Skip to content
Home » Lesen Memandu Tamat Tempoh: Bolehkah Claim Insurans Jika Terlibat Kemalangan?

Lesen Memandu Tamat Tempoh: Bolehkah Claim Insurans Jika Terlibat Kemalangan?

    lesen memandu tamat tempoh

    Pernahkah anda terfikir, adakah anda boleh membuat tuntutan insurans jika kenderaan anda terlibat dalam kemalangan ketika lesen memandu anda tamat tempoh?

    Jom baca artikel ini untuk ketahuinya!

    Masih ramai memandu tanpa lesen memandu yang sah

    Sebelum itu, anda perlu tahu dan sedar bahawa kesalahan memandu tanpa lesen yang sah masih mencatatkan jumlah yang tinggi dalam kalangan pengguna jalan raya. 

    Contohnya, dalam Operasi Khas Motosikal di Nilai, Negeri Sembilan yang dijalankan pada 7 Februari lepas, majoriti saman yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri itu adalah membabitkan kesalahan memandu tanpa lesen atau lesen memandu tamat tempoh. 

    Meskipun pelbagai advokasi sudah dijalankan oleh pihak berkuasa, namun ia seakan tidak memberi kesan apabila ramai yang masih mengambil mudah dan memandu tanpa lesen sehingga tidak sedar akan akibat yang mungkin dihadapi.

    Hukuman bagi kesalahan memandu tanpa lesen yang sah

    Memandu tanpa lesen boleh menyebabkan anda disaman RM300

    Perhatian untuk semua pemandu dan bakal pemandu!

    Di bawah Seksyen 26 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ), anda boleh dikenakan denda sebanyak RM300 dan kenderaan boleh disita jika didapati memandu tanpa lesen

    Selain itu, ibu bapa atau penjaga yang membiarkan anak di bawah umur memandu kereta atau menunggang motosikal tanpa lesen juga boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 39(5) APJ yang membawa hukuman denda tidak kurang daripada RM2,000. 

    Dalam pada itu, bagi kesalahan memandu tanpa perlindungan insurans yang sah pula, anda boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 90 (2) APJ yang memperuntukkan denda tidak lebih daripada RM1,000 serta lesen boleh digantung selama 12 bulan sekiranya ditahan di Sekatan Jalan Raya (SJR) dan didapati bersalah. 

    Terlibat kemalangan ketika memandu tanpa lesen yang sah, bolehkah claim insurans?

    Lesen memandu tamat tempoh adalah berbeza dengan langsung tiada lesen memandu

    Hukuman serta denda yang diberikan bagi kesalahan-kesalahan di atas adalah bertujuan membendung kadar kemalangan jalan raya dan memastikan pengguna jalan raya lebih bertanggungjawab terhadap diri sendiri dan orang lain. 

    Namun, kadang-kala, kesalahan tersebut boleh dikatakan dilakukan secara tidak sengaja. Sebagai contoh, anda terlupa untuk menghidupkan semula lesen memandu sehingga tidak sedar sedang memandu tanpa lesen yang sah. 

    Andai kata ia berlaku, dan lebih malang, kebetulan pula anda terlibat dalam kemalangan ketika dalam tempoh tersebut (lesen tamat tempoh), bolehkah anda membuat tuntutan insurans?

    Untuk mengetahuinya, teruskan membaca penjelasan berdasarkan dua situasi di bawah:

    1. Lesen memandu tamat tempoh

    Gambaran situasi:

    Akmal sudah mempunyai lesen memandu kelas D sejak 5 tahun lalu. Kebetulan baru-baru ini, Akmal terlibat dalam kemalangan jalan raya dalam keadaan lesennya baru melepasi tarikh tamat tempoh dan belum diperbaharui. Bagaimanapun, kereta yang dipandu Akmal itu mempunyai perlindungan insurans dan roadtax yang sah.

    Berdasarkan situasi di atas, perlu anda fahami:

    i) Akmal mempunyai lesen memandu

    ii) Ketika kemalangan, kebetulan lesen memandu Akmal tamat tempoh (kita anggap Akmal terlupa untuk renew)

    iii) Kereta Akmal ada perlindungan insurans yang sah

    Daripada contoh situasi di atas, Akmal sebenarnya masih boleh membuat tuntutan insurans meskipun dia terlibat dalam kemalangan ketika lesen memandunya telah tamat tempoh. Tuntutan insurans kereta Akmal tidak akan ditolak oleh syarikat insurans memandangkan kenderaan Akmal pada ketika itu mempunyai perlindungan insurans.

    Hal ini kerana, dari segi undang-undang Akmal masih memiliki lesen memandu yang sah, cuma ‘terlupa’ untuk memperbaharuinya semula sahaja.

    Namun, terdapat akibat yang Akmal akan hadapi gara-gara lesennya yang sudah tamat tempoh itu. Akmal boleh dikenakan kompaun mengikut Seksyen 26(1) APJ iaitu denda maksimum RM300 untuk kesalahan tersebut. 

    2. Tiada lesen memandu langsung

    Gambaran situasi:

    Zack tidak mempunyai sebarang lesen memandu dan bertindak memandu kenderaan milik bapanya pada suatu malam. Malang menimpanya apabila dia terlibat dalam kemalangan jalan raya pada hari itu. Bagaimanapun, kereta milik bapanya itu mempunyai perlindungan insurans yang sah.

    Berdasarkan situasi di atas, ini yang perlu anda fahami:

    i) Zack langsung tidak mempunyai lesen memandu

    ii) Zack memandu kenderaan bapanya dan terlibat kemalangan

    iii) Kereta bapa Zack ada perlindungan insurans yang sah

    Bagi situasi seperti ini, tuntutan insurans tidak akan dilayan oleh pihak insurans jika berlaku kemalangan membabitkan pemandu yang langsung tidak mempunyai lesen. Sama juga jika seseorang itu hanya memiliki lesen motosikal, tetapi semasa kemalangan dia memandu kereta. 

    Perlu anda ketahui bahawa jika anda membiarkan mana-mana individu tanpa lesen memandu kenderaan anda dan berlaku kemalangan membabitkan kenderaan itu, maka anda sebagai pemilik kenderaan tidak boleh membuat tuntutan terhadap kerosakan kenderaan anda dan perlu membaikinya menggunakan wang sendiri. 

    Malah lebih teruk, anda sebagai pemilik kenderaan juga akan dikompaun oleh pihak berkuasa kerana membiarkan individu tanpa lesen memandu kenderaan anda. 

    Jadi secara amnya, berdasarkan daripada dua situasi di atas, seseorang itu masih layak untuk membuat tuntutan insurans jika terlibat kemalangan meskipun lesen telah tamat tempoh, namun tidak layak jika kenderaan anda didapati dipandu oleh individu yang langsung tiada lesen memandu.

    Dapatkan lesen memandu

    Untuk anda yang sudah mempunyai lesen memandu, sila pastikan anda memperbaharui lesen anda sebelum ia tamat tempoh. Ia bagi mengelakkan anda disaman oleh pihak berkuasa sekiranya didapati memandu tanpa lesen memandu yang sah.

    Untuk anda yang sudah cukup umur namun belum mempunyai lesen memandu pula, sila pastikan anda dapatkan dulu lesen sebelum ingin memandu kenderaan. Selain bakal menyusahkan diri jika didapati melakukan kesalahan ini, anda juga akan menyusahkan pemilik kenderaan jika berlaku sesuatu kelak.

    Harga lesen memandu kereta dan motosikal

    Berikut merupakan anggaran harga lesen memandu bagi motosikal dan kereta.

    Anggaran harga untuk membuat lesen memandu kereta atau motosikal

    Andai kata anda masih belum mengetahui cara mendapatkan lesen memandu, sila lihat artikel yang pernah dikongsikan Bjak sebelum ini.

    *Anda perlu ingat dan berhati-hati supaya tidak mengambil lesen terbang yang jelas salah di sisi undang-undang.


    Bjak menyediakan lebih 10 jenama insurans untuk pengguna lakukan perbandingan. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak dan pilih pelan terbaik hari ini!

    Baca juga: