Sekiranya anda mempunyai perancangan untuk menjual kereta, nilai jual semula kereta anda akan menjadi faktor utama dalam menentukan nilai wang yang akan anda perolehi.
Anda perlu tahu bahawa nilai kereta anda akan berubah dan menurun selepas anda membeli kereta. Susut nilai akan berterusan setiap tahun. Kereta anda akan merosot secara fizikal disebabkan oleh kehausan dan kelusuhan akibat digunakan dari semasa ke semasa.
Ikuti artikel ini untuk ketahui apakah faktor yang mempengaruhi nilai susut sesebuah kenderaan.
Faktor yang mempengaruhi nilai kereta
Terdapat 4 perkara utama yang akan dipertimbangkan untuk menentukan harga sesebuah kenderaan. Antaranya adalah pengubahsuaian, jarak tempuh (mileage), penyelenggaraan dan juga keadaan kereta.
Pengubahsuaian
Jika anda ingin menyasarkan nilai jualan semula yang lebih tinggi untuk kereta anda, anda mungkin perlu berfikir dua kali untuk merancang mod kereta anda.
Meskipun ramai yang melakukannya sebagai penambahan kereta, namun ia boleh menjejaskan nilai jualan semula kereta. Tidak kira sama ada penambahan tersebut adalah dalam bentuk pelekat atau pembalutan, atau penukaran rim ringkas, semua penambahan ini akan memberi pengaruh kepada nilai kenderaan.
Perubahan yang kecil mungkin boleh diterima oleh sesetengah pihak namun, perubahan yang terlampau besar boleh ‘menggangu’ harga jualan kereta tersebut. Ia berkemungkinan akan menyebabkan anda menanggung kerugian, sama ada anda terpaksa menerima penilaian yang rendah untuk nilai jualan kereta ataupun anda perlu berbelanja lebih untuk mengembalikan kereta kepada spesifikasi asalnya.
Jarak tempuh
Kereta yang memiliki jarak tempuh yang tinggi akan menjadi kurang bernilai berbanding dengan kereta yang mempunyai jarak tempuh yang rendah. Jarak tempuh yang tinggi menandakan kereta tersebut sudah kerap kali digunakan di atas jalan raya.
Meskipun kereta anda masih kelihatan baru, hal ini tidak akan dapat menjamin harga nilai jualan kereta yang baik sekiranya kereta anda sudah melepasi angka 200,000km sepanjang tempoh penggunaan.
Keadaan kereta (luar & dalam)
Setiap calar dan remukan yang terdapat pada luaran badan kereta anda akan menyebabkan harga nilai jualan semakin berkurangan.
Bahagian dalaman kereta anda juga harus dijaga kerana kerbersihan ia akan diambil kira. Sebagai contoh, bau busuk/hapak ataupun kotoran di atas fabrik kerusi.
Perkara seperti ini akan memberikan ruang kepada pembeli berpotensi untuk menggunakan kekurangan tersebut untuk merendahkan harga nilai jualan.
Rekod penyelenggaraan
Penjagaan kereta secara berkala bukanlah perkara yang mudah. Anda disarankan untuk menyimpan dokumen dan rekod penyelenggaraan kereta anda dengan selamat. Rekod-rekod tersebut akan membantu anda untuk membuktikan bahawa kereta anda dijaga rapi seiring dengan jadual penyelenggaraan berkala untuk memastikan ianya berada dalam keadaan yang baik.
Pembeli berpotensi anda sudah tentu mahu tahu dan lihat sejarah penyelenggaraan kereta anda sebelum-sebelum ini. Rekod yang bersih akan membantu anda mendapatkan harga nilai jualan yang baik semasa membuat perundingan harga.
Cara untuk membaiki nilai jual kereta
Sebelum anda menjual kereta anda, ada beberapa perkara yang boleh anda usahakan untuk menaikkan harga nilai jualan kereta anda.
Berikut kami kongsikan tips yang yang boleh anda ikuti:
Kurangkan jarak tempuh kereta
Nilai sesebuah kereta kebiasaannya bergantung kepada angka jarak tempuhnya. Kereta anda mungkin kelihatan masih baru tetapi harganya akan ditentukan oleh berapa batu (kilometer) yang telah dilalui.
Angka jarak tempuh yang tinggi menandakan kereta tersebut kerap diguna pakai di atas jalan raya. Kebiasaannya, nilai jualan kereta akan menurun dengan mendadak sekiranya ia melebihi 100,000 kilometer meskipun ianya masih berada dalam keadaan baharu.
Sekiranya anda mempunyai niat untuk menjual kereta anda dalam masa beberapa tahun akan datang, anda mungkin mahu mengurangkan penggunaan kereta sekiranya tiada keperluan. Jumlah jarak tempuh yang ideal bagi sesebuah kereta untuk dijual adalah sekitar 80,000 hingga 90,000 kilometer.
Penyelenggaraan berkala
Antara cara terbaik lain untuk mengekalkan nilai jualan semula kereta anda ialah dengan memastikan kereta anda sentiasa diservis dari semasa ke semasa. Apa yang anda perlu lakukan ialah mengikut penyelenggaraan berjadual yang ditetapkan dan pastikan kereta anda dihantar ke pusat servis yang diiktiraf.
Anda sebenarnya dapat menjimatkan duit anda untuk jangka masa yang lama sekiranya anda menjaga kereta anda dengan betul. Penjagaan yang rapi dapat mengurangkan risiko kerosakan kereta.
Ubahsuai biar berpada
Pengubahsuaian atau pemasangan aksesori yang melampau akan menyebabkan pembeli berpotensi berkemungkinan tidak berminat dan was-was untuk membeli. Adalah lebih baik sekiranya anda untuk meminimumkan pengubahsuaian kereta agar tidak nampak terlampau berbeza daripada rupa asal kereta.
Contoh pengubahsuaian yang mungkin akan merendahkan nilai jualan kereta anda adalah seperti rim besar, kit turbo, atau stereo mewah dan sebagainya.
Sekiranya anda tetap mahu mengubahsuai kereta, anda boleh menambah pemasangan aksesori yang dapat menambah nilai kereta anda dan berguna untuk jangka masa yang panjang. Contohnya, sistem infotainmen moden atau pemasangan tint kereta.
Pastikan luaran dan dalaman kereta bersih
Kereta yang bersih mempunyai nilai jualan yang lebih tinggi. Kebiasaannya, perhatian pembeli berpotensi akan lebih tertumpu kepada keadaan luaran kereta. Harga rundingan juga akan ditentukan berdasarkan kebersihan kereta tersebut.
Penjagaan kereta yang konsisten seperti kerap membasuh dan coating dapat memberikan kesan yang baik kepada kereta anda dalam jangka masa yang lama. Ia membantu untuk mengekalkan warna kereta anda, menghilangkan calar dan mencegah kepudaran warna juga.
Jangan lupa untuk menjaga bahagian dalaman kereta juga. Pastikan kereta sentiasa berada dalam keadaan yang bersih.
Pemanduan yang selamat
Tabiat pemanduan yang berhemat dapat membantu kereta anda berfungsi dengan baik dan justeru mengekalkan nilai jualan semula yang lebih tinggi.
Ia juga dapat mengurangkan keperluan untuk penyelenggaraan komponen-komponen kereta seperti brek dan tayar pada jangka masa yang lama.
Perbaiki nilai jualan semula kereta dengan penjagaan berkala
Nilai kereta anda sememangnya akan berkurangan dari semasa ke semasa, tetapi terdapat beberapa cara yang anda boleh lakukan untuk meningkatkan nilai jualan semulanya.
Jangan sesekali perlekehkan kepentingan untuk menjaga kereta anda ya kerana ia boleh bantu meningkatkan nilai kereta anda justeru menaikkan harga jualan semula yang lebih tinggi ketika anda menjualnya.
Bjak ialah salah satu platform perbandingan insurans kereta terbesar di Malaysia yang menawarkan 15 jenama insurans. Dapatkan sebut harga insurans kereta percuma di Bjak.my dan renew insurans kereta dan roadtax secara online dalam hanya 5 minit.