Skip to content
Home » Apa Nak Buat Jika Ada Budak Terperangkap Dalam Kereta?

Apa Nak Buat Jika Ada Budak Terperangkap Dalam Kereta?

    budak terperangkap dalam kereta

    Sehingga ke hari ini, masih ada kes di mana ada budak terperangkap di dalam kereta selepas ditinggalkan ‘sekejap’ oleh individu dewasa. Antaranya kerana ingin singgah ke kedai untuk hanya beberapa minit, terlupa dan pelbagai lagi. Akibat daripada situasi ini, ada juga kejadian di mana anak kecil tersebut meninggal dunia, sehingga menimbulkan penyesalan dalam hati ahli keluarga terdekat, meskipun diketahui ia bukan disengajakan.

    Sebagai masyarakat yang prihatin, kita sebenarnya boleh cuba menghulurkan bantuan jika ternampak ada kanak-kanak atau bayi kecil terperangkap di dalam kereta. Namun bagi memastikan keselamatan anak kecil itu lebih terjamin, proses menyelamat perlulah dilakukan dengan betul agar tidak menambah kesulitan dan mencederakannya.

    Jadi, apa sebenarnya yang perlu dan boleh anda lakukan jika ternampak budak terperangkap dalam kereta? Baca perkongsian ini untuk ketahui dengan lebih lanjut mengenainya. 

    Apa perlu anda buat jika nampak budak terperangkap dalam kereta?

    Cara selamatkan budak terperangkap dalam kereta

    Meskipun ada niat untuk menolong, namun anda perlu tahu bahawa anda tidak boleh sewenang-wenangnya memecahkan cermin kereta tersebut ya. Ini bagi mengelakkan anda disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

    Jadi, langkah yang terbaik anda boleh lakukan adalah:

    Cuba cari dahulu ibu bapa atau penjaga anak kecil tersebut

    Sebaik sahaja anda ternampak ada anak kecil terperangkap di dalam kereta, sila lihat sekeliling dan cuba cari ibu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak tersebut. Cari di kedai atau tempat-tempat yang mungkin dituju oleh penjaganya dan tanya orang sekeliling sekiranya ada mengenali atau ternampak penjaga kanak-kanak berkenaan.

    Jangan berlengah dan cuba cari sebaik mungkin ya. Ini kerana kanak-kanak yang ditinggalkan bersendirian di dalam kereta berdepan dengan risiko tinggi untuk mengalami beberapa perkara berbahaya yang boleh mengancam nyawanya termasuklah strok haba. 

    Hubungi pihak berkuasa

    Jika anda masih gagal mengesan penjaga kanak-kanak terbabit selepas beberapa ketika, segera hubungi pihak berkuasa untuk dapatkan bantuan. 

    Sesetengah individu mungkin akan menganggap cara ini berlebihan, namun ini mungkin adalah cara yang terbaik. Pihak berkuasa boleh sampai ke tempat kejadian dengan cepat dan mampu menjalankan tanggungjawab mereka dengan sebaiknya. 

    Tenangkan kanak-kanak tersebut

    Sambil menunggu pihak berkuasa sampai, anda boleh cuba menenangkan anak kecil tersebut agar dirinya berasa selamat dan tidak berasa trauma dengan kejadian yang berlaku.

    Cuba hulurkan bantuan yang anda mampu (selain daripada memecahkan cermin tingkap kereta tersebut) untuk menyelamatkannya. Ingat, cuba pastikan anak kecil itu tidak panik dan menangis secara berterusan bagi mengelakkan berlakunya kejadian yang lebih teruk.

    Jika terdesak…

    Jika anda mengesan kanak-kanak seolah-olah sudah tidak bermaya dan pintu masih belum berjaya dibuka (dan pihak berkuasa juga belum sampai), anda boleh cuba pecahkan cermin kereta yang paling jauh dengan kanak-kanak tersebut. Ini bagi mengelakkan kecederaan berlaku apabila cermin kereta dipecahkan.

    Namun kena ingat ya. Proses untuk pecahkan cermin kereta tidak mudah, jadi anda perlu terus mencuba dengan cara yang baik dan betul.

    Sekiranya anda berasakan anda tidak mampu melakukannya seorang diri, dapatkan bantuan individu di sekitar anda.

    Hukuman penjara dan denda untuk kesalahan meninggalkan anak di dalam kereta

    Sebolehnya, sila elakkan diri anda untuk meninggalkan anak kecil di dalam kereta walaupun untuk tempoh yang sekejap. Ini akan membahayakan anak anda dan seterusnya memberikan penyesalan pada penjaga lebih-lebih lagi jika ia melibatkan kehilangan nyawa. 

    Menurut Polis Diraja Malaysia (PDRM), jika ibu bapa atau penjaga didapati cuai meninggalkan anak bersendirian di dalam kenderaan tanpa pengawasan, dia boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun.

    “Tiada alasan. Tiada kompromi. Kealpaan anda membawa padah. Kecuaian individu meninggalkan kanak-kanak dalam kenderaan tanpa pengawasan adalah suatu kesalahan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

    “Jika disabitkan kesalahan, mereka akan didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya.”

    Jadi, sila jaga anak anda dengan sebaiknya! Ingat, walaupun tingkap kereta dibuka, ianya tidak membantu mengalirkan haba yang panas ke luar kereta. Haba yang terkumpul ini boleh menyebabkan seseorang itu diserang strok pada bila-bila masa.

    Bahkan dengan cuaca di Malaysia, suhu badan anak yang ditinggalkan di dalam kereta boleh meningkat sehingga 70% dalam masa 1 jam. Jadi, jangan sesekali kita ambil ringan kerana ianya sangat berbahaya untuk anak anda!


    Bjak menyediakan lebih 10 jenama insurans untuk pengguna lakukan perbandingan. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak dan pilih pelan terbaik hari ini!

    Baca juga: