Skip to content
Home » Cara Tukar Tayar Kereta

Cara Tukar Tayar Kereta

    Cara tukar tayar kereta

    Tayar kereta merupakan komponen yang sangat penting. Kegagalan pemilik kenderaan untuk menjaga dan menyelenggara tayar kereta dengan baik bakal mendedahkan pemandu, penumpang serta pengguna jalan raya yang lain ke risiko yang lebih merbahaya seperti kemalangan.

    Selain itu, jika anda mengabaikan aspek penyelenggaraan seperti memeriksa tekanan angin tayar, tahap kehausan tayar dan sebagainya, tayar kereta anda juga sebenarnya berpotensi untuk pecah, bocor atau pancit ketika memandu di atas jalan raya.

    Justeru pada artikel kali ini, kami akan kongsikan kepada anda cara-cara untuk menukar tayar kereta jika ia pecah atau pancit secara tiba-tiba.

    Cara tukar tayar kereta

    Langkah 1: Berhenti di tempat yang selamat

    Elak parkir kereta di kawasan yang berbukit atau tidak rata

    Jangan panik. Jika anda mendapati tayar kereta pecah atau pancit ketika memandu, pastikan anda tenang dan berhentikan kereta di tempat yang selamat seperti di bahu jalan, atau tempat yang mudah dilihat oleh pengguna jalan raya lain.

    PRO TIPS: Jangan letakkan kereta anda di kawasan berbukit atau tidak rata. Pastikan jalan tersebut bersifat landai dan stabil. Jika jalan itu tidak rata, ia boleh menyebabkan kereta anda tergelincir daripada jack kereta.

    Langkah 2: Letakkan tanda segi tiga amaran

    Letak papan tanda segi tiga amaran 45 meter dari tempat kereta anda diparkir

    Sebelum ini, Bjak ada berkongsikan kepada anda mengenai beberapa peralatan penting yang perlu sentiasa ada di dalam kereta, dan antaranya ialah papan tanda segi tiga amaran. 

    Sebaik sahaja anda memberhentikan kereta untuk memeriksa dan menukar tayar, pastikan anda meletakkan tanda amaran segi tiga ini sekurang-kurangnya 45 meter dari arah belakang kereta anda sebagai amaran kepada pengguna jalan raya yang lain bahawa kereta anda sedang mengalami kerosakan, dan seterusnya mengelakkan kemalangan.

    Langkah 3: Keluarkan peralatan yang diperlukan

    Keluarkan semua peralatan yang diperlukan untuk memudahkan proses tukar tayar kereta anda

    Sebelum mulakan proses tukar tayar kereta anda yang terjejas itu, pastikan anda terlebih dahulu keluarkan tayar spare yang ada di dalam bonet belakang kereta serta peralatan-peralatan lain yang diperlukan untuk tukar tayar kereta iaitu bicu (jack) dan soket perengkuh (lug wrench) atau sepanar roda. Jika anda menggunakan sport rim lain, pastikan nat khas untuk membuka rim tersebut juga dikeluarkan untuk digunakan. 

    Langkah 4: Longgarkan nat tayar

    Guna lug wrench untuk tanggalkan nat tayar

    Gunakan lug wrench untuk menanggalkan nat atau skru tayar. Sebelum itu, ingat pesan kami tadi supaya meletakkan tayar di permukaan yang landai bagi mengelakkan kereta tergelincir daripada jack kereta ketika anda menukar tayar.

    Langkah 5: Jack kereta

    Elak jack kereta terlalu tinggi

    Biasanya, jack kereta diletakkan berhampiran dengan kereta. Elak daripada jack kereta anda dengan terlalu tinggi untuk mengelakkan kereta daripada terjatuh atau tergelincir. Cukuplah sekadar tayar kereta anda boleh dipusingkan.

    Langkah 6: Tukar tayar kereta

    Gantikan tayar kereta yang rosak dengan tayar spare yang ada

    Tanggalkan nat kereta ikut arah lawan jam. Kemudian, tarik keluar tayar yang rosak itu daripada kereta dan gantikan dengan tayar spare yang ada. Segera ketatkan semula nat tayar kereta tersebut. 

    Langkah 7: Pastikan nat tayar ketat

    Pijak lug wrench untuk pastikan nat tayar sudah ketat

    Turunkan semula kereta anda. Pijak lug wrench untuk pastikan cengkaman skru / nat adalah kuat dan selamat. Anda disarankan untuk mengetatkan nat tayar secara diagonal

    Langkah 8: Segera gantikan tayar spare

    Tayar space hanya boleh digunakan antara 80km hingga 113km sahaja

    Meskipun anda sudah selamat tukar tayar kereta anda, anda dinasihatkan untuk segera menukar semula tayar spare tersebut di mana-mana kedai tayar yang berdekatan. Ini kerana untuk makluman anda, tayar spare yang digunakan itu hanya mampu boleh bergerak secara purata antara 80km hingga 113km sahaja dengan maksimum kelajuan 80km/j. 

    Untuk lebih mudah dan fahamkan dengan lebih jelas, anda juga boleh lihat tutorial / Cara Tukar Tayar Kereta menerusi perkongsian mudah yang dibuat laman YouTube ini. 

    Jangan abaikan penjagaan tayar kereta

    Semoga perkongsian ini dapat membantu anda apabila berdepan dengan situasi tayar pancit, pecah mahupun bocor ketika memandu. Namun, bagi mengelakkan perkara seperti ini daripada berlaku, anda perlu sentiasa peka dan memberi penjagaan yang terbaik untuk tayar kereta anda. Ikuti Tips Penjagaan Tayar Kereta seperti yang telah dikongsikan oleh kami sebelum ini untuk ketahui dengan lebih lanjut. 

    Rajinkan juga diri untuk membuat pemeriksaan tayar secara sendiri atau di bengkel dalam tempoh beberapa bulan sekali, mengikut waktu yang disarankan. Ingat, ia adalah bagi keselamatan anda dan pengguna jalan raya yang lain. 


    Bjak menyediakan 15 syarikat insurans untuk pengguna lakukan perbandingan sebelum memperbaharui insurans. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak hari ini dan renew insurans kereta atau motosikal anda dengan mudah dan pantas.