Skip to content
Home » 7 Tips Penting Tapi Mudah Untuk Beli Kereta Terpakai

7 Tips Penting Tapi Mudah Untuk Beli Kereta Terpakai

    tips beli kereta terpakai

    Kini, masih ramai dalam kalangan kita memilih untuk mendapatkan kereta terpakai berbanding kereta baru untuk dijadikan sebagai pengangkutan harian. Selain harganya yang lebih murah, kualitinya juga setanding kenderaan baru apatah lagi jika ia baru dijual selepas kurang 5 tahun dipakai oleh pemilik kereta lama. 

    Namun, untuk membeli kereta terpakai, terdapat beberapa perkara yang perlu diteliti terlebih dahulu. Ia bagi mengelakkan anda sebagai bakal pemilik mengalami kerugian, contohnya rosak selepas baru beberapa bulan menggunakannya.

    Jadi pada artikel kali ini, Bjak akan kongsikan kepada anda beberapa tips penting namun mudah untuk anda lakukan bagi memastikan anda mendapatkan kereta terpakai yang terbaik dan berbaloi. Jom baca selanjutnya di bawah ini!

    Tentukan bajet

    Bajet penting untuk menentukan model kereta yang anda boleh miliki

    Keputusan anda untuk membeli kereta terpakai mungkin bermakna anda mempunyai bajet yang agak terhad dalam mendapatkan sebiji kereta. Justeru, tips paling utama di sini adalah anda perlu menetapkan bajet yang bersesuaian mengikut keperluan, tahap kewangan, dan kemampuan anda. 

    Menerusi bajet yang ditetapkan oleh anda itu, maka anda barulah boleh mengetahui jenis kereta atau model yang bersesuaian boleh anda miliki.

    Bagaimanapun sebelum membeli kereta terpakai, pastikan harga kereta tersebut tidak melebihi jumlah gaji tahunan anda bagi mengelakkan daripada rasa terbeban untuk jangka masa yang panjang. Dan tetapkan juga ansuran bulanan untuk membayar kereta itu nanti tidak melebihi 15% daripada gaji bulanan anda. 

    Untuk memudahkan anda menganggarkan bayaran bulanan ikut bajet, anda juga boleh menggunakan laman web percuma kalkulator pinjaman yang disediakan. 

    Buat survey

    Ini juga langkah penting yang anda perlu lakukan. Jangan bertindak terburu-buru dengan hanya memfokuskan kepada satu-satu platform atau laman web sahaja. Anda kena rajinkan diri membuat survey supaya perbandingan boleh dilakukan bagi mendapatkan kereta terbaik pada harga yang menguntungkan untuk diri anda. 

    Kini, pelbagai platform penjualan kereta terpakai disediakan untuk anda buat perbandingan seperti Mudah.my, Carlist, Mytukardan Carsome

    Dalam pada itu, anda juga tidak digalakkan untuk terus mengunjungi pusat penjualan kereta terpakai tanpa membuat survey secara online terlebih dahulu kerana anda mungkin akan ‘mudah terpujuk’ oleh pihak penjual kereta yang sekali gus menyebabkan anda ‘terbeli’ kereta di luar kemampuan anda. 

    Hadkan tahun pengeluaran

    Meskipun anda ingin membeli kereta terpakai, kami sarankan anda untuk membeli kereta mengikut tahun pengeluaran setakat 5 tahun sahaja. Ini bagi mengurangkan risiko untuk kereta yang bakal dimiliki oleh anda mudah meragam dan cepat rosak. 

    Ingat apabila kereta rosak dan meragam, anda mungkin terpaksa mengeluarkan kos yang lebih banyak untuk pembaikan sehingga menyebabkan anda ‘menyesal’ membeli kereta yang sudah terlalu lama. 

    Cek mileage kereta

    Elak dari membeli kereta yang sudah mencapai mileage terlalu tinggi

    Tahukah anda? Secara amnya, semakin tinggi nilai mileage pada kereta tersebut, semakin rendah nilai jualan sesebuah kereta terpakai. Jadi, jika anda ingin membeli kereta terpakai, pastikan nilai mileage pada kereta tersebut tidak terlalu tinggi dan berada di tahap yang sederhana sahaja.

    Ketahui jadual servis pemilik terdahulu

    Penting untuk anda memastikan bahawa kereta terpakai yang anda ingin miliki itu diservis dengan konsisten mengikut jadual yang ditetapkan oleh pemilik sebelumnya. Lebih bagus jika anda boleh cari kereta yang sering diservis di pusat servis jenama kereta tersebut kerana pusat servis merekodkan sejarah servis menggunakan buku atau sistem sendiri. Maklumat penyelenggaraan adalah penting bagi mengetahui mengenai jenis alat ganti yang pernah ditukar serta rekod kerosakan yang besar seperti enjin.

    Periksa bahagian luar dan dalam kereta termasuk enjin

    Meskipun harga untuk kereta terpakai lebih murah berbanding jika anda membeli kereta baru, namun anda janganlah mengambil remeh dan menganggap ia sebagai perkara yang mudah. 

    Sebaiknya sebelum membeli kereta terpakai, anda lihat, periksa dan teliti dahulu kedua-dua bahagian luaran dan dalaman kereta. Lihat jika ada sebarang kerosakan atau kecacatan di bahagian luaran atau dalaman kereta itu. Jika ada, cuba berunding dengan penjual kereta untuk mendapatkan diskaun, bersesuaian dengan tahap kerosakan tersebut.

    Ingat, nak cat penuh seluruh badan kereta balik memerlukan kos sehingga RM2,000, manakala kalau ingin upah untuk mengetuk badan kereta pula kosnya bermula dari serendah RM150 ke atas. 

    Setelah berpuas hati memeriksa semua perkara di atas, tiba masa untuk anda pastikan bahagian enjin kereta itu masih berada dalam keadaan yang baik dan memuaskan. Jika anda kurang arif, mintalah bantuan daripada yang pakar seperti mekanik kereta bagi mengelakkan anda dari ditipu. 

    Pandu uji

    Sebagai pembeli, anda mempunyai hak untuk memandu uji dulu kenderaan yang ingin dibeli. Ini bagi memberi keyakinan kepada anda sebelum membuat keputusan untuk membeli kereta tersebut. Ketika memandu uji, pastikan perkara-perkara ini diberikan perhatian:

    • Cuba membrek secara perlahan dan kecemasan dan dengar jika ada sebarang bunyi aneh yang keluar
    • Cari selekoh dan belok bagi melihat jika ada bunyi yang dikeluarkan ketika memusing stereng
    • Cari kawasan yang tidak rata dan pandu uji kereta itu bagi mengenal pasti  sebarang bunyi seperti pada bahagian kompartmen
    • Pandu dalam pelbagai had laju dan dengar jika ada bunyi angin, gegaran enjin atau stereng, dan sistem suspensi
    • Uji gear kereta tersebut untuk lihat sama ada gear bergerak dengan lancar atau tersekat-sekat.

    Semoga bermanfaat!


    Bjak menyediakan 15 syarikat insurans untuk pengguna lakukan perbandingan sebelum memperbaharui insurans. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak hari ini dan renew insurans kereta atau motosikal anda dengan mudah dan pantas.

    Baca juga: