Skip to content
Home » Elak Jadi Mangsa Penipuan Kereta Klon

Elak Jadi Mangsa Penipuan Kereta Klon

    Hati-hati sindiket kereta klon

    Memiliki kereta sudah menjadi suatu keperluan pada hari ini. Ada yang membeli kereta baharu kerana berasa lebih terjamin, ada yang membeli kereta terpakai, bahkan ada juga yang membeli atau ‘terbeli’ kereta klon untuk digunakan.

    Berbeza dengan kereta baharu dan kereta terpakai, tahukah anda bahawa kereta klon sebenarnya boleh memberi kesan kepada pemandu dan penumpang sekiranya berlaku sesuatu seperti kemalangan jalan raya?

    Ini kerana, kereta klon tidak dilindungi insurans dan bermakna anda perlu menanggung kerugian dan kos pembaikan menggunakan wang sendiri.

    Apakah itu kenderaan/ kereta klon?

    Dari tahun 2016 hingga Mac tahun lalu, sebanyak 314 buah kenderaan kl

    Kenderaan klon didefinisikan sebagai mana-mana kenderaan motor yang digunakan di atas jalan raya atau mana-mana premis yang menyerupai kenderaan motor berdaftar yang lain dari segi jenis, buatan, model dan nombor pendaftaran.

    Secara mudahnya, ia bermakna bahawa identiti kenderaan asal telah dicuri dan digunakan oleh penjenayah pada kenderaan lain. 

    Menurut laporan, dari tahun 2016 hingga Mac tahun lalu, sebanyak 314 buah kenderaan klon telah dirampas. Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Nazli Md Taib berkata, operasi JPJ mendapati bahawa 95% kenderaan klon di Malaysia dibawa masuk dari Singapura. Ia memandangkan republik itu menetapkan kenderaan mempunyai had luput usia dengan kereta yang sudah berusia 10 tahun dianggap tidak selamat dan tidak layak dipandu di Singapura.

    “Bila sampai tahap tempoh itu, kesemua kenderaan terpaksa dilupuskan. Apa yang mereka buat adalah sama ada kenderaan ini dibawa masuk dulu ke dalam negara kemudian baru cari pembeli atau cari pembeli terlebih dahulu,” katanya.

    Apa kesan jika anda beli kereta klon?

    Mana-mana individu yang memiliki kereta klon boleh didakwa atas kesalahan memiliki kenderaan yang tidak didaftarkan. Pemilik kereta klon boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 7 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh membawa kepada hukuman denda tidak melebihi RM2,000. 

    Bukan itu sahaja, jika didapati mempamerkan maklumat nombor pendaftaran palsu, individu itu juga boleh didakwa mengikut Seksyen 103(3)(f) yang membawa hukuman denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak melebihi RM20,000, atau penjara tidak kurang dan tidak melebihi lima tahun jika disabitkan kesalahan. 

    Selain boleh didakwa, pemilik kereta klon juga secara tidak langsung akan mengalami kerugian dua kali ganda berbanding jika membeli kereta terpakai atau kereta baharu.

    Cara elak jadi mangsa penipuan kereta klon

    Tahu cara untuk mengelakkan anda daripada ditipu sindiket kereta klon

    Anda mungkin tidak pernah berniat untuk membeli kereta klon kerana menyedari risiko-risiko yang bakal dihadapi. Namun, anda mungkin akan menjadi mangsa penipuan dan secara tidak sengaja terbeli kereta klon akibat ditipu penjenayah. 

    Jadi untuk mengelakkan anda daripada menjadi mangsa penipuan sindiket kereta klon, ketahui cara untuk mengelakkan diri daripada tertipu seperti yang dikongsikan di bawah:

    Tahu harga pasaran kereta yang anda ingin miliki. Buat perbandingan harga melalui pelbagai platform atas talian yang ada.

    – Hentikan urus niaga jika anda mendapati harga kereta yang ditawarkan jauh lebih murah berbanding harga pasaran biasa. Untuk makluman anda pada kebiasaannya, kereta klon dijual pada harga 50% lebih rendah daripada harga pasaran.

    Periksa Nombor Pengenalan Kenderaan dan pastikan nombor yang tercatat dalam dokumen adalah sama dengan nombor yang tertera pada kereta anda. Pada kebiasaannya, Nombor Pengenalan Kenderaan boleh dilihat di bahagian bonet kereta, cermin hadapan serta bahagian tempat duduk pemandu.

    Elak bayar secara tunai. Ini kerana jika didapati kereta yang dibeli anda itu adalah kereta klon, ia akan menyukarkan pihak polis untuk menyiasat.

    Elak bayar bayaran pendahuluan (deposit) secara tunai dalam amaun yang banyak.

    Teliti setiap dokumen yang diberikan. Jika didapati timbul keraguan mengenai status kenderaan, bawa sahaja ia ke JPJ untuk semakan.

    – Sebelum meneruskan urusan jual beli, tanyakan dulu kepada penjual mengenai nombor pendaftaran, tahun buatan dan model kereta yang ingin dibeli.

    – Beli kereta terpakai daripada pengedar kereta terpakai secara atas talian atau di kedai-kedai pengedar kereta yang sah.

    Hati-hati dengan urusan pembelian kereta 

    Jika anda membeli kereta baharu, anda sememangnya bebas daripada risiko untuk menerima kereta klon. Sebaliknya jika anda memutuskan untuk membeli kereta terpakai, maka anda mungkin sedikit terdedah untuk mendapatkan kereta klon.

    Jadi sila ambil langkah berjaga-jaga dalam memastikan kereta yang bakal dibeli anda itu bukanlah kereta klon. Anda boleh rujuk tips-tips untuk membeli kereta terpakai seperti yang pernah dikongsikan sebelum ini. Selain itu, ikut juga tips-tips yang dikongsikan di atas bagi mengenalpasti serta mengelakkan anda daripada membeli kereta klon.

    Ingat, untuk membeli kereta, anda tidak boleh mengambil masa sehari dua sahaja dan perlu mengambil masa yang sedikit lama. Jangan tergopoh-gapah dan belilah hanya apabila anda yakin ia adalah yang terbaik untuk anda miliki. 


    Bjak menyediakan 15 syarikat insurans untuk pengguna lakukan perbandingan sebelum memperbaharui insurans. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak hari ini dan renew insurans kereta atau motosikal anda dengan mudah dan pantas.