Skip to content
Home » Takut Bila Nak Suntik Vaksin? – Kenali ‘Trypanophobia’ Serta Tiga Cara untuk Atasinya

Takut Bila Nak Suntik Vaksin? – Kenali ‘Trypanophobia’ Serta Tiga Cara untuk Atasinya

    Pada ketika ini, negara kita sedang giat melaksanakan pemberian vaksin Covid-19 bagi mencapai sasaran imuniti kelompok.

    Ketika artikel ini ditulis, seramai 14,886,006 individu atau 63.6% daripada populasi dewasa negara ini telah melengkapkan suntikan vaksin manakala sejumlah 19,621,799 individu atau 83.8% individu telah berjaya mendapatkan dos pertama mereka.

    Namun sepanjang pemberian vaksin ini berlangsung, ada juga tular beberapa video yang menyaksikan sebilangan individu takut untuk mendapatkan suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sehingga menimbulkan rasa geli hati dalam kalangan pengguna media sosial.

    Namun adakah anda tahu, sebenarnya ketakutan mereka itu bukanlah ‘dibuat-buat’ namun ia merupakan satu jenis fobia yang dipanggil sebagai trypanophobia?

    Fahami maksud trypanophobia

    Sebenarnya, trypanophobia dimaksudkan dengan ketakutan melampau individu terhadap jarum suntikan dan yang mana ia turut disenaraikan dalam Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders, Edisi Kelima (DSM-5).

    Menurut pakar psikiatri Universiti Malaysia Sarawak, Dr Amanda Albert seperti memetik laporan, di Malaysia, tidak ada statistik yang mengesahkan bilangan individu yang menghidap fobia ini. Namun di peringkat global, dianggarkan seorang daripada 10 individu mungkin menderita satu-satu bentuk trypanophobia.

    “Kajian turut menunjukkan empat daripada lima orang yang menghidap trypanophobia, mempunyai ahli keluarga yang menghidap fobia yang serupa. Bagaimanapun, pakar berpandangan, ini mungkin berpunca lebih kepada tingkah laku yang dipelajari, daripada warisan genetik,” katanya memetik laporan.

    Gejala trypanophobia

    Terdapat beberapa gejala atau tanda bagi individu yang menghidap trypanophobia antaranya:

    • pening kepala
    • pengsan
    • gelisah
    • loya
    • muntah
    • berasa cemas
    • kesukaran untuk tidur
    • tekanan darah meningkat
    • berpeluh dan;
    • berdebar

    Cara atasi ketakutan terhadap jarum suntikan

    Sebenarnya, terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan oleh penghidap trypanophobia bagi mengatasi ketakutan terhadap jarum suntikan.

    1. Terapi pendedahan

    Bagi penghidap trypanophobia, mereka boleh cuba melawan ketakutan terhadap jarum suntikan dengan melakukan terapi pendededahan.

    Terapi ini melibatkan proses yang mana ia mendedahkan diri mereka kepada jarum suntikan seperti menunjukkan foto jarum suntikan, berdiri dekat dengan jarum ataupun membayangkan diri disuntik oleh jarum.

    2. Bertemu pakar psikiatri atau kaunselor

    Pegawai perubatan di Hospital Kepala Batas, Dr Ammar Rashidi Abdullah seperti memetik laporan berkata, ketakutan individu terhadap jarum boleh menjejaskan kesihatan kerana ia mampu menyekat seseorang itu daripada mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 dan juga sebarang rawatan perubatan yang melibatkan penggunaan jarum.

    Justeru katanya, penghidap trypanophobia dinasihatkan untuk bertemu dengan pakar psikatri atau kaunselor bagi mengatasi masalah tersebut.

    3. Terapi ubat

    Terapi ini biasanya diberikan kepada penghidap fobia tersebut bagi mengurangkan rasa gelisah.

    Melalui terapi ini juga, kebanyakan penghidapnya akan mulai sembuh dan seterusnya mengurangkan rasa takut terhadap jarum suntikan.

    Sumber:

    Sumber 1

    Sumber 2

    Bjak merupakan platform terbaik abad ini untuk mendapatkan perlindungan insurans nyawa dan perubatan secara online. Pelan lengkap semua-dalam-satu disediakan dari premium serendah RM150/bulan.