Skip to content
Home » Punca Brek Kereta Kerap Berbunyi

Punca Brek Kereta Kerap Berbunyi

    Brek merupakan salah satu komponen kereta yang paling penting. Ia berfungsi untuk memperlahan dan menghentikan kereta yang sedang bergerak laju bagi tujuan keselamatan.

    Kebanyakan bunyi brek dianggap normal selagi ia tidak menunjukkan sebarang masalah atau memberi kesukaran kepada kenderaan untuk beroperasi. Namun jika brek kereta anda kerap mengeluarkan bunyi yang agak kuat seperti berdesing semasa menekan brek, jangan ambil ringan kerana ia sebenarnya adalah tanda-tanda bahawa brek kereta anda perlu ditukar.  

    Bunyi brek yang pelik dan berterusan boleh memberi tanda bahawa perkakasan brek anda perlu dilincirkan, atau ia boleh menjadi amaran bahawa komponen sistem brek kereta anda haus atau perlu diservis.

    Faktor yang mempengaruhi ketahanan brek kereta

    Jenis pad brek

    Jenis pad brek mempengaruhi ketahanan brek kereta

    Jenis pad brek yang anda gunakan mempengaruhi ketahanannya. Terdapat beberapa pilihan jenis pad brek iaitu brek logam, brek separa logam, break organik dan brek sintetik (seramik).

    • Pad brek organik: Murah tetapi tidak dapat bertahan dengan lama 
    • Pad brek logam: Mungkin mengeluarkan banyak bunyi, tetapi ia mempunyai jangka hayat yang lebih lama sedikit daripada organik. 
    • Pad brek separa logam: Lebih mahal tetapi jangka hayat yang panjang
    • Pad brek seramik: Tahan lebih lama dan paling kurang haus tetapi ia biasanya lebih mahal berbanding dengan pad lain.

    Kekerapan pemanduan

    Jika anda kerap menggunakan kereta dalam kehidupan harian anda, tentunya anda menggunakan brek anda lebih banyak dan pad brek anda akan haus dengan lebih cepat. Pad brek hadapan berkemungkinan haus lebih cepat daripada pad brek belakang kerana bahagian hadapan kereta anda mengendalikan lebih banyak tekanan brek.

    Bilangan penumpang

    Brek semakin sukar berfungsi dan perlukan tekanan yang banyak untuk berhenti jika muatan lebih berat

    Adakah anda selalu membawa muatan barangan yang banyak di bahagian but kereta? Atau mungkin anda selalu membawa bilangan penumpang yang ramai dalam kereta anda?

    Tahukah anda, brek akan menjadi lebih sukar untuk berfungsi dan memerlukan tekanan yang banyak lebih kuat untuk berhenti sekiranya muatan yang dibawa adalah berat. Hal ini secara tidak langsung akan menjejaskan ketahanan pad brek kereta anda.

    Tanda-tanda pad brek perlu ditukar

    Apabila brek kereta anda mula mengeluarkan bunyi, ia adalah antara tanda anda perlu menukar brek kereta tersebut dengan segera. Sistem brek pada sesebuah kereta perlu diselenggara secara konsisten untuk memastikan pemanduan anda selamat.

    Bunyi bergesel

    Sekiranya pad brek anda sudah mula kehausan, ia akan menghasilkan bunyi seperti geselan. Ia merupakan di antara tanda-tanda brek kereta tersebut perlu ditukar. Sistem brek pada sesebuah kereta perlu diselenggara secara konsisten untuk memastikan pemanduan anda selamat. 

    Tahap kecekapan brek

    Satu lagi tanda utama bahawa brek anda perlu periksa ialah penurunan prestasi (kecekapan brek) apabila menggunakan brek. Jika anda mengalami masa yang lama untuk menghentikan kenderaan anda, ini mungkin bermakna pad brek anda sudah haus sepenuhnya atau bendalir brek anda rendah (selalunya disebabkan oleh kebocoran).

    Ia berkemungkinan besar brek cakera kereta anda tidak mampu untuk memberikan daya tahan yang cukup untuk memberhentikan tenaga kinetik pada roda yang berputar.

    Lampu indikator menyala

    Lampu indikator akan menyala jika brek tidak dilepaskan atau minyak brek dalam takungan sedikit

    Sesetengah kenderaan dilengkapkan dengan simbol-simbol indikator pada panel meter yang memberitahu pemandu sekiranya terdapat kerosakan berlaku.

    Lampu amaran tersebut akan menyala apabila brek tangan tidak dilepaskan ataupun minyak brek di dalam takungan (reservoir) berkurangan. Keadaan tersebut berlaku (minyak menjadi kurang) disebabkan oleh ketebalan pad brek yang juga berkurangan.

    Pad brek haus

    Gantikan brek cakera yang sudah haus

    Brek cakera yang semakin menipis dan haus perlu diganti. Manual servis kereta harus mempunyai maklumat mengenai ketebalan minimum brek cakera atau ada ukiran pada cakera itu sendiri.

    Sekiranya brek cakera tersebut mempunyai bibir yang kelihatan di tepi di mana ia menyentuh pad, anda boleh lihat dengan jelas bagaimana pad brek telah memakan permukaan cakera itu sendiri.

    Cara pemeriksaan pad brek kereta

    Pemeriksaan di pusat servis

    Hantar kereta ke pusat servis untuk pemeriksaan berkala


    Jika anda tidak mempunyai kemahiran untuk memeriksa keadaan pad brek kereta anda, pastikan anda menghantar kereta ke mana-mana pusat servis kereta untuk membuat pemeriksaan secara berkala. Pusat servis wajib mengukur ketebalan pad brek setiap kali kereta dihantar untuk diservis.

    Anda boleh menghantar kereta anda ke pusat servis pada setiap tiga atau enam bulan sekali untuk mengenalpasti ketebalan pad brek. 

    Lakukan pemeriksaan sendiri

    Buat pemeriksaan sendiri jika anda tahu/ rujuk manual


    Anda juga boleh melakukan pemeriksaan pad brek dengan sendiri dengan bantuan manual yang ada. Bagaimana?

    Pertama sekali, anda perlu tahu bahawa setiap pad brek mempunyai penanda logam yang akan menghasilkan bunyi ketika menekan brek. Sekiranya anda mendengar bunyi bising ketika menggunakan brek kereta, ketahuilah bahawa itu menandakan pad brek anda sudah menipis dan kehausan.

    Anda disarankan untuk terus menukar pad brek ini kerana ianya sudah tidak dapat berfungsi dengan baik lagi. Lampu indikator sistem brek juga akan menyala jika pad brek menipis.

    Kedua, anda boleh ketahui keadaan pad brek kereta melalui masa dan jarak penggunaan kereta anda. Sekiranya kereta sudah dipandu lebih setahun, atau dipandu lebih 20,000km, tahap ketebalan pad brek perlu dipantau meskipun ia mungkin masih dalam keadaan yang baik.

    Apa berlaku jika pad brek kereta tidak ditukar

    Menyebabkan kemalangan

    Fungsi pad brek kereta adalah untuk menghenti dan memperlahankan kenderaan yang bergerak. Pad brek yang nipis tidak lagi mempunyai kecekapan untuk berfungsi dengan efektif. Kereta anda mungkin akan mengambil masa yang lama untuk berhenti semasa menekan brek di atas jalan.

    Akibatnya, anda berisiko tinggi untuk mengalami kemalangan di atas jalan raya.

    Kerosakan komponen lain

    Selain berfungsi untuk menghentikan kenderaan, pad brek juga berperanan untuk mengelak geseran langsung antara permukaan brek dan roda. Geseran dua komponen daripada besi itu akan menyebabkan kesan seperti bunyi berdecit dan bau seakan terbakar pada bahagian belakang enjin. Lebih parah, brek dan roda boleh haus dan berubah bentuk.

    Jadi, apa perlu dilakukan adalah menukar pad brek atau brek baharu. Jangan abaikan komponen penting ini kerana kesan yang bakal anda tanggung sangat besar. Selain menyebabkan kerugian secara material, anda juga membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain.

    Pemeriksaan pad brek kereta secara berkala

    Kami berharap perkongsian entri kali ini dapat membantu anda di masa hadapan sekiranya anda berhadapan dengan masalah pad brek kereta anda.

    ​​Anda perlu menjadi lebih peka dan berhati-hati dengan penggunaan kereta anda. Sekiranya pad brek kereta anda mula mengeluarkan bunyi dengan kerap, penting untuk anda segera menghantar kereta ke pusat bengkel untuk melakukan pembaikan.

    Ingat ya, lebih lama anda tangguh, lebih tinggi kos yang perlu dikeluarkan kerana berkemungkinan menyebabkan kerosakan terhadap komponen yang lain juga.

    Pastikan anda periksa keadaan kereta anda sebelum memandu untuk perjalanan jauh. Jangan lupa juga untuk pastikan insurans kereta anda sentiasa aktif untuk mengelakkan dikenakan sebarang saman. Anda boleh perbaharui insurans di Bjak, laman web perbandingan insurans terbesar di Malaysia dan terima sebut harga hanya dalam masa 3 minit sahaja.