Saban hari, kita sering mendengar mengenai kes kemalangan jalan raya berlaku di negara ini. Namun tahukah anda, statistik mendedahkan bahawa lebih 60% kemalangan yang berlaku di jalan raya di Malaysia adalah melibatkan penunggang motosikal sepanjang tempoh 20 tahun.
Bahkan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) memetik laporan Utusan pada tahun 2021 turut memaklumkan bahawa secara purata 20% daripada 500,000 kemalangan yang dilaporkan setiap tahun adalah melibatkan kemalangan motosikal.
Angka ini sebenarnya sangat menyedihkan kerana sesetengah kemalangan mungkin boleh dielakkan jika peraturan jalan raya dipatuhi dan penunggang motosikal juga menunggang motor dengan lebih cermat dan bertanggungjawab.
Bagi mengelakkan kemalangan daripada berlaku, jom Bjak kongsikan beberapa kesalahan yang sebolehnya JANGAN dilakukan oleh penunggang motosikal ketika di jalan raya.
Melanggar lampu isyarat
Boleh dikatakan, sudah banyak berita mengenai penunggang motosikal maut atau cedera gara-gara melanggar lampu isyarat merah. Janganlah begitu!
Semua orang ingin sampai ke destinasi dengan cepat. Tidak ada salahnya jika anda patuhi sahaja lampu isyarat tersebut bagi memastikan nyawa anda selamat. Ingat, kesalahan ini bukan sahaja akan membahayakan anda, bahkan juga pengguna jalan raya lain yang tidak bersalah.
Tidak memakai helmet
Helmet diwujudkan bersebab ya. Ia membantu untuk melindungi kepala anda daripada cedera parah sekiranya terlibat dalam kemalangan.
Biasanya, ramai yang enggan memakai helmet apabila menunggang motosikal di sekitar kawasan rumah atau di kawasan kampung-kampung. Janganlah amalkan sikap begitu. Kemalangan boleh berlaku di mana sahaja, jadi tidak salah jika anda bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan.
Memecut di lorong kecemasan
Setiap kali memotong dari lorong kecemasan, anda sebenarnya mendedahkan risiko anda untuk dilanggar oleh kenderaan lain terutamanya kenderaan besar seperti kereta atau lori. Kebiasaannya, pemandu kenderaan pacuan empat roda dan kenderaan berat ini cenderung untuk ke bahu jalan (lorong kecemasan) apabila berlaku sebarang kerosakan pada kenderaan ataupun terbabit dalam kemalangan.
Jadi, agak merbahaya jika anda memecut di lorong kecemasan kerana anda mungkin tidak akan sempat mengelak sekiranya ada kenderaan lain berhenti di bahu jalan. Langkah terbaik yang anda boleh lakukan adalah dengan menggunakan jalan motor yang disediakan. Ia lebih selamat bukan sahaja untuk anda, bahkan juga kenderaan lain.
Tidak memberikan signal
Seringkali kita lihat ramai penunggang motosikal yang masih enggan untuk menyalakan lampu signal sebelum ingin membelok atau menukar arah. Perkara ini mungkin nampak remeh namun sebenarnya amat merbahaya bukan sahaja buat diri anda bahkan juga kepada pengguna jalan raya lain.
Ingat, lampu signal sangat penting agar pemandu lain boleh mengetahui apa tindakan anda selanjutnya iaitu sama ada ingin membelok atau menukar lorong.
Memotong di simpang jalan
Simpang jalan bukan lokasi yang baik untuk anda memotong. Sebaliknya, sila perlahankan motor anda untuk melihat keadaan sekeliling dan tungganglah mengikut had laju yang ditetapkan.
Sila pastikan juga anda berhati-hati terutamanya melalui kawasan sekolah. Jangan memecut atau membawa motosikal dengan laju kerana mungkin ada pelajar yang melintas di kawasan tersebut.
Memakai pakaian gelap ketika waktu malam
Warna pakaian juga memainkan peranan penting bagi mengelakkan anda daripada terlibat dalam kemalangan. Jika menunggang pada waktu malam, pastikanlah anda memakai pakaian yang berwarna cerah bagi memudahkan pengguna jalan raya melihat kelibat anda.
Bahkan anda sebenarnya sangat digalakkan untuk memakai jaket keselamatan pembalik cahaya agar keberadaan anda lebih jelas terutamanya jika melalui jalan gelap.
Lampu motor rosak
Kerosakan pada lampu motor sangat membahayakan anda. Kerosakan yang dimaksudkan bukan sekadar lampu depan atau belakang sahaja, bahkan juga lampu signal dan lampu brek.
Sila pastikan kesemua lampu pada motosikal berfungsi dalam keadaan baik barulah anda gunakan motor tersebut. Ia sangat penting terutamanya jika anda menunggang motosikal pada waktu malam. Ketiadaan lampu motor bukan sahaja membahayakan anda, bahkan juga boleh mengundang kecelakaan kepada pengguna jalan raya lain.
Mengabaikan kondisi tayar
Tayar motor merupakan komponen yang sangat penting dan perlu diberi keutamaan oleh semua penunggang motosikal. Anda wajib memastikan tayar sentiasa berada dalam keadaan baik, yang mananya bunganya masih belum haus.
Ingat, kerana motor adalah pacuan dua roda, ia akan lebih mudah tergelincir terutamanya jika cuaca hujan dan jalan raya basah. Jadi sila cek tayar motor anda sentiasa ya!
Jadi penunggang motor yang bertanggungjawab
Walaupun tidak ada sesiapa pun yang inginkan kemalangan daripada berlaku, namun tidak salah jika setiap daripada kita mengamalkan sikap bertanggungjawab dan mengikut peraturan yang telah ditetapkan. Jangan anggap diri kita sentiasa selamat. Tungganglah motosikal dengan cermat dan jangan lakukan kesalahan-kesalahan di atas untuk mengelakkan kemalangan.
Bjak menyediakan lebih 10 jenama insurans untuk pengguna lakukan perbandingan. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak dan pilih pelan terbaik hari ini!
Baca juga: