Skip to content
Home » Apa Nak Buat Lepas Dapat Kereta Baru?

Apa Nak Buat Lepas Dapat Kereta Baru?

    beli kereta baru

    Sekian lama guna pengangkutan awam ke sana ke mari, tiba-tiba hari ini perunding jualan kereta call anda bagitahu kereta baru dah boleh ambil esok! Memang rasa excited sangat lah kan…

    Excited tu excited lah juga. Namun anda khususnya pembeli kereta pertama perlu tahu bahawa terdapat beberapa perkara yang anda perlu buat dan cek dulu sebaik sahaja dapat kereta baru anda itu.

    Ingin ketahui apakah ia? Jom teruskan baca artikel ini.

    Semak nombor casis

    Penting! Sebaik sahaja anda mendapat kereta baru milik anda, pastikan anda semak nombor casis kenderaan anda. Untuk makluman, setiap kenderaan memiliki nombor identiti kenderaan seperti mana kad pengenalan anda. Jadi, pastikan semua nombor casis yang tercatat pada geran adalah sama seperti yang ada pada kereta.

    Jika nombor casis tersebut tidak sama atau ditukar secara haram, anda bakal berdepan masalah dengan pihak berkuasa seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) lebih-lebih lagi jika berlaku sesuatu pada kenderaan anda seperti dicuri, kenderaan potong dan lain-lain. 

    Nombor casis pada kebiasaannya akan dicop atau ditempatkan di atas plat besi atau bentuk tertentu sebelum diletakkan pada tempat tertentu pada kenderaan.

    Periksa ‘body’ kereta

    Meskipun kereta yang anda beli itu kereta baru, namun anda tetap perlu menyemak atau cek semua kualiti fizikal pada kenderaan anda itu. Antaranya adalah kualiti cat, kualiti pemasangan kereta dan lain-lain. Pastikan anda berpuas hati dengan semuanya untuk mengelakkan sebarang masalah pada masa akan datang.

    Jika anda mendapati terdapat mana-mana bahagian yang ‘kurang’ pada fizikal kenderaan itu, maka anda ada hak untuk tidak menerima dulu kereta tersebut sehingga ia diperbaiki. 

    Periksa sistem pada kenderaan

    Jangan hanya periksa fizikal kenderaan sahaja sehingga mengabaikan sistem penting pada kenderaan baru anda itu. Pastikan semua sistem/ peralatan/ komponen pada kenderaan anda berfungsi pada tahap yang terbaik dan tiada sebarang lampu amaran menyala ketika kereta dihidupkan.

    Tayar termasuk penukar tayar, wiper, sistem audio, airbag, signal, dan sistem keselamatan perlu dipastikan berfungsi dengan baik sebaik sahaja anda menerima kereta. Jika anda mendapati terdapat sebarang bunyi aneh atau perkara ganjil yang berlaku pada kenderaan anda ketika membawa pulang kereta pada hari pertama, sila bertindak dengan mencatatkan maklumat-maklumat penting berikut: i) masa ii) tarikh kejadian iii) jelaskan situasi pemanduan yang menyebabkan masalah. Kemudian, hubungi segera perunding kereta anda atau hantar email rasmi untuk mewujudkan rekod bertulis mengenai masalah tersebut.

    Jangan biar dalaman kereta dibaluti plastik

    Buka balutan plastik pada kusyen untuk keselamatan anda

    Tahu sayang nak buka atau koyakkan balutan plastik pada kusyen sebaik sahaja baru dapat kereta. Namun sebaiknya, anda koyakkan sahaja plastik itu kerana ia penting untuk keselamatan anda. Ini kerana, kusyen dengan balutan plastik tidak memberikan geseran yang cukup sekiranya anda perlu melakukan brek kecemasan. Akibatnya, anda mungkin akan menggelusur ke depan ketika membrek dan secara tidak langsung boleh mencederakan anda. 

    Adjust tekanan angin tayar kereta

    Isi tekanan angin tayar mengikut tahap bacaan yang disarankan

    Untuk makluman anda, kebanyakan pembuat kereta akan mengenakan angin pada tekanan yang tinggi pada tayar yang baru dipasang di kilang. Ini kerana mungkin disebabkan kereta tersebut diparkir di dalam garaj untuk tempoh yang lama sebelum dibeli pelanggan. 

    Lihat pada bahagian tepi pintu pemandu kereta anda and adjust tekanan angin tayar kereta mengikut tekanan yang dicadangkan.

    Cek kebocoran

    Selepas seharian diparkirkan di rumah, cuba alihkan kereta dan lihat sama ada terdapat sebarang kebocoran cecair keluar dari kereta. Jika ada cecair yang luar biasa seperti cecair minyak pelincir, minyak petrol dan lain-lain, maka kereta anda itu mungkin bermasalah.

    Simpan dokumen

    Sebaik sahaja anda mendapat kereta baru, pastikan anda menyimpan semua dokumen-dokumen penting termasuklah geran, nota perlindungan insurans, surat pinjaman dengan pihak bank, dan lain-lain yang berkaitan di dalam satu fail khas. 

    Selain itu, anda juga digalakkan untuk mengambil gambar nombor salinan kunci untuk kegunaan membuat kunci pendua andai kata kunci anda hilang suatu hari nanti.

    Buku servis dan manual

    Jangan buang atau letak merata buku servis dan manual kenderaan anda

    Sila rujuk manual/ buku servis kereta ada untuk servis kali pertama dan berkaitan sebarang masalah teknikal. Simpan ya buku itu dan jangan diletak merata. Sebaiknya letakkan buku servis dan manual tersebut di dalam dashboard atau laci bawah kerusi penumpang kereta anda (jika ada).

    Tahu tempoh pantang kereta

    Pada kebiasaannya, tempoh pantang kereta atau disebut juga sebagai ‘running in’ adalah berbeza mengikut kenderaan. Sila dapatkan kepastian dengan jurujual anda atau semak buku manual untuk mengetahuinya.

    Dalam tempoh pantang ini (pada kebiasaannya 1000km pertama), anda tidak boleh memandu dengan terlalu laju, buat perjalanan jauh, menunda kenderaan lain, brek mengejut dan lain-lain. 

    Cek tempoh warranty 

    Setiap pengeluar memberikan tempoh warranty atau jaminan yang berbeza-beza mengikut tahun dan juga mileage. Penting untuk anda mengetahui tempoh warranty ini bagi mengelakkan anda daripada memasang aksesori yang melibatkan pemotongan wayar, pemasangan spring, saiz tayar dan apa-apa perubahan asal yang menjejaskan kualiti asal pemasangan. Ini kerana sebaik sahaja anda memasangnya dalam tempoh tersebut, warranty anda mungkin akan terbatal secara automatik.

    Moga bermanfaat

    Moga perkongsian yang diberikan pada kali ini dapat memberi manfaat kepada anda. Ingat, jangan kerana anda terlalu teruja mendapat kereta baru, anda sampai mengabaikan perkara-perkara penting yang perlu disemak.

    Beli kereta bukan seringgit dua, jadi pastikan anda dapatkannya dalam keadaan dan kondisi terbaik sahaja!


    Bjak menyediakan 15 syarikat insurans untuk pengguna lakukan perbandingan sebelum memperbaharui insurans. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak hari ini dan renew insurans kereta atau motosikal anda dengan mudah dan pantas.

    Baca juga: