minyak hitam yang telah cair dan tidak cukup likat akan meningkatkan stress ke atas enjin kenderaan anda.

    Ini bermaksud, komponen enjin kereta perlu bekerja dengan lebih keras daripada biasa bagi menggerakkan kereta dengan prestasi pemanduan sediakala. Ia secara tidak langsung akan meningkatkan penggunaan petrol atau bahan api.

    Bau kereta terbakar, berasap

    Jika kereta berbau hangit, ia mungkin berlaku disebabkan oleh kebocoran minyak dalam enjin kereta

    Sekiranya anda ada terbau benda hangit atau terbakar, ia menunjukkan bahawa terdapat masalah pada bahagian enjin kereta. Segera hentikan kereta anda di kawasan yang selamat untuk melakukan pemeriksaan segera.

    Kebiasaannya, bau hangit tersebut berlaku disebabkan oleh kebocoran minyak dalam enjin kereta. Boleh jadi juga disebabkan enjin kereta yang terlalu panas sehingga menyebabkan minyak terbakar di dalam sistem ekzos. Masalah ini boleh menyebabkan asap kereta anda bertukar warna menjadi kelabu atau biru.

    Anda disarankan untuk gantikan minyak hitam dengan kadar segera bagi mengelakkan kerosakan yang lebih serius pada kereta seperti kebakaran enjin dan sebagainya.

    Tips pilih minyak hitam kereta yang bersesuaian

    Penting untuk anda mengetahui jenis minyak hitam yang terbaik dan sesuai digunakan untuk kereta anda. Di sini kami sertakan panduan yang boleh ikuti dalam membuat pemilihan minyak hitam yang bersesuaian untuk kereta anda.

    Jenis minyak hitam

    Terdapat pelbagai jenis minyak hitam yang ada antaranya minyak hitam mineral, separa sintetik (semi-synthetic) dan sintetik penuh (fully-synthetic). Setiap jenis minyak hitam kereta mempunyai kelebihan dan kelemahan yang tersendiri. Oleh sebab itu, penting untuk anda mengenal pasti minyak hitam yang sesuai digunakan oleh kenderaan anda.

    • Minyak hitam mineral: Minyak hitam mineral adalah sejenis minyak mentah petroleum yang ditapis. Kebiasaannya, minyak hitam jenis mineral ini tidak tahan lama kerana tiada campuran sebarang formula dalam minyak jenis ini. Ianya lebih murah berbanding minyak hitam yang lain.
    • Minyak hitam separa sintetik: Minyak jenis ini mengandungi campuran minyak asas sintetik (tidak melebihi 30%) dan minyak asas mineral. Ia berfungsi sebagai pelindung enjin yang baik dan lebih tahan lama jika dibandingkan dengan penggunaan minyak hitam mineral.
    • Minyak hitam sintetik penuh: Minyak hitam sintetik penuh ini dapat bertahan untuk tempoh yang lama. Kebiasaannya, minyak ini dijual pada harga yang mahal daripada minyak hitam yang lain.

    Semak tahap kelikatan minyak

    Secara amnya, terdapat dua nombor yang menentukan tahap kelikatan minyak enjin iaitu:

    • Nombor pertama yang berakhir dengan huruf ‘W’ merujuk pada aliran minyak hitam dalam suhu sejuk (winter) – ketika enjin dihidupkan;
    • Nombor kedua pula merujuk aliran minyak hitam ketika suhu operasi normal.

    Minyak hitam dengan kelikatan yang nipis dan rendah mengalir lebih mudah untuk melindungi bahagian enjin pada suhu yang lebih sejuk. Manakala, minyak hitam dengan kelikatan tebal dan tinggi biasanya melindungi enjin dengan lebih baik pada suhu yang lebih tinggi. Anda boleh memilih kadar kelikatan yang sesuai dengan kereta anda dengan merujuk manual pemilik yang disediakan oleh pengeluar kereta anda.

    Standard pensijilan minyak hitam

    Selain itu, minyak hitam juga dilengkapi dengan standard pensijilan minyak enjin seperti:

    • API (American Petroleum Institute)
    • ACEA (European Automobile Manufacturers Association), ILSAC (International Lubricant Specification Advisory Committee)
    • JASO (Japanese Automotive Standards Organization).

    Standard pensijilan ini menunjukkan bahawa produk ini telah memenuhi atau melepasi syarat yang telah ditetapkan. Selain itu, standard pensijilan ini juga merupakan salah satu cara untuk memastikan jaminan prestasi dan kualiti minyak hitam yang dihasilkan.

    Lakukan penyelenggaraan minyak secara berkala

    Jangan lupa untuk sentiasa pantau keadaan minyak hitam kereta anda secara berkala. Sekiranya kereta anda sudah menimbulkan tanda-tanda masa untuk penukaran minyak baharu, jangan bertangguh. Penangguhan penukaran minyak mungkin akan menyebabkan kerosakan pada alat kompenen kereta anda, justeru meningkatkan lagi kos pembaikan yang harus anda tanggung.

    Di samping itu, jangan lupa juga untuk hidupkan insurans anda sebelum tamat tempoh untuk membolehkan anda memandu di jalan raya dengan selamat dan dilindungi. Layari sahaja laman web Bjak untuk buat perbandingan antara syarikat insurans ternama di Malaysia. Banding untuk dapatkan harga yang murah dan jimat sehingga RM480!