Skip to content
Home » Kereta Baru vs Kereta Terpakai: Mana Lebih Berbaloi Untuk Pemilik Kereta Pertama?

Kereta Baru vs Kereta Terpakai: Mana Lebih Berbaloi Untuk Pemilik Kereta Pertama?

    beli kereta

    Untuk yang pertama kali ingin mendapatkan sebuah kereta bagi kegunaan harian, mungkin ada yang masih berkira-kira sama ada ingin mendapatkan kereta baharu terus ataupun kereta terpakai sahaja. 

    Mana tidaknya dengan keadaan ekonomi semasa, ada yang lebih selesa untuk hanya mendapatkan kereta terpakai kerana harganya yang lebih murah. Namun ada juga yang terus mendapatkan kereta baharu setelah mengambil kira beberapa faktor tertentu.

    Persoalan sama ada mana yang lebih berbaloi, iaitu ‘kereta baharu atau kereta terpakai’ adalah agak umum, dan ia bergantung kepada keperluan seseorang. Namun, di sini kami akan kongsikan juga perbandingan di antara pembelian kereta terpakai dengan kereta baharu agar anda boleh membuat pertimbangan sebelum membeli kereta.

    Faktor yang perlu dipertimbangkan

    beli kereta baru atau terpakai?

    Sebelum membeli kereta untuk diri anda, pastikan faktor-faktor ini telah dipertimbangkan terlebih dahulu agar anda boleh membuat penilaian yang sewajarnya:

    • Harga kereta
    • Tempoh waranti kereta
    • Bayaran pinjaman kereta
    • Insurans kereta

    Harga kereta

    Salah satu faktor utama yang perlu dipertimbangkan oleh bakal pemilik kereta adalah harganya. Secara amnya, harga untuk kereta terpakai sudah tentulah lebih murah berbanding harga untuk kereta baharu. 

    Berbeza dengan hartanah seperti rumah yang mana harganya tidak akan susut nilai, nilai sesebuah kereta akan mengalami penurunan apabila ia semakin lama dibeli. 

    Jika anda membeli kereta baru, harga yang anda perlu bayar sudah tentulah tinggi pada setiap bulan. Namun, anda boleh jimat kos dari segi pembaikan kerana biasanya kereta baru akan berada dalam kondisi terbaik dan kurang risiko untuk mengalami sebarang kerosakan dalam tempoh beberapa tahun (bergantung kepada cara penggunaan). 

    Namun, jika anda ingin mendapatkan kereta terpakai juga tidak salah. Banyak sahaja kereta terpakai yang masih berada dalam keadaan terbaik. Jika anda berjaya mendapatkannya, maka ia merupakan satu pelaburan yang sangat menguntungkan untuk anda. Disebabkan itulah jika anda berhasrat untuk membeli kereta terpakai, pastikan anda telah melakukan survey terlebih dahulu bagi mencari kereta terpakai yang tepat untuk anda. Untuk membeli kereta terpakai, anda sangat digalakkan untuk mendapatkannya menerusi penjual kereta yang dipercayai dan sah sahaja bagi mengelakkan sebarang masalah berlaku pada masa akan datang.

    Termpoh waranti

    Biasanya, pengedar kereta yang sah untuk penjualan kereta baharu akan memberikan tempoh waranti sehingga lima tahun untuk pelanggan mereka. Ini sebenarnya agak berbaloi dan akan membantu anda pada masa akan datang andai kata berlaku sesuatu pada kenderaan anda dalam tempoh itu.

    Tidak seperti kereta baharu, penjual kereta terpakai pula biasanya tidak memberikan waranti untuk pelanggan mereka. Bahkan jika ada pun, waranti tersebut mungkin hanya untuk melindungi sebahagian komponen kereta tertentu sahaja seperti enjin, transmisi dan sistem penyejukan kereta. Seterusnya jika kereta anda perlukan pembaikan, anda mungkin perlu mengeluarkan kos yang lebih banyak kerana kerosakan kereta itu biasanya agak parah memandangkan kereta tersebut sudah dipakai dan agak lama.

    Bayaran pinjaman kereta

    Biasanya, anda tidak boleh mendapatkan pinjaman tanpa faedah untuk membeli kereta terpakai. Kadar faedah yang dikenakan untuk membeli kereta terpakai bahkan agak tinggi berbanding kadar faedah untuk membeli kereta baru.

    Namun begitu meskipun kadar faedah dikenakan lebih tinggi untuk pembelian kereta terpakai oleh pihak bank, anda perlu ingat bahawa harga keseluruhan untuk sebuah kereta terpakai masih lebih murah berbanding kereta baharu.

    Sebelum membeli kereta, bandingkan dahulu tawaran pinjaman bank yang diberikan oleh pihak mereka. Lihat kadar caj faedah yang ditetapkan oleh institusi tersebut agar anda boleh mendapatkan kadar faedah terendah untuk pembelian kereta anda.

    Insurans kereta

    Apabila membeli kereta, satu perkara yang wajib anda miliki pada setiap masa dan perbaharui pada setiap tahun adalah insurans kereta. Tidak kira sama ada anda mendapatkan kereta terpakai ataupun baharu, insurans tetap wajib dibeli dan diperbaharui oleh anda.

    Jika kereta terpakai yang dibeli oleh anda masih berusia di bawah 5 tahun, anda masih layak untuk membeli insurans komprehensif (insurans kereta 1st party) untuk perlindungan pada kereta anda. Ini sangat penting bagi memastikan kereta anda tetap mendapat insurans yang terbaik meskipun ia bukanlah kereta baharu lagi.

    Harga insurans kereta juga mungkin berbeza untuk kereta terpakai dan kereta baharu, meskipun ia adalah model dengan tahun pembuatan yang sama ya!

    Kesimpulan

    Jika anda miliki simpanan kewangan yang mencukupi untuk membeli sebuah kereta, maka tidak salah pun jika anda ingin terus mendapatkan kereta baharu. Namun, jika anda ingin jimat maka anda boleh juga beli sahaja kereta terpakai untuk kegunaan harian anda. 

    Ia bergantung kepada keperluan seseorang. Yang penting, dapatkan sahaja kereta yang boleh memenuhi keperluan asas anda dan tidak akan membebankan anda pada masa akan datang. Pilihan terletak di tangan anda. Fikir dan bandingkanlah mana yang terbaik untuk anda!


    Bjak menyediakan lebih 10 jenama insurans untuk pengguna lakukan perbandingan. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak dan pilih pelan terbaik hari ini!

    Baca juga: