Memandu uji kereta baru sebelum membelinya boleh membantu anda untuk mengetahui sama ada kenderaan itu serasi dengan gaya hidup anda atau tidak. Ia penting kerana membeli kereta adalah pelaburan jangka masa panjang, apatah lagi sejumlah wang yang besar perlu dikeluarkan untuk memilikinya. Justeru sudah tentu, anda ingin memastikan bahawa semuanya sempurna.
Ketika pandu uji, kejadian malang tetap boleh berlaku. Andai kata tidak bernasib baik, seperti contoh tertekan pedal minyak sehingga hilang kawalan dan menyebabkan kemalangan, maka apakah yang perlu anda lakukan?
Ingat, kereta yang anda pandu uji itu masih belum menjadi milik anda. Jadi perlukah anda menanggung kerosakannya? Ayuh teruskan membaca artikel ini untuk ketahui dengan lebih lanjut.
Perlukah anda menanggung kos pembaikan sekiranya berlaku kemalangan ketika pandu uji kereta?
Ia bergantung kepada tahap kerosakan – sama ada ia kecil atau besar.
Kerosakan kecil
Kerosakan kecil biasanya melibatkan beberapa calar dan kesan lain pada badan kereta. Ini biasanya dilindungi di bawah fleet insurance.
Fleet insurance menyediakan insurans liabiliti untuk semua kenderaan dalam syarikat di bawah satu polisi. Polisi ini menyediakan peruntukan untuk membolehkan pekerja syarikat memandu sebarang kenderaan di bawahnya dan diberi pampasan sekiranya berlaku kemalangan.
Secara amnya, pengedar akan ‘menanggung’ kos pembaikan untuk kemalangan kecil. Jadi anda mungkin tidak perlu membayar kos kerugian untuk kerosakan yang kecil.
Kerosakan teruk
Namun, kesnya berbeza jika kerosakan pada kereta yang dipandu uji itu agak teruk. Contohnya, kenderaan terbalik atau terbabas sehingga rosak sepenuhnya.
Siasatan akan dibuat ke atas kemalangan itu untuk menentukan pihak yang bersalah. Anda perlu membuat laporan polis dan biarkan siasatan lanjut dijalankan.
Jika anda terbukti bersalah, anda perlu membayar untuk kos pembaikan. Di sinilah polisi insurans kereta anda yang lain akan membantu anda untuk menanggung kerosakan.
Tetapi, perlu diketahui bahawa ia akan menjadi sukar jika anda tidak mempunyai sebarang insurans kereta yang masih aktif ketika kejadian berlaku. Anda tidak mempunyai pilihan lain selain mengeluarkan wang dari poket anda sendiri.
Contoh kemalangan kereta pandu uji
Mari kita imbas semula kes pada tahun 2021 di mana seorang pemandu, mungkin bakal pelanggan, memandu uji Mercedes-AMG E43 di jalan raya yang lengang. Pemandu itu didapati memandu melebihi had laju.
Bagaimanapun, kereta berprestasi tinggi itu kemudiannya terbabas dan merempuh paip logam yang besar. Akibatnya, kereta tersebut mengalami kerosakan agak teruk pada bahagian bampar hadapan dan hood.
Dalam kes ini, pemandu itu bertanggungjawab di atas kemalangan tersebut. Dia perlu membuat laporan polis dalam tempoh 24 jam bagi membolehkan pengedar kereta itu menuntut insurans.
Jika dia memiliki kereta, kerosakan akan dilindungi oleh polisi insurans keretanya. Tetapi jika dia tidak mempunyai polisi insurans, dia perlu mengeluarkan wang tunainya sendiri.
Situasi yang dikecualikan: Anda tidak perlu membayar untuk kemalangan kereta pandu uji
Pemandu lain melanggar kereta pandu uji anda
Anda tidak bertanggungjawab untuk kos pembaikan jika kemalangan itu disebabkan oleh pemandu lain.
Pihak pengedar akan menguruskan laporan kemalangan dan tuntutan akan dibuat terhadap insurans kereta pemandu lain itu.
Kereta yang dipandu uji rosak
Pihak pengedar perlu bertanggungjawab untuk kos pembaikan jika kemalangan itu disebabkan oleh kerosakan pada kenderaan.
Syarikat insurans mereka perlu membayar pampasan bagi sebarang kecederaan yang dialami oleh sesiapa yang terlibat dalam kejadian itu.
Pandu uji dengan berhati-hati
Perasaan teruja pastinya akan timbul sebaik sahaja anda memandu uji kereta yang mungkin akan menjadi milik anda tidak lama lagi. Justeru, penting untuk anda mengawal perasaan dan sentiasa berhati-hati bagi mengelakkan sebarang kesilapan dan kejadian tidak diingini daripada berlaku.
Bjak merupakan platform perbandingan insurans kereta terbesar di Malaysia yang menyediakan 15 syarikat insurans untuk pengguna lakukan perbandingan. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak hari ini dan renew insurans kereta atau motosikal anda dengan mudah dan pantas.
Baca juga: