Memiliki lesen memandu bermakna kita sepatutnya sudah mengetahui peraturan serta undang-undang di jalan raya. Namun, malang sekali kerana masih ramai yang seolah-olah masih lagi tidak tahu peraturan yang betul dan memandu sesuka hati mereka sehingga menyusahkan pengguna jalan raya lain. Ia termasuklah menggunakan lorong di lebuh raya dengan cara yang tidak tepat.
Contohnya, memandu di lorong kecemasan, membawa dengan terlalu perlahan di lorong tengah, memecut di lorong paling kiri dan pelbagai lagi.
Justeru dalam artikel kali ini, kami akan kongsikan panduan mudah untuk anda memahami setiap lorong di lebuh raya agar kesilapan tidak lagi dilakukan dan boleh memandu dengan lebih baik pada masa akan datang.
Fahami jenis dan fungsi lorong di lebuh raya
Sebagai pemandu dan pengguna jalan raya, sebenarnya amat penting untuk anda bertimbang rasa dan memahami fungsi serta jenis lorong yang disediakan.
Pada kebiasaannya, lebuh raya menyediakan 4 lorong iaitu lorong kecemasan, lorong perlahan, lorong laju dan lorong memotong.
Lorong kecemasan
Bahu jalan atau lebih dikenali sebagai lorong kecemasan ini disediakan khusus untuk tujuan kecemasan.
Secara dasarnya lorong kecemasan ini dikhaskan untuk kegunaan ambulans, bomba dan penyelamat, polis, agensi penguatkuasaan serta kenderaan yang rosak atau dalam situasi kecemasan.
Dengan menggunakan lorong ini, ia dapat memudahkan pihak-pihak yang disebutkan di atas untuk sampai ke destinasi dengan lebih cepat tanpa perlu berdepan dengan aliran trafik yang sesak.
Lorong perlahan
Lorong perlahan yang terletak di sebelah kiri lebuh raya pula sepatutnya digunakan oleh pemandu kenderaan berat seperti bas, lori dan kenderaan yang ingin bergerak perlahan.
Secara amnya, pemandu kenderaan berat tidak digalakkan untuk berterusan memandu di lorong laju kecuali untuk memotong sahaja kerana ia boleh menyebabkan kesesakan jalan raya serta membahayakan pengguna jalan raya yang lain.
Lorong laju
Lorong laju/ tengah di lebuh raya disediakan untuk kenderaan yang ingin bergerak laju, selain membolehkan sesebuah kenderaan memotong kenderaan lain yang lebih perlahan seperti lori, bas atau kenderaan ringan lain.
Lorong memotong
Lorong ini disediakan sebagai laluan memotong bagi kenderaan ringan. Bukan itu sahaja, mungkin anda sudah tahu bahawa lorong paling kanan ini disediakan untuk kenderaan ringan bergerak laju dan pantas di lebuh raya.
Ikut peraturan jalan raya
Jangan pentingkan diri sendiri. Ingat, anda sebenarnya turut merisikokan kenderaan lain jika memandu secara melulu di atas jalan raya. Pandulah ikut lorong yang betul bagi mengelakkan anda dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa dan menyusahkan pengguna jalan raya lain.
Bjak menyediakan 15 syarikat insurans untuk pengguna lakukan perbandingan sebelum memperbaharui insurans. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak hari ini dan renew insurans kereta atau motosikal anda dengan mudah dan pantas.
Baca juga: