Skip to content
Home » Penjelasan Mudah Mengenai Insurans Kereta

Penjelasan Mudah Mengenai Insurans Kereta

    Insurans kereta

    Beza insurans kereta dengan kemalangan peribadi, pembatalan insurans, tuntutan insurans untuk kereta lama dan lain-lain. Jom ketahui lebih banyak mengenai insurans kereta menerusi artikel ini.

    Apakah perbezaan di antara insurans kereta dengan insurans kemalangan peribadi?

    Perbezaan di antara insurans kereta dengan insurans kemalangan peribadi

    Insurans kereta merupakan perlindungan wajib dan perlu dibeli oleh setiap pemilik kereta. Pada dasarnya, insurans kenderaan berfungsi untuk membayar ganti rugi sekiranya berlaku kerosakan pada kenderaan anda atau pihak ketiga (bergantung pada polisi) yang disebabkan oleh kemalangan, kecurian atau kebakaran. 

    Berbeza dengan insurans kereta, insurans kemalangan peribadi pula adalah sejenis perlindungan pilihan (bukan wajib) untuk individu memperolehnya. Insurans ini berperanan sebagai polisi insurans tahunan yang memberikan pampasan apabila berlaku kecederaan, hilang upaya atau kematian yang berlaku disebabkan kemalangan semata-mata kepada pemegang polisi sahaja dan tidak membabitkan mana-mana pihak ketiga.

    Insurans kereta tidak akan melindungi (membayar pampasan) sekiranya anda (iaitu pihak pertama) maut/ cedera akibat kemalangan kereta dan hanya akan melindungi pihak ketiga (orang yang anda langgar) sekiranya pihak tersebut maut/ mengalami kecederaan. Jumlah pampasan yang diterima oleh pihak ketiga adalah tidak terhad dan bergantung kepada syarikat insurans. 

    Sesetengah syarikat insurans menyediakan perlindungan kemalangan peribadi secara percuma di dalam polisi insurans kereta 1st party seperti Takaful Malaysia dan Liberty Insurance. 

    Untuk Takaful Malaysia, perlindungan kemalangan peribadi percuma bernilai RM15,000 diberikan bagi setiap pemandu dan penumpang sekiranya kematian tidak sengaja atau keilatan kekal ketika dalam perjalanan atau sedang turun daripada kenderaan.

    Manakala bagi Liberty Insurance, perlindungan kemalangan peribadi disediakan untuk pemegang polisi sahaja iaitu sehingga RM 10,000.00 (Kehilangan nyawa atau hilang upaya kekal dalam tempoh 180 hari selepas tarikh kemalangan yang melibatkan kenderaan yang dinamakan).

    Adakah anda perlu memperbaharui insurans meskipun sudah jarang/ tidak menggunakan kereta?

    Sebagai pemilik kereta, anda masih tetap perlu renew insurans kereta kerana ia sememangnya diwajibkan. Diingatkan bahawa anda memerlukan insurans bagi memastikan anda boleh memperbaharui roadtax untuk kenderaan anda sah digunakan di atas jalan raya seperti yang termaktub di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Bukan itu sahaja, kegagalan anda untuk memperbaharui insurans pada waktu yang sepatutnya bakal memberi kesan kepada kadar NCD anda yang akan semakin berkurangan setiap tahun selama mana anda tidak memperbaharuinya. Ini akan menyebabkan premium insurans anda menjadi lebih mahal ketika anda ingin memperbaharuinya semula nanti.

    Lebih membebankan, anda juga perlu membawa kereta ke PUSPAKOM sekiranya roadtax tidak diperbaharui melebihi tempoh 3 tahun. Di PUSPAKOM, mereka akan memeriksa bahagian kenderaan seperti brek, lampu signal dan sebagainya. Sekiranya pemeriksaan kenderaan di PUSPAKOM lulus, barulah anda boleh memperbaharui semula roadtax anda. 

    Dalam pada itu, ingatlah bahawa kenderaan anda perlu sentiasa dilindungi oleh insurans bagi mengelak daripada berlakunya sebarang kerugian akibat kejadian yang tidak diingini. Perlu anda ketahui bahawa kereta anda berisiko untuk dicuri, terlibat dalam kemalangan pada bila-bila masa dan sebagainya. Dengan perlindungan insurans, ia setidak-tidaknya boleh memastikan kenderaan anda berada dalam situasi yang selamat meskipun apabila berlaku sesuatu kelak. 

    Bolehkah anda renew insurans kereta bagi kereta yang sudah berusia lebih daripada 15 tahun?

    Ya, boleh. Bagaimanapun, perlindungan insurans untuk kereta lama iaitu yang berusia lebih 15 tahun adalah terhad kerana kebanyakan syarikat insurans tidak menyediakan perlindungan komprehensif untuk kenderaan jenis ini. 

    Bagaimanapun untuk kereta yang berusia lebih daripada 15 tahun, polisi insurans pihak ketiga, kebakaran dan kecurian adalah dicadangkan oleh kebanyakan syarikat insurans bagi memastikan kenderaan lama tetap dilindungi dengan baik.

    Mengapakah kereta berusia 15 tahun ke atas tidak boleh memperbaharui insurans dengan polisi jenis komprehensif?

    Kebanyakan syarikat insurans tidak menginsuranskan kereta lama, lebih-lebih lagi kereta yang tidak lagi berada di bawah perjanjian sewa-beli. Ini kerana, kereta lama dianggap mempunyai risiko tinggi dan lebih cenderung untuk mengalami kemalangan berbanding kereta baru dan berusia kurang daripada 10 tahun.

    Bagaimanapun, kereta lama pada kebiasaannya disyorkan oleh syarikat insurans untuk mendapatkan perlindungan pihak ketiga, kebakaran dan kecurian (TPFT).

    Bolehkah kereta lama membuat tuntutan insurans?

    Ya, anda boleh membuat tuntutan insurans untuk kereta lama selagi polisi masih berkuat kuasa dan tuntutan. 

    Bagaimanapun sekiranya kenderaan anda rosak akibat kemalangan (anda pesalah) dan kereta anda itu perlu dibaiki, anda mungkin tidak dapat membuat tuntutan sekiranya jenis perlindungan insurans semasa anda adalah polisi pihak ketiga, kebakaran dan kecurian kerana polisi tersebut tidak memberikan perlindungan kepada pihak pertama (iaitu anda). Ia seterusnya menyebabkan anda perlu membaikinya menggunakan wang sendiri.

    Tuntutan hanya boleh dibuat untuk pihak ketiga dan jika kereta anda mengalami kecurian atau terlibat dalam kebakaran yang tidak disengajakan. 

    Bolehkah pembatalan polisi insurans kereta dibuat sebelum tamat tempoh?

    Ya, anda boleh membatalkan polisi insurans anda pada bila-bila masa dengan memberi notis bertulis kepada syarikat insurans anda dengan syarat, roadtax masih belum dihidupkan.

    Sekiranya roadtax telah diperbaharui, anda diminta untuk membatalkan dulu roadtax anda di JPJ dan kemudian, barulah pembatalan insurans boleh dilakukan.

    Majoriti syarikat insurans menetapkan tempoh selama tujuh hari untuk anda membuat pembatalan dengan turut menyerahkan sijil insurans asal kepada syarikat insurans atau menyediakan kepada syarikat insurans satu akaun berkanun jika sijil berkenaan hilang atau musnah.

    Selepas pembatalan dibuat, anda layak mendapat bayaran balik premium berdasarkan kadar jangka masa pendek yang ditetapkan (berbeza mengikut syarikat insurans).

    Bagaimanapun sebagai pengguna yang bijak, anda sangat disarankan untuk memilih perlindungan insurans dengan cermat bagi mengelakkan pembatalan insurans pada masa akan datang. Lakukan dahulu perbandingan insurans untuk melihat perlindungan insurans terbaik yang bersesuaian dengan keperluan dan risiko untuk kenderaan anda.

    Pembatalan polisi insurans boleh dibuat dengan syarat roadtax masih belum dihidupkan

    Bolehkah anda membatalkan insurans selepas renew roadtax?

    Seperti yang dinyatakan di atas, pembatalan insurans hanya boleh dibuat sekiranya anda masih belum menghidupkan roadtax. Jika roadtax sudah diperbaharui juga pada ketika itu, batalkan dahulu roadtax anda di JPJ dan kemudian barulah anda boleh membatalkan pula polisi insurans anda. 

    Mengapakah harga insurans berbeza?

    Harga insurans adalah berbeza selepas pelaksaan langkah Liberalisasi Tarif Insurans Motor sejak 1 Julai 2017

    Harga insurans sememangnya berbeza-beza untuk setiap kenderaan. Selain daripada faktor-faktor utama yang diambil kira seperti model kereta, tahun pembuatan, kadar NCD, dan kapasiti enjin kereta, faktor lain yang turut diambil kira selepas pelaksanaan langkah Liberalisasi Tarif Insurans Motor adalah lokasi pemilik kereta, rekod pemanduan, pekerjaan, umur dan tahap penggunaan kereta.

    Adakah harga insurans kereta akan meningkat setiap tahun?

    Antara faktor utama yang akan menentukan premium insurans adalah harga pasaran semasa kenderaan anda. Anda pasti sudah mengetahui bahawa untuk kereta, semakin lama anda membelinya, semakin rendah harga pasarannya. Jadi, ia secara tidak langsung akan menyebabkan pengurangan pada premium insurans anda untuk tahun-tahun mendatang. 

    Bagaimanapun, harga insurans boleh meningkat sekiranya anda pernah membuat tuntutan insurans yang mampu memberi kesan kepada kadar NCD anda. Ini kerana, selepas tuntutan anda dibuat, NCD anda secara automatik akan kembali ke angka sifar dan menyebabkan insurans pada tahun berikutnya menjadi mahal semula. 

    Perlukah insurans kereta diperbaharui ketika tempoh PKP?

    Kelonggaran yang diberikan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hanyalah untuk pengecualian pembaharuan roadtax sehingga 31 Disember 2021 dan bukannya insurans. Pemilik kereta masih perlu memiliki perlindungan yang sah dan menunjukkan e-cover note kepada pihak berkuasa sekiranya diminta.

    Semoga bermanfaat

    Sudah jelas dengan perkara di atas? Diharap perkongsian ini sedikit sebanyak dapat membantu menjawab sebahagian daripada persoalan anda mengenai insurans kenderaan selama ini.

    Elakkanlah dari mengambil sikap tidak peduli dan tambahkan diri anda dengan sedikit ilmu mengenai insurans supaya anda tahu apa yang perlu dilakukan untuk insurans kereta anda kelak.


    Bjak menyediakan lebih 10 jenama insurans untuk pengguna lakukan perbandingan. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak dan pilih pelan terbaik hari ini!

    Baca juga: