Skip to content
Home » Kenapa Cermin Kereta Retak atau Pecah?

Kenapa Cermin Kereta Retak atau Pecah?

    Cermin retak boleh ke claim?

    Keretakan atau kerosakan pada cermin kereta sememangnya sering berlaku dalam kalangan pemilik kereta. Ia boleh berlaku dalam sekelip mata seperti ketika sedang memandu, memakirkan kereta dan lain-lain.

    Cermin kereta yang retak atau pecah ini kemudiannya boleh membahayakan pemandu dan penumpang sekiranya tidak ditukar dengan segera.

    Sebenarnya, terdapat banyak punca yang boleh menyebabkan cermin kereta hadapan mahupun belakang boleh retak dan pecah.

    Justeru pada artikel kali ini, Bjak akan kongsikan kepada anda antara punca yang boleh menyebabkan cermin kereta retak atau pecah serta lain-lain info yang anda perlu tahu berkaitan cermin kereta.

    Punca cermin kereta retak atau pecah

    Anda mungkin sudah tahu bahawa cermin kereta bukan sahaja berperanan untuk memberi perlindungan daripada hujan, habuk, angin dan lain-lain, malah ia juga penting bagi mengurangkan risiko kecederaan jika berlaku kemalangan. 

    Secara amnya, cermin depan kereta diperbuat daripada tempered glass yang telah melalui proses pemanasan yang teliti bagi menguatkan lagi struktur kaca. Ia bagi memastikan cermin tersebut tahan lasak dan tidak mudah pecah. Bagaimanapun, kerosakan termasuklah cermin retak atau pecah tetap boleh berlaku dalam situasi yang tidak dijangka. 

    Jom ketahui apakah punca yang mungkin boleh menyebabkan cermin kereta anda retak atau pecah. 

    Terkena batu atau objek asing

    Ketika sedang memandu, kita pastinya terdedah dengan pelbagai risiko termasuklah kenderaan terkena objek asing yang ada di atas jalan raya seperti serpihan batu, kayu, pasir dan lain-lain. Objek-objek ini boleh terkena atau ‘melantun’ ke cermin kereta anda daripada kenderaan lain terutamanya lori dan secara tidak langsung menyebabkan cermin kereta anda retak. 

    Justeru ketika memandu, anda jangan ikut terlalu rapat dengan kenderaan berat khususnya lori kerana muatan yang dibawa oleh kenderaan tersebut boleh membahayakan kenderaan anda. Sebaiknya, segera potong kenderaan berat itu dan jangan memandu di belakang dengan jarak yang sangat dekat. Selain untuk melindungi cermin kereta anda, ia juga penting untuk keselamatan nyawa anda dan mengelak daripada berlakunya kemalangan yang tidak diingini.

    Cermin kereta dihempap dahan pokok atau ranting

    Kereta mungkin berisiko untuk dihempap pokok ketika cuaca buruk

    Untuk memastikan kereta tidak terlalu panas dan berada di tempat yang teduh, ramai yang memilih untuk meletakkan kenderaan di bawah pokok. Namun sedarkah anda, ia sebenarnya turut merisikokan kenderaan anda juga.

    Mana tidaknya, kereta kesayangan anda itu mungkin berisiko untuk dihempap dahan pokok atau ranting terutamanya jika secara tiba-tiba berlaku angin kencang ataupun hujan lebat. Secara tidak langsung, ia boleh menyebabkan cermin kereta anda retak atau pecah. 

    Cermin kereta retak akibat cuaca

    Untuk makluman anda, setiap bahagian cermin kereta mempunyai kadar pengecutan dan pengembangan yang berbeza. Contohnya, kadar kepanasan cermin kereta di bahagian tepi adalah lebih cepat berbanding di bahagian tengah.

    Jika kenderaan sering dibiarkan terdedah kepada cahaya matahari, ia turut boleh menyebabkan cermin kereta anda secara tiba-tiba retak atau pecah. Ini kerana, bahan logam pada rangka kereta berpotensi untuk memanaskan bahagian tepi cermin dengan cepat, sekaligus menyebabkan berlakunya keretakan. 

    Cermin kereta tidak dipasang dengan betul / kualiti pemasangan tidak berkualiti

    Pemasangan cermin yang tidak betul juga boleh menyebabkan cermin kereta rosak

    Kerosakan cermin kereta turut boleh berlaku disebabkan oleh kualiti pemasangan yang kurang baik. Sekiranya cermin kereta tidak dipasang dengan betul dan longgar, ia boleh bergegar dan menyebabkan tekanan pada cermin yang seterusnya menyebabkan ia retak atau pecah.

    Meskipun faktor cermin kereta retak disebabkan oleh kualiti pemasangan ini merupakan antara situasi yang jarang berlaku, anda tetap perlu berjaga-jaga. Justeru itu, anda sangat disarankan untuk menggunakan khidmat pakar cermin kereta untuk mengurangkan risiko ini bagi membaiki cermin kereta anda.

    Cermin kereta rosak akibat kemalangan

    Selain kemalangan antara kenderaan dengan kenderaan, cermin kereta anda juga boleh retak atau pecah jika mengalami kemalangan dengan haiwan seperti burung atau lain-lain.

    Justeru itu, adalah sangat penting untuk anda memandu dengan berhati-hati bagi menjaga kenderaan dan nyawa anda. 

    Bolehkah anda membuat tuntutan insurans untuk baiki kerosakan pada cermin kereta?

    Ya, anda boleh membuat tuntutan insurans untuk membaiki kerosakan pada cermin kereta anda sekiranya memiliki perlindungan insurans jenis komprehensif. Namun perhatian, anda boleh kehilangan kadar NCD anda sekiranya tidak memiliki perlindungan tambahan cermin kereta pada polisi insurans ketika tuntutan dibuat.

    Untuk makluman, dengan perlindungan tambahan cermin kereta, anda boleh membuat tuntutan (sekali sahaja setahun) tanpa menjejaskan kadar NCD anda. 

    Kebiasaannya, premium yang perlu anda bayar untuk perlindungan tambahan cermin kereta adalah sebanyak 15% daripada jumlah perlindungan caruman insurans cermin anda. 

    Ketahui harga untuk cermin kereta dan bayaran untuk insurans bagi kereta jenama tempatan dan import seperti yang pernah dikongsikan sebelum ini. 

    Bagaimanakah cara untuk membuat tuntutan insurans bagi cermin kereta?

    1. Hantar kereta ke bengkel panel syarikat insurans anda. Jika tidak pasti, dapatkan dulu kepastian dengan menghubungi hotline syarikat insurans anda

    2. Isi borang tuntutan di bengkel tersebut. Pastikan anda maklumkan kepada pihak bengkel bahawa anda ingin membuat tuntutan daripada syarikat insurans anda.

    3. Selepas pembaikan, anda boleh bawa pulang kereta anda. Tiada sebarang kos yang perlu dikeluarkan oleh anda untuk pembaikan cermin sekiranya anda membuat tuntutan insurans.

    Apakah dokumen yang perlu disediakan?

    – Salinan kad pengenalan dan lesen pemilik kenderaan

    – Geran kereta (salinan)

    – Salinan nota perlindungan insurans kereta

    Beri perlindungan sebaiknya untuk kereta anda

    Kerosakan pada cermin kereta sememangnya boleh berlaku pada bila-bila masa. Meskipun ia nampak remeh, namun ia sebenarnya boleh membahayakan nyawa pemandu dan penumpang jika dibiarkan dengan lama dan tidak dibaiki.

    Sila pandu dengan cermat, parkir di tempat yang terbaik bagi mengurangkan risiko cermin kereta anda retak atau pecah.

    Meskipun anda boleh membuat tuntutan insurans untuk membaiki kerosakan pada cermin kereta (pemegang polisi komprehensif sahaja), namun ia akan merugikan anda sekiranya tuntutan itu dibuat tanpa mempunyai perlindungan tambahan cermin kereta. Ini kerana ia akan menjejaskan kadar peratusan NCD sedia ada dan menyebabkan premium insurans pada tahun berikutnya menjadi lebih mahal.

    Justeru sebagai persediaan, anda dinasihatkan untuk mengambil perlindungan tambahan  cermin kereta di bawah polisi komprehensif bagi mengelakkan kerugian pada masa akan datang. 

    Untuk memperbaharui insurans dengan pelan komprehensif terbaik, anda juga boleh melakukannya di platform online Bjak. Buat perbandingan antara 15 syarikat insurans yang disediakan, dan pilih satu yang terbaik dan bersesuaian untuk kereta anda. Minta sebut harga percuma dalam hanya 3 minit sekarang.