Pasti ramai diantara kita mahu pun rakan atau ahli keluarga kita yang sedang pening kepala nak tahu cara untuk renew roadtax motor yang dah lama mati. Perkara itu sebenarnya mudah sahaja jika anda tahu cara serta prosedurnya.
Namun ia akan menjadi susah bagi yang baru pertama kali menghadapi situasi tersebut. Seperti yang kita ketahui, cukai jalan motosikal atau roadtax motor adalah salah satu komponen penting yang perlu ada pada setiap motosikal di Malaysia sebelum mula dibawa ke jalan raya. Ini kerana, cukai jalan telah termaktub dalam undang-undang jalan raya. Gagal untuk memiliki atau memastikan bahawa ia masih aktif dan sah boleh mengakibatkan si pemiliknya dikenakan tindakan undang-undang.
Disebabkan itulah, setiap pemilik motosikal wajib untuk memastikan bahawa motosikal milik mereka masih aktif untuk mengelakkan daripada sebarang masalah yang mungkin timbul pada masa hadapan. Antara masalah tersebut adalah jika roadtax motosikal anda telah tamat tempoh lebih dari 3 tahun, ada beberapa prosedur yang perlu anda lakukan untuk memperbaharuinya. Untuk mengetahui prosedur tersebut serta apakah kesan jika roadtax anda tidak diperbaharui, teruskan membaca artikel ini.
Akibat cukai jalan tamat tempoh
Kena Saman
Perkara yang paling biasa penunggang motosikal kena adalah disaman oleh pihak penguatkuasa. Inilah risiko yang perlu ditanggung oleh anda jika cukai jalan motosikal anda telah tamat tempoh. Seperti yang kita semua ketahui, sekatan jalan raya yang dilakukan oleh pihak berkuasa tidak dapat dijangka.
Tengah sedap-sedap, menunggang motosikal, tahu-tahu di hadapan ada sekatan jalan raya. Jika anda mempunyai cukai jalan yang sah dan masih aktif tak mengapa, namun jika cukai jalan anda tiada atau tamat tempoh, bersiap sedialah untuk disaman.
Tak boleh tuntut insurans
Kemalangan jalan raya adalah suatu perkara yang tidak mungkin boleh dijangka oleh sesiapa pun. Malang tidak berbau, itulah peribahasa yang sesuai dan sering kali digunakan untuk menggambarkan kejadian kemalangan.
Perlu diingatkan bahawa jika motosikal anda yang tidak mempunyai cukai jalan atau cukai jalan telah tamat tempoh terlibat kemalangan, anda secara automatik tidak layak untuk menuntut insurans. Disebabkan oleh itu, kos pembaikan atas kerosakan yang terjadi perlu ditanggung oleh anda sendiri.
Motosikal bakal tersadai dan rosak
Kegagalan anda untuk memperbaharui cukai jalan tamat tempoh juga mungkin menyebabkan anda lebih jarang menggunakan kenderaan tersebut di jalan raya. Akibatnya, kenderaan anda itu akan tersadai malah mungkin akan rosak jika semakin lama ia tidak digunakan.
Cara renew cukai jalan motosikal yang dah mati kurang 3 tahun
Motosikal yang cukai jalannya telah tamat tempoh kurang dari 3 tahun tidak perlu menjalani pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) sebelum boleh memperbaharui cukai jalan dan insurans mereka.
Ini kerana, bermula pada 4 September 2020 yang lalu kerajaan telah memberi pengecualian kepada pemilik kenderaan yang cukai jalannya telah tamat tempoh kurang dari 3 tahun untuk tidak perlu menghantar motosikal mereka ke PUSPAKOM. Sebagai contoh, jika cukai jalan motosikal lama anda itu telah tamat tempoh selama setahun setengah, anda boleh terus memperbaharuinya seperti biasa. Dengan syarat, tidak melebihi tempoh 3 tahun yang telah ditetapkan.
Cara renew cukai jalan motosikal yang dah mati lebih 3 tahun
Jika cukai jalan motosikal anda sudah tamat tempoh melebihi 3 tahun, anda tidak boleh memperbaharuinya seperti biasa. Terdapat beberapa langkah yang perlu anda ikuti sebelum boleh memperbaharuinya.
1. Buat janji temu dengan PUSPAKOM
Anda perlu membuat janji temu dengan PUSPAKOM sebelum anda hadir bersama dengan motosikal anda ke PUSPAKOM untuk membuat pemeriksaan. Untuk membuat janji temu, anda boleh membuatnya secara online dengan melayari laman web PUSPAKOM atau pun boleh terus hubungi pejabat PUSPAKOM yang terdekat untuk menempah slot janji temu. Bayaran yang akan dikenakan untuk membuat pemeriksaan terhadap motor anda adalah sebanyak RM20 sahaja.
2. Pastikan motor anda lengkap dan berada dalam keadaan baik
Bagi memastikan motosikal anda lulus daripada pemeriksaan tersebut, disarankan agar anda periksa dan perbaiki segala kerosakan yang terdapat pada motosikal anda khususnya kerosakan yang jelas seperti lampu signal, cermin sisi, nombor plat dan lain-lain lagi.
3. Dapatkan permit perjalanan sementara
Untuk mengelakkan anda daripada disaman, anda dinasihatkan untuk memohon permit perjalanan sementara. Ini kerana, anda perlu menunggang motosikal anda yang mempunyai cukai jalan tamat tempoh itu untuk ke PUSPAKOM.
Jika motosikal anda tiada cukai jalan, dan tiba-tiba semasa anda memandu ke PUSPAKOM itu anda ditahan oleh penguatkuasa, anda telah melanggar undang-undang jalan raya dan boleh disaman. Permit ini sebenarnya mudah sahaja nak mohon. Anda boleh mendapatkan permit ini di cawangan JPJ berdekatan anda. Perlu diingat bahawa permit ini umpama seperti cukai jalan berdurasi 1 hari dan hanya boleh digunakan sekali sahaja.
4. Pemeriksaan di PUSPAKOM
Setelah tiba hari janji temu tersebut, anda disarankan untuk hadir tepat pada waktu yang telah anda pilih. Motosikal anda akan terus diperiksa oleh pegawai PUSPAKOM. Jika motosikal anda lulus pemeriksaan tersebut, anda akan terus mendapat laporan pemeriksaan pada hari yang sama.
Namun jika motosikal anda gagal dalam pemeriksaan tersebut, anda dikehendaki untuk membaiki perkara yang gagal itu dan buat pemeriksaan semula dalam tempoh 30 hari.
Bjak menyediakan lebih 10 jenama insurans untuk pengguna lakukan perbandingan. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak dan pilih pelan terbaik hari ini!
Baca juga: