Kini terdapat pelbagai jenis aksesori kereta yang digunakan bagi tujuan menaiktaraf penampilan sesebuah kenderaan tersebut disamping memberi keselesaan dan kesenangan buat pemandu.
Namun, terdapat juga beberapa aksesori kereta yang mungkin boleh mendatangkan bahaya untuk anda dan kereta anda. Baca artikel ini untuk ketahui lebih lanjut aksesori mana yang mungkin anda perlu pertimbangkan semula sebelum membeli.
Senarai aksesori kereta yang mungkin tidak selamat
Sarung kusyen kereta
Kebanyakan model kereta keluaran terbaru telah membuat pelbagai penambahan ciri-ciri keselamatan. Ini termasuklah juga penambahan beg udara di bahagian kerusi kereta.
Tujuan pemasangan beg udara keselamatan ialah untuk mengurangkan risiko kecederaan pada pemandu sekiranya kenderaan mereka terlibat di dalam kemalangan jalan raya.
Sama sahaja seperti beg udara keselamatan yang lain, ia akan mengembang dan menolak apa-apa objek yang ada dihadapannya. Sebaik sahaja beg udara mengembang, udara tersebut akan terus dikeluarkan melalui lubang yang dibuat khas agar muka dan badan penumpang tidak tercedera
Namun, pemasangan sarung kusyen kereta mungkin akan menghalang beg udara keselamatan tersebut daripada berfungsi dengan baik pada waktu kecemasan. Ia mungkin menyebabkan kelewatan dalam penggunaan beg udara atau mengembang pada sudut yang tidak dapat diramalkan dan dengan kekuatan yang lebih besar, justeru menolak penumpang ke arah yang lain dan menyebabkan risiko kecederaan yang lebih parah.
Sarung stereng kereta
Kebanyakan individu merasakan sarung stereng kereta ini akan membuatkan kereta nampak lebih bergaya. Tetapi anda perlu tahu bahawa ia juga boleh mendatangkan bahaya juga dalam masa yang sama.
Material sarung stereng yang tidak bersesuaian boleh menyebabkan kegelinciran pada stereng semasa pemanduan dan menyebabkan pemandu hilang kawalan.
Sekiranya anda tetap ingin menggunakan sarung stereng kereta, anda disarankan untuk menggunakan material yang bersesuaian. Sebagai contoh, material yang tidak licin dan menyerap peluh.
Anda boleh bertanyakan kepada pengedar kereta anda kerana mereka lebih tahu material kualiti yang lebih baik untuk keselamatan anda.
Alas dashboard
Alas dashboard dapat membantu untuk melindungi dashboard daripada rosak akibat cahaya matahari.
Walau bagaimanapun, alas dashboard juga berbahaya kerana ia boleh menghalang pengembangan beg udara keselamatan penumpang hadapan semasa kemalangan, yang juga akan membawa kepada kecederaan serius.
Warna penggelap lampu hadapan & lampu belakang
Lampu kereta bertujuan untuk memberi tanda kepada pemandu lain supaya mereka boleh nampak keberadaan anda apabila anda ingin memperlahankan kereta, menukar laluan atau mengundurkan kereta.
Namun, sesetengah individu memilih untuk memasang tint pada lampu kereta bagi menampakkan kereta lebih bergaya. Ada yang mengenakan lapisan berwarna seperti warna merah, jingga atau putih yang membuatkan lampu kereta akan menjadi lebih gelap.
Hasilnya sememangnya akan menjadikan kereta anda lebih elegan tetapi ia boleh membahayakan anda dan pengguna jalan raya yang lain. Lampu kereta berwarna boleh meningkatkan risiko kemalangan kerana ia mengurangkan kadar keamatan cahaya. Malah, ia juga boleh menyukarkan tahap ketelusan pencahayaan dan mengurangkan jarak penglihatan pemandu terutama pada waktu malam.
Keberadaan anda di atas jalan raya akan kelihatan kabur dan atau mungkin tidak dapat dilihat sama sekali oleh pemandu lain pada waktu malam.
‘Dummy buckle’ tali pinggang keledar
Dummy buckle atau alat nyah aktif penggera tali keledar ini pada asalnya sebenarnya direka dan dipasarkan untuk kegunaan individu berbadan saiz besar. Namun, ia kini disalah guna untuk tujuan ‘mematikan’ penggera tali keledar kenderaan, sekali gus berupaya mengundang risiko ketika kemalangan.
Menurut Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), aksesori ini boleh menyebabkan ciri keselamatan kereta seperti beg udara tidak dapat berfungsi dengan baik. Ini akan menyebabkan pemandu dan penumpang terdedah kepada bahaya semasa kemalangan.
Menurut laporan, 30% daripada 1,000 kes kemalangan jalan raya daripada tahun 2017 sehingga 2020 melibatkan individu yang tidak memakai tali pinggang dengan betul, malah menggunakan dummy buckle.
Karpet non-OEM
Karpet kereta adalah antara aksesori kereta yang kebiasaannya akan digunakan oleh pemilik kenderaan. Ia bantu mengelakkan kotoran dari kasut seperti lumpur atau pasir daripada melekat dan mengotorkan lantai kereta.
Tapi anda perlu tahu bahawa penggunaan karpet kereta yang tidak mengikut saiz dan ukuran yang betul boleh mengundang bahaya semasa pemanduan.
Sebagai contoh, karpet jenis bukan OEM (Original Equipment Manufacturer). Karpet jenis ini agak berbahaya kerana ia tidak dipotong mengikut ukuran tepat lantai kereta anda. Sesetengah mungkin tersangkut pada pedal pemecut atau brek dan menyebabkan kegagalan untuk mengawal kenderaan dan mengakibatkan kemalangan.
Anda disarankan untuk membeli karpet OEM daripada pengedar kereta yang diiktiraf. Meskipun harganya mungkin agak mahal tetapi ia adalah pelaburan yang berbaloi demi keselamatan anda.
Dapatkan aksesori kereta yang selamat untuk kereta anda
Sebelum anda ingin mendapatkan aksesori-aksesori ini untuk kereta anda, adalah lebih baik untuk anda selidik atau bertanya kepada pakar terlebih dahulu tentang keselamatannya.
Ingat ya, keselamatan anda adalah lebih utama.
Bjak ialah salah satu platform perbandingan insurans kereta terbesar di Malaysia yang menawarkan 15 jenama insurans. Dapatkan sebut harga insurans kereta percuma di Bjak.my dan renew insurans kereta dan roadtax secara online dalam hanya 5 minit.