Skip to content
Home » Kenderaan Langgar Haiwan Liar? Ini Yang Anda Kena Tahu

Kenderaan Langgar Haiwan Liar? Ini Yang Anda Kena Tahu

    Kemalangan babitkan haiwan dan kenderaan

    Kes kemalangan jalan raya boleh dikatakan berlaku setiap hari di Malaysia. Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Institut Kajian Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), pada tahun 2020, sebanyak 4,634 kematian akibat jalan raya berlaku. Namun angka itu bagaimanapun 24% lebih rendah berbanding data tahun 2019, di mana sebanyak 6,167 kematian dicatatkan pada tahun itu.

    Pada kebiasaannya, masyarakat mungkin hanya ‘terbiasa’ dengan kes kemalangan yang membabitkan sesama kenderaan iaitu antara: motosikal-kereta, motosikal-motosikal, kereta-kereta, kereta-bas, kereta-lori, lori-motosikal, dan sebagainya.

    Namun anda perlu tahu, sebenarnya terdapat juga banyak kemalangan yang membabitkan di antara kereta/ motosikal dengan haiwan liar. Di dalam kejadian ini, dua situasi boleh berlaku iaitu i) kenderaan terbabit kemalangan akibat mengelak daripada haiwan liar yang melintas secara tiba-tiba, ataupun ii)  haiwan liar maut akibat dilenyek oleh kenderaan ketika melintasi jalan raya.

    Dua situasi kemalangan kenderaan-haiwan

    Kenderaan terbabit kemalangan akibat mengelak daripada haiwan 

    Terdapat banyak kes di mana kenderaan terbabit dalam kemalangan akibat mengelak binatang melintas jalan raya

    Untuk makluman anda, terdapat banyak juga kes di mana kenderaan terbabit dalam kemalangan akibat mengelak binatang yang melintas di jalan raya secara tiba-tiba. Sebagai contoh di Negeri Sembilan, sebanyak 943 kes atau 4.7% daripada keseluruhan 19,879 jumlah kemalangan yang direkodkan di negeri itu adalah kemalangan yang disebabkan mengelak binatang melintas termasuk haiwan-haiwan ternakan.

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintenden Ibrahim Abdul Kadir seperti memetik laporan Utusan berkata, pada Januari tahun ini sahaja, sebanyak 78 kemalangan mengelakkan haiwan berlaku daripada keseluruhan 1,467 kemalangan yang direkodkan di negeri itu.

    Contoh lain di Setiu, Terengganu pula, sebanyak 61 kemalangan jalan raya direkodkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tempoh enam bulan pertama 2019 di daerah itu membabitkan haiwan berkeliaran.

    Haiwan liar maut akibat dilenyek oleh kenderaan ketika melintasi jalan raya

    ra spesis haiwan yang paling kerap menjadi mangsa adalah Kucing Batu, Kucing Tulap serta Tapir

    Selain manusia, haiwan juga turut jadi mangsa kemalangan maut di atas jalan raya. Malah untuk pengetahuan anda, angkanya tidaklah sedikit bahkan statistik menunjukkan sebanyak 2,055 haiwan liar telah maut akibat dirempuh atau dilenyek kenderaan dalam tempoh lima tahun (2015-2019).

    Antara spesis haiwan yang paling kerap menjadi mangsa adalah kucing batu, kucing tulap serta tapir. 

    Menurut bekas Menteri Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah seperti memetik laporan Harian Metro, beliau berkata bahawa kes ‘road-kill’ berlaku apabila hidupan liar ini cuba melintas jalan/ lebuh raya untuk bergerak ke kawasan hutan bertentangan bagi mencari makanan, mencari pasangan untuk membiak atau mencari habitat yang lebih sesuai. 

    Selain daripada haiwan spesis kucing batu, kucing tulap dan tapir, antara spesis haiwan lain yang turut menjadi mangsa kemalangan jalan raya adalah beruang, gajah, harimau kumbang, kambing gurun, harimau belang, rusa, dan lain-lain. 

    Antara kes kemalangan maut membabitkan kenderaan dan haiwan liar tahun 2021

    12 Jan 2021 – Di Kampung Gajah, Perak, seorang lelaki maut apabila kereta dipandunya terlibat kemalangan dengan sebuah treler apabila mangsa cuba mengelak bangkai babi hutan di atas jalan raya. Difahamkan, haiwan liar itu mati akibat dilanggar kenderaan lain. 

    31 Jan 2021 – Seekor tapir jantan dengan berat kira-kira 450kg ditemukan mati dipercayai akibat dilanggar kenderaan di tepi Jalan Gua Musang-Kuala Krai. Tapir jantan berusia lapan tahun itu dipercayai mati akibat dilanggar kenderaan dengan terdapat kesan cedera di bahagian badan dan mulut, selain terdapat kesan seretan yang dipercayai menjadi punca kematian haiwan itu.

    12 Feb 2021 – Di Beaufort, Sabah, seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit kemalangan jalan raya di Jalan Bandau, Membakut, disyaki akibat terlanggar seekor haiwan liar. 

    25 Apr 2021 – Tiga individu termasuk seorang kanak-kanak lelaki maut di Kampung Padang Lanjut, Padang Terap dipercayai akibat mengelak haiwan melintas. 

    Kawasan yang kerap berlaku kemalangan kenderaan-haiwan liar

    Sebenarnya, untuk pengetahuan anda kebanyakan kemalangan berlaku di kawasan berdekatan hutan di mana haiwan liar cuba melintas jalan untuk ke satu kawasan hutan dan kawasan hutan yang lain.

    Seperti yang dinyatakan di atas tadi, kes ‘road-kill’ berlaku apabila hidupan liar ini cuba melintas jalan/ lebuh raya untuk bergerak ke kawasan hutan bertentangan bagi mencari makanan, mencari pasangan untuk membiak atau mencari habitat yang lebih sesuai. 

    Bolehkah claim insurans kalau terlanggar binatang?

    Ya, anda boleh membuat tuntutan insurans sekiranya anda terlibat dalam kemalangan dengan haiwan liar ketika sedang memandu, dengan syarat anda memiliki polisi insurans komprehensif. Namun, tuntutan anda itu perlu dibuat di bawah tuntutan kerosakan sendiri (own damage) yang mana ia akan memberi kesan kepada kadar NCD semasa anda. 

    Ini kerana syarikat insurans tidak menyediakan perlindungan khas / tambahan untuk tuntutan insurans jika anda terlanggar haiwan di atas jalan raya. Justeru, selepas tuntutan dibuat, NCD anda akan kembali ke angka sifar dan insurans akan menjadi mahal pada tahun berikutnya.

    Adakah proses claim berbeza?

    Proses untuk claim insurans akibat terlanggar haiwan liar adalah sama seperti claim yang lain.

    Yang penting, anda perlu sediakan dokumen-dokumen seperti salinan kad pengenalan, laporan polis, gambar kondisi kereta seperti yang dilampirkan dalam laporan polis, polisi insurans dan salinan lesen memandu anda. 

    Panduan untuk pengguna jalan raya bagi mengelak kemalangan berlaku

    Kenali papan tanda haiwan melintas

    Sebelum mendapat lesen memandu, anda pasti sudah menghadiri kelas dan melalui ujian komputer untuk mengenal pasti maksud-maksud papan tanda yang dipamerkan di bahu jalan raya. 

    Justeru, anda pasti sedar bahawa terdapat beberapa tanda yang direka bagi mengingatkan pengguna jalan raya supaya berhati-hati untuk melintasi jalan tersebut kerana terdedah dengan risiko haiwan liar melintas secara tiba-tiba. 

    Antara papan tanda amaran haiwan melintas yang anda boleh lihat adalah seperti rajah di bawah:

    Hati-hati dengan papan tanda haiwan melintas

    Pandu dengan berhemah 

    Pastikan anda memandu dengan berhati-hati dan sentiasa berwaspada dengan sebarang kehadiran haiwan liar yang akan melintasi jalan raya tersebut bagi mengelakkan kemalangan.

    Pandu ikut kelajuan yang disarankan, dan jangan mengabaikan papan tanda amaran haiwan melintas untuk keselamatan anda, haiwan liar dan pengguna jalan raya yang lain.

    Sementara itu, pastikan kenderaan anda sentiasa mempunyai perlindungan insurans yang sah, bahkan lebih bagus jika dilindungi dengan insurans komprehensif bagi membolehkan anda boleh membuat tuntutan jika kemalangan seperti ini berlaku pada kenderaan anda. 

    Untuk mendapatkan pelan komprehensif terbaik, anda boleh dapatkan sahaja secara mudah di Bjak. Lebih 15 pilihan disediakan untuk anda lakukan perbandingan. Minta sebut harga percuma dalam hanya 3 minit hari ini jika insurans kereta anda sudah hampir tamat tempoh.