Bencana alam seperti tanah runtuh boleh berlaku tanpa diduga. Ia boleh mengorbankan nyawa dan harta benda dalam sekelip mata termasuklah rumah dan kenderaan. Memang memilukan apabila kejadian seperti ini berlaku. Selain terpaksa menahan emosi kehilangan perkara yang disayangi, mangsa juga biasanya mula runsing memikirkan kerugian yang dialami.
Sekiranya kenderaan rosak atau musnah dalam tanah runtuh, bolehkah mangsa membuat tuntutan insurans? Adakah ia dilindungi selama ini ataupun mangsa perlu menanggung kerugiannya sendiri?
Jom ketahui jawapannya menerusi perkongsian pada artikel ini.
Kenderaan rosak kerana tanah runtuh, bolehkah claim insurans?
Ringkasnya, insurans kereta waima polisi insurans kereta 1st party sekalipun tidak melindungi sebarang kerosakan, kerugian atau liabiliti akibat bencana alam termasuklah tanah runtuh, tanah mendap, gelinciran tanah, banjir, taufan, ribut kencang, letusan gunung berapi, gempa bumi dan lain-lain.
Oleh itu, anda tidak boleh membuat tuntutan insurans kereta sekiranya kereta anda rosak akibat tanah runtuh atau bencana alam yang lain.
Ini merupakan antara salah satu pengecualian yang dinyatakan di dalam polisi insurans kereta. Pengecualian atau exclusion di sini merujuk kepada perkara yang tidak dilindungi oleh insurans anda. Bermakna, anda tidak layak menerima pampasan sekiranya berlaku sesuatu pada kenderaan anda akibat bencana alam dan anda perlu menanggung sebarang kerugian atau kerosakan jika situasi tersebut berlaku pada anda.
Apa perlu anda buat?
Bagi mengelakkan pemilik kenderaan daripada kerugian sekiranya berlaku kejadian seperti ini, adalah sangat penting untuk anda sentiasa memiliki dan mendapatkan perlindungan tambahan peril khas apabila memperbaharui insurans pada setiap tahun.
Dengan perlindungan tambahan peril khas ini, anda boleh membuat tuntutan terhadap syarikat insurans ke atas kerugian yang dialami dan seterusnya mengurangkan beban anda andai kata ia berlaku.
Secara amnya, jumlah bayaran pampasan yang anda akan dapat adalah bergantung kepada nilai kereta anda dan tertakluk kepada polisi insurans masing-masing. Perlindungan ini juga tidak terhad kepada bayaran tuntutan atau claim payout tetapi termasuk kos pembaikan kerosakan kereta.
Berapakah harga untuk mendapatkan perlindungan tambahan peril khas ini?
Pada kebiasaannya, premium bagi perlindungan ini ialah 0.5% daripada jumlah diinsuranskan. Walau bagaimanapun, ianya mungkin berbeza mengikut pengendali takaful dan insurans.
Untuk membeli perlindungan tambahan ini mudah sahaja. Perasan atau tidak, ketika anda renew insurans kereta anda, anda mempunyai pilihan untuk menambah perlindungan tambahan termasuk perlindungan peril khas atau bencana alam, bukan? Jadi, anda hanya perlu ‘klik’ dan membuat penambahan perlindungan peril khas tersebut sebelum meneruskan dengan pembayaran.
Dapatkan perlindungan untuk kereta dengan secukupnya
Walaupun mungkin jarang berlaku, namun kejadian bencana alam seperti tanah runtuh boleh terjadi pada bila-bila masa tanpa anda duga. Tidak salah untuk bersiap sedia dengan lebih awal supaya anda tidak kerugian andai kata ia berlaku suatu hari nanti.
Selain untuk tanah runtuh, perlindungan tambahan peril khas juga akan membolehkan anda membuat tuntutan insurans sekiranya kenderaan anda terjejas akibat bencana alam lain seperti banjir, tanah mendap, pokok tumbang dan lain-lain.
Jadi, lebih baik sediakan payung sebelum hujan daripada anda menyesal di kemudian hari nanti ya.
Bjak menyediakan lebih 10 jenama insurans untuk pengguna lakukan perbandingan. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak dan pilih pelan terbaik hari ini!
Baca juga: