Skip to content
Home » Ketahui Titik Buta Kenderaan Ketika Memandu

Ketahui Titik Buta Kenderaan Ketika Memandu

    Blind spot kenderaan

    Kemalangan jalan raya boleh berlaku disebabkan pengabaian terhadap titik buta atau blind spot kenderaan. Sebagai seorang pemandu, anda sebenarnya perlu bijak dalam mengenal pasti beberapa kawasan titik buta ketika memandu bagi mengelak daripada berlakunya perkara yang tidak diingini. 

    Apakah itu titik buta?

    Blind spot merujuk kepada kawasan disekeliling kenderaan yang tidak boleh dilihat secara langsung oleh pemandu

    Untuk yang masih belum tahu khususnya pemandu baru, titik buta atau lebih dikenali sebagai ‘blind spot’ merujuk kepada kawasan disekeliling kenderaan yang tidak boleh dilihat secara langsung oleh pemandu ketika sedang memandu. 

    Di dalam zon titik buta, pemandangan pemandu akan terhalang oleh sudut pandangan yang terlindung. Walaupun hampir semua jenis kenderaan mempunyai kawasan titik buta, namun terdapat dua jenis kenderaan yang tidak mempunyai sebarang had pandangan yang menyebabkan terhasilnya titik buta, iaitu basikal dan motosikal.

    Bagaimanapun, kedua-dua jenis kenderaan ini khususnya motosikal paling kerap menjadi mangsa kemalangan disebabkan oleh titik buta kenderaan lain atau bermakna, mereka tidak dapat dilihat oleh kenderaan lain. 

     Di manakah zon titik buta ketika memandu?

    Pada kebiasaannya, zon titik buta kenderaan adalah di kawasan sebelah pintu depan dan belakang kedua-dua belah kenderaan anda yang gagal dilihat/ tidak kelihatan pada cermin sisi. 

    Bagaimanapun perlu anda ketahui bahawa setiap titik buta kenderaan adalah berbeza-beza bergantung kepada jenis kenderaan, reka bentuk dan saiz yang menyebabkan pemandu mungkin tidak dapat melihat kenderaan lain melalui cermin sisi, cermin pandang belakang mahupun kamera kenderaan.

    Dimensi serta jarak kedudukan pemandu dengan stereng juga boleh mempengaruhi saiz dan kedudukan titik buta. Secara mudahnya, semakin besar dan tinggi kenderaan (contohnya lori, bas, van), semakin besar zon titik buta yang terhasil.

    Contoh blind spot kenderaan
    Contoh blind spot kenderaan

    Bagaimanakah cara mengurangkan titik buta ketika memandu?

    Pada hari ini, kebanyakan pengeluar kenderaan sudah mempertimbangkan titik buta yang akan dialami oleh pemandunya. Justeru, pengeluar-pengeluar kereta ternama mula menawarkan ciri baharu yang mampu membantu mengurangkan titik buta yang bakal dialami oleh pemandu. 

    Walaupun begitu, sebagai pemandu anda tetap perlu berhati-hati dan melakukan beberapa perkara atau langkah-langkah seperti di bawah ini untuk mengurangkan titik buta.

    Laraskan cermin sisi

    Betulkan cermin sisi ikut keselesaan anda

    Cermin sisi merupakan komponen yang sangat penting bagi mengurangi titik buta ketika memandu. Jadi, penting anda adjust atau laraskan cermin sisi kereta anda sebelum bergerak mengikut keselesaan sudut pandang anda. 

    Tambah cermin bahagian titik buta cermin

    Cermin tambahan kecil dapat membantu mengurangi titik buta ketika memandu

    Cermin sisi sahaja kadang-kala mungkin tidak begitu membantu mengatasi pandangan titik buta. Jadi bagi mengatasi masalah ini, anda boleh memasang cermin tambahan kecil yang dapat membantu mengurangi titik buta ketika memandu. Lokasi paling tepat untuk memasang cermin tambahan ini adalah di bahagian atas atau bawah sisi utama bahagian dalam.

    Perhatikan sekeliling kenderaan

    Pastikan keadaan sekeliling selamat sebelum menukar lorong

    Sebelum menukar lorong, anda boleh menoleh sedikit ke sebelah kiri atau kanan bagi memastikan bahawa tiada kenderaan lain berhampiran anda dan seterusnya selamat ketika menukar lorong. 

    Berada di zon terbuka

    Elak berada di celah-celah antara satu kenderaan dengan kenderaan lain, terutamanya dengan kenderaan berat. Ia sangat membahayakan kerana pemandu berisiko untuk terhimpit dengan dua kenderaan sekali gus. 

    Gunakan signal

    Hidupkan signal sebelum ingin menukar arah atau lorong

    Jangan malas dan pentingkan diri sendiri! Sebelum ingin menukar lorong, arah atau sebagainya, pastikan kenderaan anda menghidupkan signal sebagai tanda isyarat kepada kenderaan lain untuk memberi laluan kepada anda. 

    Kekalkan jarak selamat

    Penting untuk anda kekalkan jarak selamat antara sesebuah kenderaan terutamanya kenderaan berat seperti lori, bas, treler dan sebagainya. Ia bagi mengelakkan anda daripada berada dalam kawasan titik buta mereka. Pastikan kenderaan anda berada sekurang-kurangnya 10 meter daripada kenderaan di hadapan agar pemandu tersebut dapat melihat pergerakan kereta anda.

    Jangan memotong di sebelah kiri

    Elak memotong di sebelah kiri kerana pemandu yang berada di sebelah kanan akan sukar untuk melihat anda sekiranya anda memotong di sisi kiri. 

    Berhati-hati dengan zon titik buta

    Titik buta kadang kala tidak disedari oleh pengguna jalan raya dan ia juga boleh terjadi di dalam kenderaan yang kita pandu. Ia berbahaya kerana kedudukannya menghalang pandangan terhadap kenderaan lain yang berada di sekeliling kenderaan yang dipandu kita.

    Jadi sebagai seorang pemandu yang berpengalaman dan berhemah, pastikan anda tahu dan fahami zon-zon titik buta kenderaan bagi mengelakkan anda mahupun kenderaan lain terbabit dengan kemalangan jalan raya.


    Bjak menyediakan lebih 10 jenama insurans untuk pengguna lakukan perbandingan. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak dan pilih pelan terbaik hari ini!