Skip to content
Home » Covid-19: Varian Omicron

Covid-19: Varian Omicron

    Covid-19: Varian Omicron

    Menurut kenyataan media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertarikh 26 November 2021, KKM telah mengambil maklum tentang varian terbaharu Covid-19 iaitu B.1.1.529 yang dinamakan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) sebagai varian Omicron.

    Kami kongsikan di sini maklumat penting berkaitan varian Omicron untuk pengetahuan anda.

    Apakah itu varian Omicron?

    Mengikut kenyataan media KKM, varian Omicron mempunyai 32 mutasi spike protein, iaitu dua kali ganda lebih banyak daripada varian Delta (B.1.617). WHO telah meletakkan varian Omicron sebagai varian membimbangkan atau Variant of Concern (VOC) selain daripada varian Delta, Alpha, Beta dan Gamma.

    Menurut WHO lagi, varian Omicron pertama kali dikesan di Afrika Selatan. Kes pertama ini disahkan oleh WHO berdasarkan spesimen yang diambil pada 9 November 2021. 

    Untuk pengetahuan anda, selain di  Afrika Selatan, varian Omicron juga telah dikesan di Botswana, Belgium, Kanada, Australia, Netherlands, Denmark, United Kingdom, Jerman, Israel, Itali, Republik Czech dan Hong Kong, menurut laporan CNN pada hari ini, 29 November 2021.

    Untuk makluman anda, tiada kes Omicron yang dikesan di Malaysia setakat hari ini. 

    Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin dalam satu sidang media
    Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin dalam satu sidang media

    Risiko varian Omicron

    WHO menyatakan varian terbaharu ini mempunyai sesetengah mutasi yang membimbangkan. Bukti awal menunjukkan varian Omicron menyebabkan peningkatan kadar jangkitan semula yang lebih tinggi berbanding varian-varian membimbangkan (VOC) yang lain. Ini berdasarkan peningkatan kes-kes varian Omicron di hampir semua wilayah di Afrika Selatan. 

    WHO kini melakukan kajian untuk terus menilai varian Omicron. Penemuan-penemuan baharu akan disampaikan kepada negara-negara ahli serta masyarakat awam seperti yang diperlukan.

    Di Malaysia pula, Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar juga menyatakan bahawa pakar masih belum dapat mengenalpasti tahap kebolehjangkitan varian Omicron dan ciri-ciri varian berkenaan. Selain itu, KKM menyatakan bahawa belum ada maklumat lanjut tentang tempoh inkubasi, gejala serta kebolehjangkitan bagi varian Omicron. 

    Varian Omicron sedang dikaji oleh pakar-pakar kesihatan
    Varian Omicron sedang dikaji oleh pakar-pakar kesihatan

    Kawalan sempadan negara untuk mencegah penularan varian Omicron

    Justeru itu berkuat kuasa pada 27 November 2021, Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin telah mengumumkan empat langkah pencegahan serta kawalan sempadan termasuk bagi pengembara yang tiba di pintu masuk negara Malaysia iaitu:

    1. Pengembara warganegara Malaysia tidak dibenarkan membuat lawatan ke Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe;
    2. Sekatan sementara kepada semua warganegara asing yang mempunyai sejarah perjalanan dalam tempoh 14 hari ke Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe;
    3. Warganegara Malaysia dan pemastautin tetap yang pulang ke Malaysia dari Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe dibenarkan memasuki negara tetapi wajib menjalani kuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin dan bukannya di rumah tanpa mengira status vaksinasi; dan 
    4. Sampel akan diambil daripada individu yang pulang ke Malaysia dari Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe untuk tujuan survelan genomik. 

    Selain itu, sekiranya penilaian risiko KKM menunjukkan bahawa risiko varian Omicron di sesebuah negara meningkat, kerajaan Malaysia akan meletakkan negara berkenaan sebagai senarai merah dan mungkin membuat sekatan.

    Kawalan sempadan negara untuk mencegah penularan varian Omicron
    Pemeriksaan penumpang di lapangan terbang

    Terus amalkan SOP pencegahan Covid-19

    Selain maklumat yang telah dikongsikan, kerajaan Malaysia akan terus memaklumkan langkah-langkah pencegahan dan kawalan serta perkembangan mengenai varian Omicron dari masa ke semasa.

    Di samping pemantauan berterusan daripada kerajaan, anda juga diingatkan untuk terus mengamalkan SOP pencegahan Covid-19 termasuk memakai pelitup separuh muka, mengamalkan penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter serta melakukan sanitasi dan disinfeksi dengan kerap. 

    Selain itu, sekiranya anda layak tetapi belum mendapatkan vaksinasi, segera dapatkan vaksinasi untuk mencegah Covid-19. Ingat, teruskan pengamalan SOP untuk kesihatan dan keselamatan bersama.

    Amalan SOP pencegahan Covid-19
    Amalan SOP pencegahan Covid-19

    Bacaan lanjut:


    Bjak menawarkan kemudahan memperbaharui insurans kenderaan dan roadtax secara online. Duduk di rumah dan renew insurans dan roadtax anda di Bjak.my dalam hanya 5 minit. Dapatkan sebut harga insurans kereta percuma hari ini.