Skip to content
Home » Jenis-jenis Perlindungan Tambahan Untuk Insurans Kereta

Jenis-jenis Perlindungan Tambahan Untuk Insurans Kereta

    Jenis perlindungan tambahan insurans kereta

    Pemilik kereta perlu tahu bahawa meskipun insurans kereta 1st party dikatakan memberi perlindungan menyeluruh, namun ia tidak menawarkan perlindungan untuk beberapa kejadian seperti kerosakan kereta akibat banjir, cermin kereta retak, kehilangan aksesori kereta dan lain-lain.

    Jadi, di sinilah bagaimana perlindungan tambahan ini penting untuk dimasukkan dalam polisi insurans kereta anda. Ia bagi memastikan kenderaan anda mendapatkan perlindungan yang mencukupi dan membantu anda untuk mendapatkan pampasan sewajarnya apabila memerlukan kelak. 

    Terdapat banyak perlindungan tambahan yang disediakan oleh syarikat insurans untuk pemilik kereta pilih dan dapatkan. Antaranya:

    Perlindungan cermin kereta/windscreen

    Perlindungan tambahan cermin kereta (windscreen)

    Cermin kereta adalah antara komponen yang paling terdedah dengan risiko. Dengan memiliki perlindungan tambahan ini, syarikat insurans akan membantu membayar kerugian untuk menggantikan cermin kereta anda yang telah retak, tanpa memberi kesan kepada kadar NCD sedia ada anda.

    Premium untuk perlindungan tambahan bagi cermin kereta adalah sekitar 15% daripada jumlah diinsuranskan untuk cermin kereta. Jadi, andai kata harga untuk cermin kereta anda adalah RM800, anda perlu membayar tidak lebih daripada RM120 untuk premium perlindungan ini, setahun.

    Perlindungan ini hanya boleh digunakan sekali sahaja sepanjang tempoh polisi.

    Perlindungan peril khas (bencana alam)

    Perlindungan tambahan bencana alam (peril khas) seperti banjir

    Banjir, tanah runtuh, pokok tumbang. Kejadian-kejadian seperti ini mungkin akan berlaku pada bila-bila masa sehingga mungkin turut menyebabkan kerosakan pada kereta anda. 

    Justeru, pemilik kereta digalakkan untuk mendapatkan perlindungan tambahan ini bagi memastikan kereta anda dilindungi dengan lebih baik, dan mengurangkan bebanan kos kewangan sekiranya ia berlaku. Perlindungan ini sememangnya mustahak bagi kawasan-kawasan yang sering mengalami banjir.

    Pada kebiasaannya, premium bagi perlindungan ini adalah sekitar 0.5% daripada jumlah diinsuranskan, namun ia mungkin berbeza mengikut syarikat insurans dan pengendali Takaful.

    Perlindungan pemandu tambahan

    Perlindungan pemandu tambahan

    Sekiranya kereta yang dilindungi sering dipandu oleh orang lain selain pemilik kereta, perlindungan ini amatlah penting untuk memastikan perlindungan yang lengkap. 

    Tanpa perlindungan ini, sekiranya kereta terlibat dalam kemalangan semasa ia dipandu oleh orang lain, syarikat insurans berhak untuk menolak tuntutan tersebut ataupun mengenakan excess kepada pemilik kereta.

    Di Malaysia, pemilik kereta boleh menamakan satu pemandu (selain pemilik) untuk dimasukkan ke dalam polisi secara percuma. Nama tambahan pula akan dikenakan caj RM10 seorang.

    Perlindungan semua pemandu

    Perlindungan semua pemandu

    Perlindungan ini berguna untuk kereta peribadi yang digunakan oleh melebihi tiga orang pemandu. Dengan perlindungan ini, ia akan memberi perlindungan kepada semua pemandu daripada risiko kemalangan.

    Pada kebiasaannya, premium bagi perlindungan ini adalah RM20.

    Perlindungan aksesori tambahan

    Perlindungan aksesori tambahan

    Sekiranya kereta dilengkapi dengan pelbagai aksesori tambahan yang bernilai, maka pemilik kereta dinasihat mengambil perlindungan tambahan ini.

    Ini kerana, jika berlaku kejadian seperti kecurian atau kerosakan terhadap aksesori tambahan kereta yang diinsuranskan, maka pemilik boleh mendapatkan ganti rugi dengan membuat tuntutan daripada syarikat insurans.

    Premium bagi perlindungan tambahan ini adalah 15% daripada jumlah aksesori yang dilindungi.  

    Perlindungan tambahan rusuhan & kemusnahan awam

    Perlindungan tambahan rusuhan & kemusnahan awam

    Perlindungan ini akan melindungi kereta daripada kerosakan atau kehilangan yang diakibatkan oleh rusuhan dan kemusnahan awam. Pada kebiasaannya, kadar premium bagi perlindungan tambahan ini adalah sekitar 0.3% daripada jumlah yang diinsuranskan.

    Perlindungan liabiliti undang-undang 

    Perlindungan tambahan liabiliti undang-undang 

    Terdapat dua jenis perlindungan liabiliti undang-undang di Malaysia

    Liabiliti Undang-undang kepada Penumpang

    Perlindungan ini melindungi pemilik atau pemandu tambahan daripada liabiliti undang-undang yang diambil terhadap pemandu oleh penumpang. Perlindungan ini adalah wajib bagi kereta yang masuk ke Singapura. 

    Contoh: Jika kereta yang dipandu oleh anda terlibat dalam kemalangan sehingga menyebabkan kecederaan pada penumpang anda, mereka boleh bertindak menyaman anda jika terbukti kemalangan itu berpunca daripada kecuaian.

    Dengan perlindungan ini, ia akan melindungi pemilik kereta daripada risiko ini dengan membayar kos kerugian yang ditanggung akibat liabiliti tersebut

    Perlindungan Liabiliti Penumpang di sisi undang-undang

    Perlindungan ini melindungi pemilik kereta terhadap sebarang tindakan liabiliti undang-undang ke atas kelalaian yang dilakukan oleh penumpang.

    Contoh: Rakan yang anda bawa secara tiba-tiba bertindak membuka pintu kereta sehingga mengakibatkan kemalangan kepada penunggang motosikal yang kebetulan melalui jalan itu. Kesalahan yang dilakukan oleh rakan anda itu boleh menyebabkan anda disaman kerana telah menyebabkan kecederaan ke atas penunggang itu.

    Pampasan untuk taksiran masa pembaikan (CART)

    Perlindungan tambahan pampasan untuk taksiran masa pembaikan (CART)

    Perlindungan ini memberi jaminan kepada pemegang polisi bahawa syarikat insurans akan membayar pampasan bagi masa di mana kenderaan kehilangan pengunaan. Tetapi pampasan hanya diberi jika anda bukan pihak bersalah dalam kemalangan tersebut.

    Masa yang dibenarkan berdasarkan anggaran seorang adjuster bagi bilangan hari bekerja yang diperlukan untuk membaiki kenderaan akibat kemalangan, bukan bilangan hari kenderaan tersadai di bengkel.

    Pampasan ini membolehkan penuntut insurans menyewa kereta pada hari-hari tersebut atau membayar tambang teksi. Premium tambahan bagi perlindungan CART adalah berbeza-beza mengikut syarikat insurans.

    Perlindungan tambahan waiver of betterment

    Waiver of betterment bakal mengelakkan anda dari membayar caj tambahan untuk alat ganti baharu kereta

    Waiver of betterment adalah perlindungan tambahan yang mengecualikan caj ‘betterment’ yang dikenakan dalam kerja-kerja pembaikan kereta disebabkan kemalangan.

    Insurans kereta biasa akan membayar kos pembaikan kenderaan selepas berlakunya kemalangan. Namun, jika berlaku situasi di mana kereta tersebut memerlukan alat ganti baharu untuk digunakan bagi membaiki kereta, maka anda (pemegang polisi) perlu membayar caj tambahan untuk alat ganti baharu itu, yang mana ia disebut sebagai betterment.

    Jadi untuk mengelakkan anda dari membayar caj tambahan untuk alat ganti baharu itu, maka anda boleh membeli perlindungan tambahan waiver of betterment ini.

    Bagaimanapun, perlindungan tambahan ini hanya layak kepada kenderaan yang berusia 5 hingga 9 tahun sahaja.

    Perlindungan kemalangan peribadi

    Perlindungan tambahan kemalangan peribadi disediakan oleh sesetengah syarikat insurans

    Polisi insurans komprehensif mungkin menyediakan perlindungan yang menyeluruh kepada pemegang polisi, namun ia tetap tidak memberi perlindungan sekiranya diri anda cedera/mati akibat daripada kemalangan yang berpunca daripada diri anda sendiri.

    Jadi, anda boleh mendapatkan perlindungan tambahan kemalangan peribadi yang disediakan oleh sesetengah syarikat insurans seperti MSIG.

    Namun, sesetengah syarikat insurans ada menyediakan perlindungan kemalangan peribadi secara percuma di dalam polisi komprehensif seperti Takaful Malaysia dan Liberty Insurance.

    Perlindungan tambahan e-hailing

    Kerajaan mewajibkan kenderaan yang digunakan untuk perkhidmatan e-hailing supaya mempunyai perlindungan tambahan e-hailing

    Kementerian Pengangkutan telah mewajibkan semua kenderaan persendirian yang digunakan untuk perkhidmatan e-hailing supaya mempunyai perlindungan tambahan e-hailing berkuatkuasa 12 Julai 2019 dan seterusnya. Perlindungan tambahan ini boleh dibeli di atas polisi komprehensif sedia ada.

    Dengan perlindungan tambahan ini, kenderaan akan dilindungi daripada:

    • Kerugian atau kerosakan pada kenderaan sendiri
    • Liabiliti terhadap pihak ketiga
    • Liabiliti dari segi undang-undang terhadap Penumpang yang Membayar Tambang
    • Perlindungan kemalangan peribadi berjumlah RM10,000 (berbeza mengikut syarikat insurans) untuk pemandu e-hailing yang sedang bertugas

    Terdapat beberapa syarikat insurans yang menawarkan perlindungan tambahan e-hailing seperti Lonpac Insurance, Zurich, Liberty Insurance, Allianz, MSIG dan MPI Generali

    Perlindungan khidmat tunda tanpa had

    Anda akan diminta untuk membayar caj   jika melebihi jarak yang ditetapkan tanpa perlindungan tambahan khidmat tunda

    Kebanyakan pelan insurans komprehensif menyediakan perkhidmatan khidmat tunda sehingga RM200 untuk kemalangan, sementara khidmat tunda untuk kerosakan pada kenderaan mungkin disediakan oleh program bantuan motor percuma yang mungkin disertakan bersama polisi.

    Walau bagaimanapun, perkhidmatan khidmat tunda yang disediakan seringkali terhad dari segi jarak atau sama dengan jumlah wang. Anda akan diminta untuk membayar caj tambahan jika melebihi jarak yang ditetapkan.

    Justeru bagi mengelak daripada membayar caj ini, anda boleh mendapatkan perlindungan tambahan untuk khidmat tunda di dalam polisi komprehensif yang mana ia yang akan memberikan perlindungan lebih luas untuk perkhidmatan khidmat tunda.

    Perlindungan tambahan ini pada kebiasaannya menyediakan khidmat tunda untuk kemalangan dan kerosakan tanpa had dalam Malaysia.

    Beri perlindungan yang bersesuaian untuk kereta anda

    Pastikan anda tahu tahap risiko dan penggunaan kereta anda. Dapatkan perlindungan yang secukupnya supaya anda tidak terbeban dengan risiko kewangan pada masa akan datang. Buat penambahan untuk mana-mana perlindungan tambahan kereta di atas sekiranya dirasakan perlu.

    Untuk renew insurans kereta, anda juga boleh melihat dulu pelan terbaik di platform online Bjak. Buat perbandingan antara 15 syarikat insurans yang disediakan, dan pilih satu yang terbaik dan bersesuaian untuk kereta anda. Minta sebut harga percuma dalam hanya 3 minit sekarang.


    Bjak menyediakan lebih 10 jenama insurans untuk pengguna lakukan perbandingan. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak dan pilih pelan terbaik hari ini!

    Baca juga: