Skip to content
Home » Penjara, Denda RM50,000 Tinggal Anak Dalam Kereta

Penjara, Denda RM50,000 Tinggal Anak Dalam Kereta

    Bahaya tidur dalam kereta

    Percaya atau tidak, masih ramai ibu bapa bertindak meninggalkan anak mereka di dalam kereta ketika singgah di mana-mana tempat seperti ke kedai untuk membeli barang dan sebagainya. Mungkin ada yang mengambil masa 5 minit, 10 minit dan ada juga sehingga setengah jam atau lebih.

    Meskipun sudah terlalu banyak kes kanak-kanak maut akibat lemas ketika ditinggalkan di dalam kereta, namun ada yang masih belum mengambil iktibar dan terus melakukannya secara sedar atau tidak sedar.

    Hukuman penjara dan denda jika tinggalkan anak dalam kereta

    Untuk pengetahuan anda, perbuatan meninggalkan anak di dalam kereta sebenarnya adalah satu kesalahan jenayah dan anda boleh didakwa sekiranya didapati melakukannya.

    Menerusi satu hantaran di Facebook Polis Diraja Malaysia, ibu bapa atau penjaga yang didapati cuai dengan meninggalkan anak bersendirian di dalam kenderaan tanpa pengawasan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun.

    “Tiada alasan. Tiada kompromi. Kealpaan anda membawa padah. Kecuaian individu meninggalkan kanak-kanak dalam kenderaan tanpa pengawasan adalah suatu kesalahan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

    “Jika disabitkan kesalahan, mereka akan didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya.”

    Bahaya tinggal anak dalam kenderaan

    Meskipun hal ini nampak seperti remeh tapi sebenarnya bahaya ya! Telah banyak kes dilaporkan dimana ibu bapa terlupa tentang keberadaan anak-anak mereka yang ditinggalkan dalam kereta sehingga membawa maut akibat kekurangan oksigen.

    Walaupun tingkap kereta dibuka, ianya tidak membantu mengalirkan haba yang panas ke luar kereta. Haba yang terkumpul ini boleh menyebabkan seseorang itu diserang strok pada bila-bila masa.

    Dengan cuaca di Malaysia, suhu badan anak yang ditinggalkan di dalam kereta boleh meningkat sehingga 70% dalam masa 1 jam. Jadi, jangan sesekali kita ambil ringan kerana ianya bahaya dan tidak sepatutnya dijadikan kebiasaan oleh ibu bapa demi keselamatan anak-anak.

    Kronologi kes tinggal anak dalam kereta

    Berikut merupakan antara kes-kes yang pernah dilaporkan berlaku akibat kecuaian ibu bapa yang meninggalkan anak mereka dalam kereta.

    1. Seorang kanak-kanak perempuan tiga tahun maut selepas lebih dua jam ditinggalkan kepanasan dalam kereta oleh ibunya di tepi jalan rumah di Taman Aman 1, Lahad Datu, Sabah pada 12 Jun 2019.

    2. Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun ditemukan meninggal dunia setelah ditinggalkan beberapa jam di dalam kereta oleh neneknya di Sungai Tiram, Ulu Tiram pada April, 2021.

    3. Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun terperangkap hampir satu jam di dalam kereta bapanya di Parit Nasir, Parit Buntar, Perak selepas tertekan punat kunci pintu di dalam kenderaan itu pada 28 Julai 2017.

    Jadi individu yang bertanggungjawab

    Kes-kes seperti ini telah banyak dilaporkan akibat kecuaian ibu bapa yang bertindak meninggalkan anak-anak di dalam kereta. Anda pasti tidak mahu perkara seperti ini berlaku kepada keluarga anda sendiri.

    Sekiranya anda mempunyai urusan yang tidak dapat dielakkan, pastikan ada orang dewasa turut berada di dalam kereta bagi menemani anak anda. Jika tiada, pastikan anda bawa mereka bersama-sama anda ke luar.


    Bjak adalah platform perbandingan insurans kereta utama di Malaysia yang menawarkan lebih daripada 10 jenama insurans ternama. Buat pemilik kereta dan motosikal, anda boleh dapatkan sebut harga secara percuma dalam masa 3 minit sahaja hari ini dengan mudah!