Skip to content
Home » Jangan Biar Penjenayah Godam Akaun Bank Anda! Elak Muat Turun Aplikasi Mencurigakan

Jangan Biar Penjenayah Godam Akaun Bank Anda! Elak Muat Turun Aplikasi Mencurigakan

    Taktik Godam Akaun Bank, Jangan Muat Turun Aplikasi Mencurigakan

    Pada 10 Februari lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan taktik baharu penipuan yang membolehkan penjenayah menggodam atau hack akaun bank mangsa. Setakat kelmarin, pihak polis telah menerima lima laporan membabitkan taktik penipuan tersebut yang mengakibatkan kerugian keseluruhan berjumlah RM58,844! Laporan kes tersebut melibatkan tiga laporan di Johor dan masing-masing satu laporan di Pulau Pinang dan Sabah. 

    Bayangkan segala penat lelah anda mengumpulkan wang yang akhirnya dilesapkan oleh penjenayah! Perasaan marah dan sedih pastinya akan menyelubungi sesiapa sahaja yang menjadi mangsa penjenayah.

    Sebagai langkah berjaga-jaga, Bjak akan kongsikan modus operandi jenayah berkenaan dan cara untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa jenayah siber.

    Taktik baharu penjenayah menggodam akaun bank 

    Jabatan Siasatan Jenayah Komersial mendedahkan taktik baharu penjenayah menggodam akaun bank
    Kredit imej: Harian Metro

    Seperti yang dilaporkan media, penggodam licik melakukan pelbagai cara untuk menggodam akaun bank dan seterusnya merompak wang mangsa. Antara taktik yang digunakan ialah penyamaran sebagai pihak berkuasa seperti pegawai polis, pegawai LHDN dan pihak insurans. Taktik baharu penggodam yang didedahkan oleh JSJK kelmarin ialah melalui pengiklanan di media sosial. 

    Menurut Pengarah Jabatan JSJK Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din menerusi kenyataan di Facebook rasmi JSJK, siasatan yang dijalankan mendapati penjenayah menggunakan laman sosial untuk mengiklankan penjualan barangan atau perkhidmatan saluran televisyen berbayar. Tambah beliau, penggodam akan sentiasa mengubahsuai tawaran iklan bagi menawan lebih ramai mangsa. 

    Jelas Mohd Kamarudin, mangsa yang berminat untuk mendapatkan produk berkenaan akan diminta oleh penjenayah untuk memuat turun fail APK (Android Package Kit). Penggodam akan menghantar fail APK tersebut kepada mangsa melalui aplikasi WhatsApp. 

    Mangsa kemudiannya akan diminta untuk memasang fail APK tersebut pada telefon pintar dan membuka akaun untuk menggunakan aplikasi tersebut. Mangsa perlu memasukkan butiran seperti nombor kad pengenalan, butiran akaun bank dan butiran kad kredit. Aplikasi tersebut juga dikesan akan menggantikan sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) di telefon pintar berkenaan. 

    Tanpa menyedari pemasangan aplikasi yang mencurigakan tersebut, mangsa akan mendedahkan maklumat perbankan mereka kepada penjenayah. Seterusnya, penjenayah akan menggunakan maklumat tersebut untuk menggodam dan memindahkan wang milik mangsa

    Jangan muat turun aplikasi mencurigakan

    Jangan muat turun aplikasi mencurigakan

    Merujuk kepada kenyataan yang sama, Mohd Kamarudin mengingatkan orang ramai untuk tidak memuat turun aplikasi daripada sumber yang meragukan.

    Tambah beliau, keselamatan sistem SMS pada telefon pintar mesti sentiasa dipelihara. Hal ini kerana sistem SMS digunakan untuk menghantar OTP (One-Time Password) atau TAC (Transaction Authorisation Code) daripada pelbagai aplikasi yang dipasang di telefon pintar anda. 

    Dalam pada itu, jika anda mempunyai sebarang keraguan, nasihat atau penyaluran maklumat berkaitan jenayah komersial, anda diminta untuk menghubungi CCID Response Center di talian 03-26101559/03-26101599.

    Beringat sebelum terkena

    Pelbagai maklumat peribadi seperti butiran akaun boleh diakses melalui telefon pintar atau peranti elektronik anda. Seandainya butiran akaun bank anda terdedah kepada penjenayah, anda boleh kehilangan wang anda dalam sekelip mata. Jangan biarkan kejadian ini berlaku kepada anda. 

    Untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa, tolong jangan muat turun aplikasi atau tekan apa-apa pautan yang mencurigakan. Semak dahulu kesahihan sumber aplikasi atau pautan berkenaan. Selain itu, sekiranya anda dihubungi oleh sesiapa yang mendakwa sebagai pihak berkuasa dan meminta maklumat peribadi anda, jangan berikan sebarang maklumat. Sebaliknya, letakkan panggilan dan dapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din mendedahkan taktik baharu penjenayah menggodam akaun bank dalam sidang media kelmarin, 10 Februari 2022 (Sumber: Harian Metro TV)

    Bjak menyediakan 15 syarikat insurans untuk pengguna lakukan perbandingan sebelum memperbaharui insurans. Dapatkan sebut harga insurans kereta atau motosikal percuma di Bjak hari ini.