Skip to content
Home » Cara Betul Claim Insurans Kemalangan Motosikal

Cara Betul Claim Insurans Kemalangan Motosikal

    claim insurans kemalangan motosikal

    Pada dasarnya, penunggang motosikal adalah pengguna jalan raya yang paling terdedah dengan kemalangan jalan raya. Bahkan statistik juga menunjukkan bahawa lebih 60% kemalangan yang berlaku di jalan raya di Malaysia adalah membabitkan penunggang motosikal.

    Pemilik dan penunggang motosikal sememangnya mempunyai risiko yang tersendiri. Selain daripada risiko terbabit dalam kemalangan, pemilik motosikal juga perlu dan sering berdepan dengan risiko kecurian motosikal atau bahkan mungkin motosikal terbakar akibat perbuatan khianat, tidak disengajakan dan lain-lain lagi.

    Justeru untuk pemilik motosikal, di sini Bjak kongsian panduan proses untuk anda claim insurans motor yang perlu anda lalui dan lakukan.

    Moga bermanfaat!

    Cara claim insurans kemalangan motosikal

    Untuk pemilik motosikal, sangat penting untuk anda memiliki perlindungan insurans terutamanya dengan pelan komprehensif bagi membolehkan anda untuk membuat tuntutan insurans jika berlaku sesuatu.

    Tanpa berlengah lagi, berikut dikongsikan panduan mudah untuk claim insurans kemalangan motosikal yang perlu anda lakukan kelak.

    Catat maklumat pihak yang terlibat

    Jika anda terbabit dalam kemalangan, perkara pertama anda perlu lakukan adalah mendapatkan maklumat asas pihak-pihak yang terlibat dalam kemalangan itu. Catat maklumat-maklumat penting seperti nama pemandu, nombor kad pengenalan, nombor telefonnya, serta paling penting nombor plat kenderaan tersebut bagi memudahkan urusan laporan polis dan juga tuntutan insurans nanti.

    Jika berupaya, catatkan juga lokasi dan masa kemalangan untuk melancarkan lagi proses tuntutan anda.

    Ambil gambar kemalangan

    Jika anda tidak mengalami kecederaan parah, sila ambil gambar insiden kemalangan tersebut serta kenderaan lain yang terlibat. 

    Mengapa anda perlu lakukannya?

    Ini bagi membolehkan ia dijadikan sebagai bahan bukti seandainya berlaku sebarang masalah atau pertikaian ketika proses penyiasatan kemalangan.

    Jika anda perasan ada saksi kejadian yang boleh membantu anda, sila dapatkan maklumatnya seperti nama, alamat dan nombor telefon. Mana tahu, saksi-saksi ini mungkin boleh membantu memberi keterangan jika anda perlukan.

    Minta maklumat syarikat insurans pihak yang melanggar anda

    Jika anda dilanggar, anda berhak untuk membuat tuntutan insurans pihak ketiga iaitu di bawah polisi pihak yang melanggar anda. Dengan cara ini, anda boleh menjimatkan kadar NCD semasa anda dan seterusnya tidak menjejaskan premium insurans anda pada pembaharuan akan datang.

    Sila dapatkan maklumat penting daripada pihak tersebut seperti nama insurans yang digunakan, atau mungkin juga nombor polisi insurans serta maklumat-maklumat lain yang anda rasakan perlu.

    Dapatkan rawatan dahulu

    Jika anda mengalami kecederaan akibat kemalangan itu, sila dapatkan rawatan dengan segera di hospital. Ketika rawatan, minta juga laporan perubatan bagi membantu memudahkan anda untuk membuat tuntutan perubatan atau lain-lain jika perlu.

    Hadir ke balai polis

    Selesai dapatkan rawatan, sila datang ke balai polis trafik yang berhampiran dengan tempat kejadian kemalangan untuk membuat laporan polis. Sila pastikan laporan polis anda itu dibuat dalam tempoh 24 jam selepas kemalangan berlaku ya. 

    Kegagalan anda untuk berbuat demikian dalam tempoh yang ditetapkan bakal menyebabkan tuntutan anda kemungkinan besar ditolak oleh syarikat insurans, melainkan anda cedera parah atau ada sebab-sebab tertentu yang tidak boleh dielakkan (dan boleh diterima pihak insurans).

    Hubungi syarikat insurans

    Selesai buat laporan polis, segera hubungi syarikat insurans (rujuk artikel senarai syarikat insurans di Malaysia ini untuk dapatkan nombor hotline mereka) anda untuk maklumkan mengenai kejadian kemalangan tersebut. Biasanya anda diberikan tempoh sehingga 7 hari selepas kemalangan untuk melaporkan kepada mereka mengenai kemalangan/ insiden yang berlaku.

    Sediakan juga dokumen-dokumen penting yang diperlukan seperti salinan asal laporan polis, polisi insurans, salinan kad pengenalan, salinan lesen memandu dan gambar kemalangan serta lakaran rajah dari pihak polis.

    Hantar motosikal ke bengkel panel insurans

    Sila pastikan motosikal anda dihantar ke bengkel panel syarikat insurans anda untuk membaiki kerosakan yang berlaku. Jika motosikal anda dihantar ke bengkel selain bengkel panel, tuntutan anda berkemungkinan besar ditolak dan anda mungkin terpaksa menanggung kos kerosakan menggunakan wang sendiri meskipun ketika kemalangan, anda bukan di pihak yang bersalah.

    Selesai

    Tunggu sehingga proses tuntutan insurans kemalangan anda selesai. Biasanya, tempoh yang diambil untuk kelulusan  claim insurans kemalangan motosikal bergantung pada keadaan dan situasi semasa. 

    Sila pastikan anda lakukan follow-up dengan syarikat insurans anda untuk mengetahui status tuntutan semasa anda dan mengelakkan sebarang urusan tertangguh.

    Semoga perkongsian ini membantu anda!


    Bjak menyediakan lebih 10 jenama insurans untuk pengguna lakukan perbandingan. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak dan pilih pelan terbaik hari ini!

    Baca juga: