Skip to content
Home » Tukar Warna Cat Kereta? Ini Cara untuk Anda Daftar JPJ

Tukar Warna Cat Kereta? Ini Cara untuk Anda Daftar JPJ

    Panduan tukar warna cat kereta

    Warna kereta sememangnya menjadi salah satu kriteria utama sebelum kita membeli kereta. Ada yang menggemari warna terang seperti biru atau merah, tidak kurang ada juga yang sukakan warna-warna gelap seperti hitam dan sebagainya. 

    Berdasarkan data yang diperoleh daripada Carsome Insight 2020, warna akromatik (putih dan perak) merupakan warna kereta paling popular di Malaysia, diikuti dengan warna hitam, kelabu, biru dan lain-lain. 

    Walau bagaimanapun, ada kalanya taste kita mulai berubah dan untuk beberapa tempoh selepas membelinya, justeru perasaan untuk menukar warna cat kereta mulai timbul. 

    Perlu dapat kelulusan JPJ

    Namun tahukah anda, pengubahsuaian pada warna cat kereta sebenarnya perlu mendapat kelulusan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selari dengan Seksyen (12) Akta JPJ 1987 – Pemeriksaaan Kenderaan Motor dan Pemberian Maklumat kepada Ketua Pengarah.

    Permohonan kelulusan pengubahsuaian warna kenderaan ini perlu dilakukan dalam tempoh 7 hari bagi mengelakkan kenderaan daripada dikenakan tindakan undang-undang seperti saman. 

    Panduan tukar warna cat kenderaan

    Untuk pengetahuan anda, proses pendaftarannya adalah sangat mudah malah anda tidak akan dikenakan sebarang bayaran.

    Anda hanya perlu mengikut langkah-langkah seperti di bawah ini sahaja: 

    1. Sebelum ingin mendapatkan kelulusan daripada JPJ, anda terlebih dahulu perlu mengecat kenderaan anda kepada warna yang baru. Jika lebih daripada satu warna, warna yang paling banyak akan dianggap sebagai warna utama kenderaan anda
    2. Selesai mengecat, anda perlu datang ke pejabat JPJ untuk tujuan pemeriksaan dan kemas kini maklumat
    3. Isikan borang JPJ K8 (pindaan butir-butir kenderaan) dan serahkan kepada pegawai yang bertugas. (Untuk lebih mudah dan pantas, anda boleh download dahulu borang ini di portal rasmi JPJ bagi mengelakkan kesesakan)
    Borang JPJ K8 boleh dimuat turun terlebih dahulu bagi mengelakkan kesesakan di JPJ
    1. Pegawai JPJ akan memeriksa warna pada kenderaan anda sebelum kelulusan diberikan. Jika lulus, maklumat anda kemudiannya akan dikemas kini di dalam sistem MySikap.

    Jika anda menukar warna kenderaan secara wrap (dibalut dengan pelekat khas), proses yang sama juga perlu dibuat.

    Panduan tukar warna cat kenderaan oleh JPJ

    Untuk makluman anda juga, berdasarkan Seksyen (12) Akta Pengangkutan Jalan 1987, setiap pemilik kenderaan yang menukar warna kereta perlu diberi suatu Notis Arah Periksa atau PG1. 

    Notis tersebut diberikan supaya pemilik boleh memaklumkan kepada JPJ mengenai perubahan warna kenderaan yang dilakukan. Pihak JPJ biasanya tidak mengeluarkan saman atas sebab pemilik menukar warna sesebuah kenderaan. Namun, saman dikeluarkan apabila pemilik ingkar Notis Arah Periksa atau PG1.

    Kenapa anda perlu dapatkan kelulusan JPJ?

    Mesti ada yang tertanya-tanya mengapa kelulusan daripada JPJ perlu dilakukan sedangkan ia hanyalah penukaran warna cat kereta bukan?

    Sebenarnya, ia penting supaya andai kata berlaku insiden tidak diingini seperti kemalangan, kecurian atau sebagainya, maka warna kenderaan yang didaftarkan boleh dijadikan sebagai rujukan. Contohnya daripada aspek tuntutan insurans. Perbezaan antara rekod pendaftaran dan keadaan semasa kereta mungkin boleh menjadi sumber pertikaian semasa tuntutan insurans

    Jika kenderaan anda terlibat dalam kemalangan dan pihak insurans mendapati warna kereta yang dinyatakan dalam rekod pendaftaran tidak sama dengan warna semasa kenderaan, pihak insurans mungkin tidak mahu menanggung kerugian yang dialami oleh pemilik. Jadi, ia pasti akan merugikan anda.

    Sebaiknya jika anda sudah tukar warna cat kereta, segeralah dapatkan kelulusan daripada JPJ kerana ia tidak sukar dan rumit!


    Bjak merupakan platform perbandingan insurans kereta terbesar di Malaysia yang menyediakan 15 syarikat insurans untuk pengguna lakukan perbandingan. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak hari ini dan renew insurans kereta atau motosikal anda dengan mudah dan pantas.