Skip to content
Home » Sindiket Kenderaan Klon Berleluasa, Kini Guna FB & Telegram Siap Buat Iklan

Sindiket Kenderaan Klon Berleluasa, Kini Guna FB & Telegram Siap Buat Iklan

    Sindiket kereta klon

    Baru-baru ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan mendedahkan bahawa sindiket kenderaan klon kini dikesan lebih terbuka dengan menggunakan teknik pengiklanan melalui media sosial seperti Facebook dan aplikasi Telegram untuk memasarkan kenderaan tersebut kepada pembeli.

    Pengarah JPJ negeri, Hanif Yusabra Yusuf seperti memetik laporan Utusan berkata, jika dulu sindiket ini dilakukan secara bersembunyi, kini tidak lagi apabila orang ramai lebih mudah mengakses maklumat mengenai kenderaan klon yang dijual pada harga murah menerusi media sosial.

    Dijual pada harga tidak munasabah

    Hanif memaklumkan bahawa trend permintaan kenderaan klon sentiasa ada malah meningkat. Ini kerana menurutnya, harga yang ditawarkan untuk kereta klon jauh lebih murah daripada pasaran selain keinginan memiliki kenderaan mewah.

    Kenderaan klon berjenama mewah seperti Honda, Mini Cooper dan BMW dijual pada harga yang sangat tidak munasabah iaitu di bawah harga RM20,000 sahaja. 

    Selain itu katanya, sindiket tersebut turut dikesan menggunakan kenderaan model sama yang telah berdaftar di Malaysia untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa. 

    “Seterusnya pemilik kenderaan itu sendiri bersubahat dengan penjual sindiket kereta klon dengan membuat salinan cukai jalan dan geran kemudian meletakkan cukai jalan yang telah ‘duplicate’ (ditiru) itu pada kereta klon tersebut,” ujar Hanif. 

    Memiliki kereta klon merupakan satu kesalahan

    Jika anda memiliki kereta klon, anda boleh didakwa atas kesalahan memiliki kenderaan yang tidak didaftarkan

    Untuk makluman, jika anda didapati memiliki kereta klon, anda boleh didakwa atas kesalahan memiliki kenderaan yang tidak didaftarkan. Bagi kesalahan itu, anda boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 7(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM2,000. 

    Selain itu, jika anda didapati mempamerkan maklumat nombor pendaftaran palsu, anda juga boleh didakwa mengikut Seksyen 103(3)(f) yang membawa hukuman denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak melebihi RM20,000, atau penjara tidak kurang dan tidak melebihi lima tahun jika disabitkan kesalahan. 

    Bagaimana untuk elak jadi mangsa sindiket kereta klon?

    1. Jangan layari mana-mana laman media sosial yang mengiklankan/ memasarkan/ menawarkan kereta klon
    2. Jika ingin beli kereta terpakai, beli daripada pengedar kereta terpakai secara atas talian atau di kedai-kedai pengedar kereta yang sah
    3. Anda perlu tahu harga pasaran kereta yang ingin dimiliki. Buat dulu perbandingan harga antara pelbagai platform penjualan kereta terpakai yang ada
    4. Hentikan terus urus niaga jika anda mendapati harga yang ditawarkan jauh lebih murah
    5. Periksa Nombor Pengenalan Kenderaan dan pastikan nombor yang tercatat dalam dokumen adalah sama dengan nombor yang tertera pada kereta anda. 
    6. Elak bayar secara tunai. Jika didapati kereta yang dibeli anda itu adalah kereta klon, ia akan menyukarkan pihak polis untuk menyiasat.
    7. Elak bayar bayaran pendahuluan (deposit) secara tunai dalam amaun yang banyak.
    8. Teliti setiap dokumen yang diberikan. 
    9. Sebelum meneruskan urusan jual beli, tanyakan dulu kepada penjual mengenai nombor pendaftaran, tahun buatan dan model kereta yang ingin dibeli.

    Elak terpedaya dengan sindiket kereta klon

    Memandangkan sindiket penjualan kereta klon kini sudah semakin berleluasa dan semakin terbuka, maka anda dinasihatkan untuk lebih berhati-hati. Jangan mudah terpedaya sebelum membeli kenderaan, khususnya kenderaan terpakai. 

    Sila ambil langkah berjaga-jaga dalam memastikan kereta yang bakal dibeli anda itu bukanlah kereta klon. Anda boleh rujuk tips-tips untuk membeli kereta terpakai seperti yang pernah dikongsikan sebelum ini.


    Bjak menyediakan 15 syarikat insurans untuk pengguna lakukan perbandingan sebelum memperbaharui insurans. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak hari ini dan renew insurans kereta atau motosikal anda dengan mudah dan pantas.