Skip to content
Home » Banjir 2021 – Negeri Terjejas, Bantuan Umum & Cara Claim Insurans

Banjir 2021 – Negeri Terjejas, Bantuan Umum & Cara Claim Insurans

    Banjir 2021

    Pengakhiran tahun 2021 kali ini sekali lagi menjadi mimpi ngeri buat majoriti rakyat Malaysia apabila bencana banjir yang begitu dasyat dan teruk melanda beberapa buah negeri sejak minggu lalu akibat hujan yang berterusan.

    Banjir yang melanda lapan negeri pada musim monsun timur laut tahun ini menyaksikan negeri Selangor menjadi negeri paling teruk terjejas sehingga sesetengah kawasan atau daerah dilihat masih belum pulih malah masih ramai mangsa yang terperangkap dan perlu diberikan bantuan segera.

    Negeri terjejas banjir

    Banjir buruk melanda 8 buah negeri sejak minggu lalu

    Selain Selangor, 7 buah negeri lagi yang terlibat dengan banjir setakat artikel ini ditulis adalah Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan Kuala Lumpur. 

    Berikut kami kongsikan perkembangan terkini banjir di negeri-negeri terlibat untuk makluman anda.

    Selangor – Ibu negeri Selangor iaitu Shah Alam boleh dikatakan hampir lumpuh apabila banyak kawasan terjejas akibat banjir sejak Khamis. 73 jalan utama di Selangor turut ditutup dengan banyak daerah lain masih mengalami banjir buruk sehingga hari ini seperti di Kuala Langat, Klang, Hulu Selangor, dan Subang.

    Lebih menyedihkan, laporan setakat 3 petang 21 Disember menyatakan bahawa seramai 17 individu termasuk seorang sukarelawan disahkan terkorban akibat banjir di Selangor setakat ini.

    Pahang – Keadaan banjir di Pahang semakin buruk apabila jumlah mangsa meningkat ketika ini.

    Sementara itu menurut laporan, negeri Pahang telah mencatat jumlah enam korban manakala empat lagi masih dilapor hilang dapat kejadian banjir lumpur di Telemong, Bentong.

    Kelantan – Di Kelantan, jumlah mangsa terus meningkat setakat jam 6 petang 19 Disember 2021, apabila seramai 4,324 orang daripada 1,065 keluarga dipindahkan ke PPS. Ia membabitkan daerah Kuala Krai, Gua Musang, Pasir Mas, Jeli dan Tanah Merah.

    Negeri SembilanLima daerah di negeri ini terkesan dengan bencana Monsun Timur Laut iaitu Seremban, Port Dickson, Rembau, Kuala Pilah dan Jelebu. Setakat laporan 19 Disember, sebanyak 9 PPS di negeri itu dibuka bagi menempatkan 358 mangsa banjir yang terjejas. 

    Terengganu – Di Terengganu, kebanyakan paras air sungai-sungai utama di negeri ini berada di paras normal kecuali di stesen bacaan Sungai Kemaman di rumah pam Paya Paman yang merekodkan ketinggian 4.45 meter (m) mengatasi paras bahaya 4m.

    Kuala Lumpur – Cuaca di Kuala Lumpur dilihat bertambah baik apabila hujan lebat dilihat mulai berhenti dan menyebabkan air surut di kebanyakan kawasan terjejas. Bagaimanapun, seramai 371 mangsa masih ditempatkan di tiga PPS.

    Melaka – Dua daerah yang terkesan akibat banjir iaitu Alor Gajah dan Melaka Tengah melibatkan 729 mangsa.

    Perak – Jumlah mangsa di negeri ini meningkat kepada 242 orang membabitkan 65 keluarga. Mangsa-mangsa dipindahkan ke tiga PPS di dua daerah yang terjejas akibat banjir iaitu Hilir Perak dan Muallim. 

    Bantuan umum kepada mangsa banjir

    Berikut kami kongsikan kepada anda senarai bantuan umum yang diberikan kerajaan dan pihak tertentu untuk membantu mangsa banjir yang terjejas.

    Pasukan penyelamat – Menurut laporan Harian Metro pada 19 Disember, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata secara keseluruhannya 66,015 petugas agensi penguatkuasa sudah digerakkan untuk membantu di lokasi banjir.

    Katanya, agensi terbabit adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pejabat Daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

    Pusat Pemindahan Sementara (PPS) – Sebanyak 5,731 PPS tersedia di seluruh negara yang boleh menempatkan 1,628,512 mangsa. Pada masa sama, 500 sukarelawan Skuad Keluarga Malaysia sudah digerakkan untuk membantu mangsa di PPS.

     Sebanyak 5,731 PPS tersedia di seluruh negara bagi menempatkan mangsa banjir

    Bantuan RM1,000 – Kerajaan mengumumkan bantuan sebanyak RM1,000 kepada ketua isi rumah yang terjejas akibat banjir. Bantuan itu akan disalurkan selepas kesemua mangsa yang kini ditempatkan di PPS pulang ke rumah masing-masing. 

    Cuti berbayar kepada penjawat awam – Kerajaan mengumumkan cuti kecemasan kepada semua kakitangan awam yang terkesan akibat banjir. Manakala untuk kakitangan swasta pula, syarikat disarankan untuk memberi pekerja cuti berbayar dengan tidak menolak peruntukan cuti tahunan dan gaji mereka. 

    Bantuan pasca banjir – Kerajaan Persekutuan bersetuju menyediakan sumbangan awal berjumlah RM100 juta bagi seluruh negara sebagai bantuan pasca banjir bagi membaiki kerosakan rumah dan infrastruktur-infrastruktur lain. 

    Petronas – Petronas akan menyalurkan sumbangan sebanyak RM25 juta untuk memberi bantuan kepada mangsa bencana banjir yang melanda beberapa kawasan di negara ini.

    Bantuan Perodua kepada pemilik kenderaan – Perodua menawarkan bantuan termasuk rebat khidmat tunda, diskaun 20% untuk alat ganti terpilih dan pemeriksaan percuma untuk semua kenderaan Perodua yang mengalami kerosakan akibat banjir. Pelanggan Perodua boleh membuat claim bagi khidmat tunda sehingga maksimum RM100 di Pusat Servis Perodua terdekat mengikut terma dan syarat yang telah ditetapkan. 

    Perodua membantu mangsa banjir dengan menawarkan pemeriksaan kenderaan secara percuma

    5 perkara perlu dilakukan bila kereta terlibat banjir

    Apabila tibanya musim banjir, antara perkara lain yang turut menjadi kebimbangan adalah jika kenderaan terperangkap dalam banjir. 

    Berikut merupakan 5 langkah yang anda perlu ikuti jika kenderaan terperangkap dalam banjir.

    Jangan hidupkan enjin kereta

    Jika anda cuba menghidupkan enjin kereta, enjin yang sudah terjejas akibat banjir mungkin akan mengalami kerosakan yang lebih teruk dan berpotensi tinggi untuk berlaku litar pintas. Apa yang anda perlu lakukan adalah tunggu air banjir surut, dan hubungi trak tunda untuk membawa kereta anda ke bengkel. 

    Periksa paras minyak enjin dan gearbox

    Periksa paras dipstick minyak selepas kereta terlibat dalam banjir. Pastikan juga anda buat flushing dan gantikan dengan minyak baru. Ingat, air banjir yang bercampur dengan minyak hitam atau minyak gearbox boleh merosakkan komponen. 

    Cabut dan keringkan komponen elektrik

    Radio, bateri, HUD Display atau apa sahaja komponen elektrik dalam kereta hendaklah dicabut untuk dikeringkan.

    Flush petrol jika perlu

    Untuk elakkan kereta anda perlu overhaul, buat pemeriksaan di bengkel atau pusat servis kereta bagi melihat sama ada perlu untuk flush minyak sehingga betul-betul kering atau mengisi minyak baru.

    Keluarkan air daripada enjin

    Bergantung pada kenderaan anda, ada air yang boleh dipam keluar dengan mencabut spark plug sambil enjin running. Bagaimanapun, dapatkan dulu nasihat daripada bengkel atau pusat servis kereta anda.

    Boleh ke claim insurans kenderaan rosak akibat banjir?

    Untuk makluman anda, perlindungan insurans kenderaan asas tidak menawarkan perlindungan jika kenderaan anda rosak akibat banjir.

    Anda hanya boleh membuat tuntutan insurans untuk pembaikan kereta akibat banjir sekiranya anda ada atau telah membeli perlindungan tambahan peril khas (bencana alam) di dalam polisi komprehensif insurans kereta anda.

    Bagaimanapun, tuntutan anda itu perlu dibuat di bawah tuntutan kerosakan sendiri (own damage) yang mana ia akan memberi kesan kepada kadar NCD semasa anda. NCD anda akan kembali ke angka sifar dan insurans akan menjadi mahal pada tahun berikutnya.

    Cara claim insurans akibat banjir

    Berikut kami kongsikan cara untuk anda membuat tuntutan insurans bagi  kenderaan yang rosak akibat banjir

    Hubungi pihak insurans 

    Anda boleh hubungi pihak insurans anda sekiranya kereta rosak akibat banjir dan memerlukan bantuan khidmat tunda. Jangan cuba untuk memandu kereta anda sendiri kerana ia mungkin boleh menyebabkan kerosakan lebih teruk pada kenderaan. 

    Kumpulkan bukti

    Senarai dokumen yang diperlukan adalah:

    • Catatan lokasi dan masa/ tarikh kereta ditenggelami banjir
    • Gambar kerosakan kereta yang ditenggelami banjir
    • Salinan lesen memandu pemilik kereta
    • Salinan geran kereta
    • Salinan polisi insurans 
    • Butiran/ dokumen sokongan yang menjelaskan kerosakan kereta (jika ada)

    Buat laporan polis

    Jika mengikut undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, anda perlu membuat laporan polis dalam tempoh 24 jam. Namun jika anda mempunyai alasan yang munasabah, anda masih boleh membuat laporan polis meskipun melepasi tempoh 24 jam.

    Serahkan borang tuntutan dan dokumen sokongan kepada syarikat insurans

    Serahkan borang tuntutan bersama dokumen-dokumen sokongan yang disenaraikan di atas kepada syarikat insurans anda. Mereka akan memaklumkan semula kepada anda tempoh masa yang diperlukan bagi memproses tuntutan anda

    Hantar kereta ke bengkel

    Pastikan kereta anda dihantar ke bengkel panel syarikat insurans anda. 

    Banjir dan Covid

    Saringan Covid di PPS

    Kementerian Kesihatan (KKM) akan melakukan saringan ke atas semua mangsa banjir sebelum ditempatkan di PPS bagi mengelak penularan wabak Covid-19 yang sedang melanda ketika ini.

    Menurut menterinya, Khairy Jamaluddin, mangsa banjir yang bergejala, berisiko atau positif akan diasingkan bagi mengelakkan penularan jangkitan kepada mangsa banjir yang lain. 

    “Bagi kes positif akan diisolasi di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 berisiko rendah (PKRC), PPS khas atau dirujuk hospital mengikut keperluan.

    “Mereka yang dikategorikan kontak rapat atau Pesakit Di bawah Pengawasan (PUS) akan dikuarantin di PPS Khas atau PPS yang sama tetapi di blok lain manakala mangsa banjir yang bergejala tetapi ujian saringan adalah negatif juga akan dikuarantin,” katanya seperti menurut laporan

    Jaga diri, kekal selamat

    Bencana banjir yang berlaku pada ketika sememangnya luar biasa berbanding tahun-tahun sebelum ini. Bjak mendoakan agar semua mangsa yang terjejas akibat banjir tabah, cekal dan mampu mengharungi ujian ini. 

    Jika anda perlukan bantuan kecemasan, sila hubungi talian Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di nombor 03-80642400.