Skip to content
Home » Tayar Pecah Ketika Memandu? Ikut Langkah Ini Untuk Selamatkan Nyawa Anda

Tayar Pecah Ketika Memandu? Ikut Langkah Ini Untuk Selamatkan Nyawa Anda

    Perkara perlu dilakukan apabila tayar kereta pecah

    Ketika sedang memandu di atas jalan raya, pelbagai risiko dan kemungkinan boleh berlaku. Antaranya adalah tayar pecah ketika memandu. Jika perkara tersebut berlaku, ia bukan sahaja boleh membahayakan nyawa sendiri, malah juga pengguna jalan raya yang lain.

    Sebenarnya, tayar pecah boleh berlaku disebabkan pemilik gagal melakukan penyelenggaraan dengan betul dan tidak membuat pemeriksaan berkala ke atas tekanan angin tayar. Pemeriksaan tekanan angin tayar sebenarnya sangat penting bagi mengurangkan risiko tayar untuk meletup atau pecah. 

    Namun malang tidak berbau. Jika insiden tersebut berlaku ketika anda sedang memandu, apakah yang perlu anda lakukan? 

    Untuk ketahuinya, teruskan membaca artikel ini.

    Punca tayar kereta pecah

    Terdapat beberapa punca yang menyebabkan tayar kereta pecah ketika memandu

    Sebelum mengetahui perkara-perkara yang perlu dilakukan apabila menghadapi insiden tayar pecah, adalah lebih baik jika anda tahu dulu apakah punca yang boleh menyebabkan tayar pecah secara tiba-tiba ketika memandu.

    Pandu melebihi had laju – Setiap tayar mempunyai had laju yang telah ditetapkan oleh syarikat masing-masing. Jadi, adalah sangat penting untuk anda memandu pada kelajuan yang telah ditetapkan bagi mengelakkan insiden tayar pecah berlaku. Baca kod yang ada pada tayar untuk mengetahui had serta kelajuan maksimum tayar kereta anda. 

    Tekanan angin tayar melampau – Kompaun atau molekul pada struktur getah tayar mempunyai had yang tersendiri. Disebabkan itulah anda tidak digalakkan untuk mengisi angin tayar secara berlebihan daripada apa yang disyorkan untuk kereta anda.

    Tayar luput – Pada kebiasaannya, tayar baharu boleh digunakan untuk tempoh 4 hingga 6 tahun sebelum tarikh luputnya sampai. Selepas daripada tempoh itu, struktur getah tayar akan menjadi lemah dan secara tidak langsung tayar yang sudah melepasi jangka hayat itu berpotensi untuk pancit atau pecah.

    Roda tidak seimbang – Roda yang tidak seimbang boleh dikesan apabila pemanduan terasa bergegar terutama pada kelajuan tinggi. Disebabkan itulah penting untuk anda melakukan balancing pada tayar. Roda yang tidak seimbang boleh menjejaskan struktur getah tayar akibat gegaran yang ditampung. Lama-kelamaan, ia boleh pecah begitu sahaja. 

    Tayar pecah ketika memandu? Ikut langkah-langkah ini

    Berikut merupakan tips atau langkah penting yang perlu anda lakukan sekiranya tayar kereta pecah ketika memandu:

    Kawal diri, jangan tekan pedal minyak

    Jangan cemas, cuba kawal diri bagi mengelak perkara lebih buruk berlaku

    Perkara pertama yang anda perlu lakukan adalah kawal diri anda. Cuba bertenang dan jangan sesekali tekan pedal pendikit atau brek. Ingat, meskipun tayar kereta akan mula membelok dan bergegar, namun anda perlu tahu bahawa kereta itu sebenarnya masih kekal seimbang. Jadi, kekalkan sahaja kaki pada posisi pedal sedia ada. 

    Untuk makluman anda, apabila brek ditekan secara mengejut, tayar akan mula terkunci dan pemandu akan mula hilang kawalan stereng, dan seterusnya menyebabkan kereta akan berubah haluan atau terhuyung-hayang mengikut hukum fizik berbanding arah yang kita mahukan.

    Apabila tayar terkunci, ia akan meningkatkan peluang kereta untuk roll over memandangkan berlaku ketidakseimbangan mengejut kerana tayar pecah secara tiba-tiba.

    Jangan brek secara mengejut

    Jika sudah cemas, otak kita kadang kala sememangnya secara automatik akan terus menghentam pedal brek. Namun, jika boleh jangan lakukannya. Jika brek ditekan secara mengejut, ia boleh menyebabkan kereta hilang imbangan lalu berpusing dan terbalik, selain merosakkan sistem brek seperti menyebabkan brek terkunci.

    Jika kereta anda mempunyai ciri keselamatan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), maka ia mungkin akan membantu anda. Namun untuk kenderaan yang tidak ada, anda perlu menahan diri daripada menekan brek secara mengejut ya. 

    Jika anda perlu juga brek, cuba brek secara mengepam, iaitu tekan dan lepas berkali-kali sehingga kereta mencapai kelajuan yang mampu dikawal. 

    Kawal stereng dengan perlahan

    Roda stereng adalah komponen yang sama mengawal roda tayar. Secara amnya, tayar kereta akan mengikut haluan yang dibawa oleh stereng. Namun dalam situasi tayar pecah, ia akan berubah. Mungkin jika anda mahu belok ke kiri, kereta anda akan belok ke kanan dan sebaliknya.

    Ingat, meskipun tayar pecah, kereta anda sebenarnya masih dalam kawalan walaupun keseimbangan kereta sudah tidak sama lagi. Ini membuatkan stereng bergegar dan membelok ke arah tayar pecah. Contoh, jika tayar depan kiri pecah, stereng kereta anda secara automatik akan cenderung belok ke kiri kerana berat tertumpu ke bahagian pecah tersebut.

    Jadi, cuba pegang stereng dengan kuat dan pastikan kereta terus bergerak lurus ke hadapan. 

    Rendahkan gear

    Rendahkan gear untuk pastikan kereta dapat berhenti dengan selamat

    Anda memandu kereta auto? Jadi, terus turunkan gear daripada D4 ke D3 dan D2. Jika kereta yang dipandu anda pada ketika itu pula adalah kereta manual, segera tukar gear tanpa menekan klac. 

    Ini bagi memastikan anda dapat menghentikan kelajuan kereta secara selamat dalam situasi seperti ini. 

    Kekal pada lorong sama

    Cuba kawal kereta dalam laluan atau lorong anda sedang memandu pada waktu itu. Apabila anda sudah berjaya memandu dalam keadaan yang lurus, biarkan kereta anda berhenti secara sendiri dan perlahan-lahan ke tepi (pada ketika ini, kereta biasanya sudah berada dalam kawalan).

    Walau bagaimanapun, pastikan tempat anda memberhentikan kereta itu adalah selamat dan tidak berisiko untuk menyebabkan kemalangan lain. 

    Nyalakan lampu kecemasan

    Nyalakan lampu kecemasan bagi memberi amaran kepada pengguna lain kereta anda sedang rosak

    Apabila sudah berhenti dengan selamat, pastikan anda menyalakan lampu kecemasan sebagai tanda amaran kepada pengguna jalan raya lain. Ini bagi memastikan pengguna lain lebih berhati-hati dan memperlahankan kenderaan mereka apabila menghampiri kereta anda.

    Kemudian, anda boleh mula menukar tayar kereta anda dengan tayar spare yang ada di dalam kereta. Jika anda tidak arif, anda juga boleh mendapatkan bantuan tepi jalan atau khidmat tunda yang disediakan oleh syarikat insurans anda. 

    Tips penjagaan tayar kereta

    Mencegah adalah sentiasa lebih baik! Untuk mengelak daripada berlakunya insiden tayar pecah, adalah lebih baik untuk anda melakukan penyelenggaraan pada tayar kereta anda seperti di bawah:

    Kekalkan tekanan angin tayar

    Untuk pengetahuan anda, tekanan angin tayar perlu diperiksa dengan kerap pada setiap bulan. Ia bagi memastikan tekanan angin tayar kereta anda berada pada paras yang betul dan mengurangkan kemungkinan insiden tayar pecah selain berlaku kerosakan mekanikal. 

    Mudah sahaja untuk periksa dan isi semula tekanan angin tayar. Cari mana-mana stesen minyak dan isilah secara percuma. 

    Silang/ tukar posisi tayar kereta

    Anda perlu menukar posisi tayar kereta (rotating) setiap 10,000km atau enam bulan sekali bergantung pada keadaan tayar dan juga jenis kenderaan. Silangan tayar ini perlu dibuat bagi mengagihkan paten haus tayar yang berbeza supaya tidak tertumpu pada bahagian tertentu sahaja. 

    Dengan menyilangkan posisi tayar, ia secara tidak langsung boleh memanjangkan jangka hayat tayar kereta anda dan mengurangkan kehausan tidak sekata.  

    Buat balancing dan alignment

    Balancing tayar penting bagi memastikan putaran tayar berserta rim seimbang dengan paksi putarannya. Anda disarankan untuk membuat balancing pada tayar setiap 6 bulan sekali bagi memastikan tayar kereta berada dalam keadaan yang baik. 

    Alignment pada tayar kereta pula perlu dilakukan apabila anda mendapati stereng kereta anda senget dan tidak selari bersama tayar kereta.

    Periksa ketebalan bunga tayar

    Purata tayar memiliki kira-kira 8mm kedalaman bunga bagi produk baharu. Apabila mencapai takat 3mm, anda disarankan untuk menggantikan tayar, dan pada kedalaman bunga minimum 1.5mm (sekitar 3¼ permukaan tayar), tayar kereta anda secara teknikal sudah haus sepenuhnya.

    Apabila kedalaman bunga pada tayar kurang, maka ia juga secara tidak langsung akan menyebabkan fungsi tayar berkurangan. Ini bermakna, keupayaan ia untuk menyingkirkan air dan cengkaman berkurangan dan jarak membrek juga akan meningkat.

    Jaga tayar kereta anda

    Secara kesimpulannya, anda boleh mengelakkan insiden tayar pecah sekiranya anda menjaga dan melakukan penyelenggaraan yang sepatutnya pada tayar kereta anda. Namun jika insiden tersebut tetap berlaku, anda ikutilah langkah-langkah yang dikongsikan di atas bagi keselamatan anda dan pengguna jalan raya yang lain. 

    Dalam pada itu, pastikan anda memandu pada hal kelajuan yang betul bagi mengurangkan risiko tayar pecah. Ingat, sayangi nyawa anda dan sama-sama jadi insan bertanggungjawab ketika memandu di atas jalan raya.


    Bjak menyediakan 15 syarikat insurans untuk pengguna lakukan perbandingan sebelum memperbaharui insurans. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak hari ini dan renew insurans kereta atau motosikal anda dengan mudah dan pantas.

    Baca juga: