Skip to content
Home » Lorong Kecemasan Bukan untuk Anda! Ini Fungsi Setiap Lorong di Lebuh Raya

Lorong Kecemasan Bukan untuk Anda! Ini Fungsi Setiap Lorong di Lebuh Raya

    Pandu di lorong yang betul

    Baru-baru ini, tular di media sosial aksi membabitkan 9 buah kereta, berserta sebuah lori tangki yang memotong di sebelah kiri lorong kecemasan. Kedua-dua kejadian tersebut berlaku di kawasan yang berbeza. 

    9 buah kereta memotong di lorong kecemasan

    Perbuatan 9 buah kenderaan tersebut dirakam oleh seorang pengguna jalan raya dan dipercayai berlaku di Jalan Senggala-Sua Betong pada 12 Disember 2021. 

    Akibatnya, kesemua sembilan pemilik kenderaan yang terbabit itu diminta untuk menyerahkan diri dan hadir ke Balai Trafik Port Dickson bagi membantu siasatan. Namun terbaru menurut laporan, tiga daripada sembilan pemandu tersebut sudah pun menyerahkan diri pada jam 5 petang 13 Disember lalu.

    Lori tangki guna lorong kecemasan

    Pemandu lori tangki yang memotong di lorong kecemasan menyerahkan diri di balai polis

    Manakala, perbuatan pemandu sebuah lori tangki yang memandu di lorong kecemasan untuk memotong telah berlaku di Kilometer 27-28 Lebuhraya Seremban-Port Dickson pada 11 Disember 2021 kira-kira jam antara 2-4 petang. 

    Dia bagaimanapun telah menyerahkan diri pada 13 Disember lalu selepas mendapati rakaman pemanduannya itu tular di media sosial dan diarahkan untuk hadir ke balai polis bagi membantu siasatan.

    Fahami jenis dan fungsi lorong di lebuh raya

    Kejadian yang viral di atas bukanlah baru yang pertama kali berlaku di Malaysia. Sebenarnya, boleh dikatakan hampir setiap hari, ada sahaja pemandu yang tidak bertanggungjawab cuba memotong menggunakan lorong kecemasan semata-mata untuk sampai dengan cepat ke destinasi.

    Sebagai pemandu dan pengguna jalan raya, sebenarnya amat penting untuk anda bertimbang rasa dan memahami fungsi serta jenis lorong yang disediakan di lebuh raya.

    Pada kebiasaannya, lebuh raya menyediakan 4 lorong iaitu lorong kecemasan, lorong perlahan, lorong laju dan lorong memotong.

    Pandu di lorong yang betul untuk elakkan kesesakan

    Justeru di sini, kami kongsi dan jelaskan kepada anda mengenai jenis dan fungsi lorong-lorong ini di lebuh raya untuk pemahaman bersama.

    Lorong kecemasan

    Bahu jalan atau lebih dikenali sebagai lorong kecemasan ini disediakan khusus untuk tujuan kecemasan. 

    Secara dasarnya lorong kecemasan ini dikhaskan untuk kegunaan ambulans, bomba dan penyelamat, polis, agensi penguatkuasaan serta kenderaan yang rosak atau dalam situasi kecemasan.

    Dengan menggunakan lorong ini, ia dapat memudahkan pihak-pihak yang disebutkan di atas untuk sampai ke destinasi dengan lebih cepat tanpa perlu berdepan dengan aliran trafik yang sesak.

    Lorong perlahan

    Lorong perlahan yang terletak di sebelah kiri lebuh raya pula sepatutnya digunakan oleh pemandu kenderaan berat seperti bas, lori dan kenderaan yang ingin bergerak perlahan.

    Secara amnya, pemandu kenderaan berat tidak digalakkan untuk berterusan memandu di lorong laju kecuali untuk memotong sahaja kerana ia boleh menyebabkan kesesakan jalan raya serta membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

    Lorong laju

    Lorong laju/ tengah di lebuh raya disediakan untuk kenderaan yang ingin bergerak laju, selain membolehkan sesebuah kenderaan memotong kenderaan lain yang lebih perlahan seperti lori, bas atau kenderaan ringan lain. 

    Lorong memotong

    Lorong ini disediakan sebagai laluan memotong bagi kenderaan ringan. Bukan itu sahaja, mungkin anda sudah tahu bahawa lorong paling kanan ini disediakan untuk kenderaan ringan bergerak laju dan pantas di lebuh raya.

    Ikut peraturan jalan raya

    Jangan pentingkan diri sendiri. Ingat, anda sebenarnya turut merisikokan kenderaan lain jika memandu secara melulu di atas jalan raya. Pandulah ikut lorong yang betul bagi mengelakkan anda dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa seperti kejadian-kejadian yang viral baru-baru ini.

    Dalam pada itu, pastikan juga kenderaan anda sentiasa memiliki perlindungan insurans dan roadtax yang sah ketika digunakan di atas jalan raya. Renew segera di Bjak jika ia hampir tamat tempoh. Terdapat 15 pilihan syarikat insurans yang anda boleh bandingkan secara terus. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak dalam hanya 3 minit.