Skip to content
Home » Soalan Lazim Mengenai Insurans Motosikal di Malaysia

Soalan Lazim Mengenai Insurans Motosikal di Malaysia

    Insurans motosikal

    Jika anda pertama kali memiliki kenderaan seperti motosikal, anda mungkin kurang arif perihal mengenai insurans kenderaan, termasuklah insurans motosikal dan perkara lain yang berkaitan. Kebimbangan sedemikian mungkin termasuk – “Apakah jenis insurans motosikal yang perlu anda dapatkan?” “Di manakah anda boleh membeli insurans motosikal?” “Apakah jenis perlindungan yang perlu anda cari?”

    Jangan risau, biar kami bantu kurangkan kekeliruan anda. Teruskan sahaja membaca artikel ini untuk mengetahui dengan lebih tentang insurans motosikal.

    Apakah itu insurans motosikal?

    Insurans motosikal merujuk kepada satu bentuk perlindungan untuk motosikal anda sekiranya berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini. Ia membantu melindungi anda daripada liabiliti kewangan dalam pelbagai aspek termasuklah jika anda mengalami kemalangan. 

    Selain itu, sebahagian polisi juga melindungi kerosakan yang disebabkan oleh kecurian atau kebakaran terhadap motosikal. 

    Apakah jenis insurans motor yang ada?

    Terdapat tiga jenis polisi insurans motosikal yang anda boleh dapatkan iaitu:

    • Polisi pihak ketiga – menawarkan perlindungan minimum yang melindungi kematian, kecederaan, kerugian atau kerosakan harta pihak ketiga
    • Pihak ketiga, kebakaran dan kecurian – menyediakan perlindungan terhadap pihak ketiga dan kerugian atau kerosakan yang disebabkan oleh kecurian dan kebakaran 
    • Polisi komprehensif – melindungi sebarang kerugian kewangan untuk pemegang polisi (anda) dan pihak ketiga

    Apakah faktor yang mempengaruhi premium insurans saya?

    Premium insurans akan turun naik disebabkan oleh pelbagai faktor. Faktor ini termasuk jenis motosikal, rekod pemanduan, umur, lokasi, jantina, dan sebagainya.

    Berapa jumlah yang perlu saya insuranskan untuk motosikal saya?

    Anda harus menginsuranskan motosikal anda mengikut nilai pasaran semasa. Penanggung insurans boleh mengenakan denda/ penalti kepada anda jika motosikal anda diinsuranskan lebih rendah daripada nilai pasaran.

    Contoh: Jika nilai pasaran motosikal anda ialah RM10,000, tetapi anda hanya menginsuranskannya dengan harga RM8,000, anda akan dikenakan penalti (ketika membuat tuntutan) kerana terkurang insurans.

    Bolehkah saya membuat tuntutan insurans jika motor dicuri?

    Ya, anda boleh memfailkan tuntutan kepada syarikat insurans sekiranya motosikal anda dicuri.  

    Walau bagaimanapun, anda perlu memastikan bahawa anda memiliki insurans komprehensif atau insurans pihak ketiga, kebakaran dan kecurian ketika tuntutan ingin dibuat. 

    Adakah saya wajib membeli insurans motor?

    Mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987, semua pemilik motosikal mesti membeli insurans untuk kenderaan mereka itu. Mereka kemudiannya perlu memperbaharui insurans setiap tahun bagi membantu menampung kerosakan (khususnya terhadap pihak ketiga) jika mereka didapati bersalah.

    Denda bagi kesalahan menunggang motor tanpa insurans yang sah adalah sehingga RM2000 atau penjara selama tiga bulan atau kedua-duanya di bawah Seksyen 90 Akta Pengangkutan Jalan.

    Bolehkah ‘sesiapa sahaja’ menunggang motosikal saya?

    Ya, sesiapa sahaja dibenarkan untuk menunggang motosikal anda sekiranya anda membeli perlindungan tambahan ‘Semua Pemandu’ atau menamakan mereka sebagai penunggang sah dalam perlindungan ‘Pemandu yang dinamakan’.

    Sila ambil perhatian bahawa anda hanya perlu membenarkan penunggang yang dinamakan (dalam polisi sahaja) untuk menggunakan motosikal anda. Penunggang yang dibenarkan merujuk kepada mereka yang akan dilindungi oleh insurans anda sekiranya berlaku apa-apa, bergantung pada pelan polisi anda.

    Bolehkah saya membuat tuntutan insurans jika motosikal saya terlibat dalam kemalangan semasa perlumbaan?

    Untuk pengetahuan anda, syarikat insurans tidak akan memberikan perlindungan/ membayar pampasan sekiranya anda menunggang motor anda ke acara berikut:

    • Berlatih atau menyertai mana-mana acara sukan permotoran, pertandingan, pencarian harta karun, rally, perlumbaan, atau ujian kelajuan
    • Menunggang di mana-mana litar perlumbaan

    Walau bagaimanapun, anda boleh meluaskan pelan polisi anda dengan membeli perlindungan tambahan untuk menunggang motosikal dalam pertandingan, seterusnya menikmati perlindungan jika berlaku apa-apa kepada anda dalam situasi di atas.

    Apakah perlindungan tambahan yang boleh saya sertakan dalam pelan insurans saya?

    perlindungan tambahan untuk insurans motosikal

    Anda boleh membeli beberapa perlindungan tambahan untuk memastikan motosikal anda mendapat perlindungan yang mencukupi. Ia termasuklah:

    • Peril khas (bencana alam) – melindungi kerosakan atau kehilangan motosikal akibat bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh
    • Rusuhan dan kekecohan awam – melindungi kerosakan motosikal akibat rusuhan, mogok atau kekecohan awam
    • Aksesori tambahan – lindungi aksesori tambahan pada motosikal anda daripada kecurian atau kerosakan. Anda boleh membuat tuntutan insurans sekiranya aksesori tersebut rosak atau dicuri
    • Liabiliti undang-undang – melindungi pemegang polisi terhadap liabiliti penumpang sekiranya berlaku kemalangan
    • Kemalangan diri – memberikan pampasan sekiranya berlaku kecederaan, hilang upaya atau kematian yang disebabkan oleh kemalangan

    Apakah perbezaan antara insurans motosikal dan insurans kemalangan diri?

    Insurans motosikal melindungi motor anda sekiranya sesuatu berlaku padanya. Ia membantu untuk menampung sebarang kerosakan/kemalangan semasa tempoh polisi sah. Selain daripada itu, perlindungan juga diperluaskan kepada liabiliti pihak ketiga.

    Sementara itu, perlindungan kemalangan peribadi menyediakan pampasan kewangan sekiranya anda:

    • Mengalami kecederaan
    • Kurang upaya; atau
    • Meninggal dunia disebabkan oleh kemalangan

    Apakah pelan insurans motor paling murah yang boleh saya beli?

    Anda boleh memilih untuk membeli polisi pihak ketiga, terutama jika motosikal anda itu sudah lama dan jarang digunakan. Perlindungan ini menyediakan perlindungan kewangan untuk pihak ketiga yang terlibat dalam kemalangan yang disebabkan oleh kecuaian anda.

    Di manakah saya boleh membeli insurans motor?

    Secara ringkasnya, kami menasihatkan anda untuk meninjau beberapa pelan bagi insurans motor di internet terlebih dahulu. Buat perbandingan dengan beberapa syarikat insurans bagi mendapatkan polisi terbaik pada harga yang berpatutan.  

    Untuk lebih memudahkan anda, anda juga boleh gunakan platform perbandingan insurans kenderaan terbesar di Malaysia, iaitu Bjak. Bandingkan dengan lebih 10 jenama insurans sekaligus di platform ini bagi menjimatkan masa dan wang anda. 

    Anda boleh layari dahulu Bjak untuk dapatkan sebut harga secara percuma dalam hanya 3 minit sahaja. 


    Bjak menyediakan lebih 10 jenama insurans untuk pengguna lakukan perbandingan. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak dan pilih pelan terbaik hari ini!

    Baca juga: