Kemuncak penghujung tahun 2021 menyaksikan beberapa buah negeri di Malaysia terjejas teruk akibat banjir. Lebih menyedihkan, bencana itu berlanjutan sehingga Januari 2022 di banyak tempat dan sudah mengorbankan ramai individu.
Bencana banjir yang berlaku sememangnya memberikan tamparan hebat khususnya buat mangsa. Harta benda seperti rumah dan kenderaan banyak dilihat telah rosak serta musnah akibat kejadian ini.
Bantuan Baucar Diskaun Automotif Keluarga Malaysia
Kerosakan besar yang berlaku pada harta benda akibat banjir sememangnya membuntukan mangsa. Ini kerana, kos untuk pembaikan semula pastinya bakal menelan belanja yang sangat besar seperti contoh pembaikan untuk kenderaan persendirian.
Justeru, menyedari akan perkara itu kerajaan menyediakan bantuan bagi meringankan sedikit beban mangsa banjir dengan pemberian Baucar Diskaun Automotif Keluarga Malaysia.
Baucar bernilai sehingga RM1,000 itu boleh digunakan oleh pemilik kenderaan warganegara yang layak di pusat servis atau pengedar sah syarikat automotif terlibat.
Tidak perlu buat permohonan
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan bahawa individu terjejas tidak perlu membuat sebarang permohonan bagi mendapatkan baucar itu.
Katanya, pengurangan kos pembaikan boleh dinikmati secara potongan terus daripada kos keseluruhan pembaikan atau kos penggantian kenderaan baharu melalui invois yang dikeluarkan pusat servis dan pengedar sah.
“Pemilik kenderaan boleh menghubungi syarikat automotif berkenaan untuk mengetahui pusat servis yang berdekatan,” katanya seperti menurut laporan.
Tarikh akhir tuntutan inisiatiaf Baucar Diskaun Automotif Keluarga Malaysia adalah pada 31 Mac 2022.
Senarai syarikat automotif yang terlibat
Senarai syarikat automotif yang terlibat setakat ini adalah seperti berikut:
- Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (PERODUA)
- Perusahaan Otomobil Nasional Sdn. Bhd. (PROTON)
- Tan Chong & Sons Motor (Nissan)
- UMW Toyota Motor
- Honda Malaysia
- Mitsubishi Motors Malaysia (MMM)
- Volvo car Malaysia
- TC Euro Cars (Renault)
- Mercedes-Benz Malaysia
- BMW Malaysia
- Sime Darby Motor Group (untuk Ford, Hyundai dan lain-lain)
- Mazda, Peugeot dan KIA
- TC Subaru
- Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM)
- Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd.
- Boon Siew Honda Sdn.Bhd.
- Motosikal Dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (MODENAS)
- Mofaz Motorsikal Sdn. Bhd.
- KMSB Motors Sdn.Bhd. (Suzuki)
Nak repair kereta? Semak dulu harga
Dalam pada itu, pengasas bersama bengkel kenderaan, Scrut Auto, Nik Muhammad Izwan Nik Mohd Kamel mengingatkan individu yang kenderaannya mengalami kerosakan akibat banjir untuk menyemak dulu harga atau memeriksa invois yang ditetapkan bengkel sebelum bersetuju membaiki kenderaan di pusat servis tersebut.
Katanya, mangsa terjejas dinasihatkan untuk hubungi dulu bengkel yang dikenali sebelum mendapatkan slot pemeriksaan bagi elak daripada ditipu.
“Jangan terus hantar kerana kebanyakan bengkel sekarang penuh. Pastikan setelah diperiksa, sebut harga diberikan. Jika tidak setuju, rasa mahal, bawa pulang semula kereta anda,” katanya seperti menurut laporan.
Sebagai peringatan kepada anda, di saat-saat seperti ini tidak mustahil ada pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan menawarkan harga yang tidak masuk akal dan cekik darah kepada mangsa terjejas.
Justeru, anda perlu membuat langkah bijak bagi mengelakkan diri daripada ditipu oleh pihak tertentu.
Dapatkan perlindungan peril khas
Malang tidak berbau. Situasi yang berlaku pada ketika ini diharap dapat membuka mata anda sebagai pemilik kenderaan tentang betapa pentingnya mendapatkan perlindungan insurans yang mencukupi.
Perlindungan tambahan peril khas (bencana alam) dapat mengurangkan beban anda jika kenderaan rosak atau musnah akibat bencana alam seperti banjir. Dengan perlindungan ini, anda boleh membuat tuntutan daripada syarikat insurans bagi membaiki kerosakan pada kenderaan.
Sebaliknya tanpa adanya perlindungan peril khas di dalam polisi komprehensif anda, segala kos pembaikan perlu ditanggung sendiri tidak kiralah sama ada kereta anda baru dikeluarkan/ beli ataupun sudah lama.
Jadi selepas ini, ketika ingin memperbaharui insurans, pastikan anda turut menambah perlindungan tambahan peril khas di dalam polisi komprehensif anda supaya tidak perlu terbeban dengan masalah kewangan sekiranya berlaku sesuatu yang tidak dijangkakan.
Anda juga boleh layari laman web Bjak untuk mendapatkan perlindungan insurans komprehensif terbaik buat kenderaan anda. Sebanyak 15 jenama insurans disediakan untuk anda membuat pilihan. Dapatkan dulu sebut harga percuma hari ini.