Sesiapa sahaja pasti berasa sedikit gugup dan gelisah apabila memandu berhampiran kenderaan berat seperti lori. Pelanggaran dengan lori boleh menjadi suatu perkara yang mengerikan, dan seringkali akan membawa maut.
Namun begitu, anda sebagai pemandu sebenarnya boleh berasa lebih selamat jika menjaga jarak dan mengamalkan tips pemanduan tertentu apabila berkongsi jalan dengan kenderaan jenis ini.
Justeru pada artikel kali ini, Bjak akan kongsikan kepada anda beberapa tips yang boleh membantu anda untuk berasa lebih selamat apabila berkongsi jalan dengan lori dan seterusnya mengelak daripada berlakunya kejadian tidak diingini seperti kemalangan.
Jauhi titik buta lori
Titik buta adalah kawasan di sekeliling kenderaan di mana pemandu tidak dapat melihat kenderaan lain pada cermin sisi atau cermin pandang belakang. Titik buta lori akan mengambil lebih banyak ruang berbanding kenderaan lain kerana ia lebih besar.
Penting untuk anda tahu dan memahami di mana titik buta ini bagi mengelakkan kemalangan jiwa. Berikut adalah beberapa kawasan yang biasanya tidak dapat dilihat oleh pemandu lori:
- Kira-kira 20 kaki di hadapan lori
- Sekitar 30 kaki di belakang treler yang dipasang
- Kawasan belakang cermin di bahagian kanan kabin
- Kawasan belakang cermin di bahagian kiri kabin
- Bahagian kiri lori berdekatan dengan depan
Cara terbaik untuk anda ikuti ialah jika anda tidak dapat melihat cermin pemandu lori dengan jelas, dia mungkin tidak dapat melihat anda.
Beri lebih ruang kepada lori untuk bergerak dengan selamat
Lori memerlukan lebih banyak ruang untuk bergerak dengan selamat kerana saiz dan beratnya yang lebih besar. Pemandu lori memerlukan lebih banyak ruang untuk berhenti. Beri mereka ruang yang cukup untuk membuat selekoh atau menukar lorong. Ini termasuk:
- Memberi ruang kepada pemandu lori menukar lorong apabila diperlukan
- Tidak berhenti di hadapan lori besar
- Memberi ruang yang lebih besar untuk pemandu lori membuat pusingan
Sebagai pemandu kenderaan yang lebih kecil, sila perlahankan kenderaan dan jaga jarak sebaik mungkin untuk mengurangkan risiko pelanggaran.
Gunakan signal
Sila jadi pemandu yang bertanggungjawab di jalan raya dengan memasang lampu signal apabila perlu sebagai tanda amaran kepada pengguna lain.
Contohnya jika anda ingin membelok. Anda boleh menekan brek dan menghidupkan signal untuk memberitahu kenderaan di belakang bahawa anda akan membelok tidak lama lagi. Ini akan membantu pemandu lain untuk menentukan langkah seterusnya yang perlu dilakukan, termasuk memperlahankan kenderaan mereka dan mengelakkan pelanggaran dari belakang.
Contoh lain adalah jika ingin melepasi lori di jalan raya. Sila pastikan anda menggunakan signal kereta anda. Pemandu lori akan memperlahankan kelajuan dan juga nyalakan lampu depan kenderaan mereka untuk memberi isyarat kepada anda apabila anda boleh memotong dengan selamat.
Malapkan lampu
Lampu terang boleh membantu penglihatan anda di jalan raya, terutamanya pada waktu malam. Walau bagaimanapun, ia turut boleh menjejaskan penglihatan pemandu dan berpotensi menyebabkan kemalangan.
Jangan mengekori lori
Anda mungkin menganggap bahawa anda boleh berhenti dengan pantas jika lori di hadapan anda berhenti secara mengejut. Jangan ambil sebarang risiko kerana anda mungkin tidak dapat berhenti tepat pada masanya dan seterusnya melanggar kenderaan berat tersebut.
Mengekori kenderaan berat dengan terlalu rapat selalunya akan mengakibatkan pelanggaran dari bawah, di mana kenderaan yang lebih kecil akan tergelincir di bawah lori. Ini boleh menyebabkan kecederaan parah kepada penumpang di dalam kenderaan, bahkan membawa maut. Lebih teruk lagi, kenderaan lain di belakang anda mungkin juga tidak dapat berhenti tepat pada masanya dan seterusnya melanggar kenderaan anda.
Oleh itu, sila jaga jarak anda dengan lori untuk mengelakkan sebarang kemungkinan berlakunya kemalangan.
Perlahan ketika cuaca buruk
Pemandu lori berdepan dengan lebih banyak risiko di jalan basah untuk mengawal kenderaan mereka serta berhenti dalam keadaan kecemasan.
Jalan licin selepas hujan boleh mengurangkan kadar cengkaman tayar kenderaan di atas jalan dan menyebabkan ia tergelincir. Keadaan ini lebih berbahaya untuk lori dan boleh menyebabkan ia bergoyang dan seterusnya terbalik atau terbabas ke lorong lain.
Pandu dengan berhati-hati apabila berkongsi jalan dengan lori
Anda tidak akan terlepas untuk memandu berhampiran lori terutamanya di lebuhraya. Apa yang boleh anda lakukan ialah memandu dengan lebih berhati-hati dan berwaspada apabila memandu melepasi mereka.
Pandu cermat, nyawa selamat!