Skip to content
Home » Kesilapan Yang Perlu Dielakkan Semasa Memfailkan Tuntutan Insurans Kemalangan Kereta

Kesilapan Yang Perlu Dielakkan Semasa Memfailkan Tuntutan Insurans Kemalangan Kereta

    tuntutan insurans kemalangan kereta

    Pemilik kenderaan mungkin sudah tahu bahawa mereka perlu memastikan kereta mereka dilindungi setiap tahun. Walau bagaimanapun, membuat tuntutan insurans selepas terbabit dalam kemalangan adalah cerita yang berbeza.

    Sudah terlalu banyak kes, orang ramai mengadu mengenai penolakan tuntutan insurans mereka atau mendapat pampasan yang tidak mencukupi. Ini sering berlaku kerana kebanyakan daripada mereka tidak mengetahui prosedur sebenar atau mereka melakukan kesilapan semasa memfailkan tuntutan insurans.

    Dalam artikel ini, kami ingin membantu anda mengelakkan beberapa kesilapan biasa yang boleh menjejaskan tuntutan insurans kereta anda.

    Lewat membuat laporan polis

    Jangan buang masa untuk menghubungi syarikat insurans anda. Sebaliknya, anda mesti melaporkan tentang kemalangan tersebut kepada pihak polis terlebih dahulu dalam masa 24 jam selepas kemalangan itu berlaku.

    Walaupun kemalangan itu berlaku pada hujung minggu, sila jangan tunggu sehingga hari bekerja berikutnya. Polis masih akan mengambil laporan anda di hari apa pun, termasuk hujung minggu. Kegagalan anda membuat laporan dalam tempoh 24 jam mungkin menjadi alasan untuk syarikat insurans menolak tuntutan anda. Mereka boleh menafikan tuntutan anda jika anda tidak membuat laporan polis tepat pada masanya.

    Kadangkala, pihak lain yang terlibat dalam kemalangan itu mungkin cuba menyelesaikan perkara terbabit secara peribadi tanpa melibatkan pihak polis. Anda tidak boleh bersetuju dengannya kerana tidak memaklumkan kepada polis tentang kemalangan itu adalah menyalahi undang-undang.

    Nota: Anda hanya boleh menangguhkan daripada membuat laporan polis sekiranya terdapat sebab yang sah yang boleh disokong oleh laporan perubatan rasmi. Contohnya, dimasukkan ke hospital atau menerima rawatan untuk kecederaan anda.

    Mengambil masa terlalu lama untuk memfailkan tuntutan insurans

    Sama seperti laporan polis, adalah penting untuk anda memaklumkan kepada syarikat insurans kereta mengenainya. Pastikan anda memaklumkan kepada mereka tidak kira sama ada terdapat kerosakan kecil atau besar.

    Kegagalan melaporkan kemalangan boleh meningkatkan risiko permohonan tuntutan insurans anda ditolak. Biasanya, anda boleh memfailkan laporan tuntutan dalam masa seminggu – bersamaan dengan 7 hari.

    Apa yang berlaku jika anda tidak memaklumkan kepada syarikat insurans anda? Anda perlu membayar sendiri kos pembaikan kenderaan tersebut. Jika orang lain membuat tuntutan pihak ketiga dan penanggung insurans anda tidak pernah menerima notis, anda akan bertanggungjawab secara peribadi untuk kerosakan orang lain itu. Jadi, sila ambil perhatian!

    Dokumentasi yang tidak lengkap

    Jika anda membuat tuntutan tanpa menyerahkan semua dokumen sokongan yang diperlukan, tuntutan anda akan ditolak kerana tidak lengkap. Anda memerlukan bukti bahawa anda tidak bersalah jika anda mahu insurans anda membuat tuntutan yang memihak kepada anda.

    Apakah jenis bukti yang perlu anda kemukakan? Adalah penting untuk anda mengambil gambar lokasi, kerosakan kenderaan, dan nombor plat semua kenderaan yang terlibat.

    Selain daripada itu, berikut adalah dokumen yang diperlukan:

    • Borang tuntutan yang lengkap
    • Salinan asal laporan polis
    • Salinan kad pengenalan dan lesen memandu pemandu dan pemegang polisi
    • Salinan sijil pemilikan kenderaan
    • Gambar tempat kejadian kemalangan dan kerosakan pada kenderaan
    • Surat polis memaklumkan pihak mana yang dikenakan kompaun atas kesalahan lalu lintas jalan raya

    Lari dari tempat kejadian

    Adalah normal jika anda panik apabila terlibat dalam kemalangan. Namun, jangan sesekali jadikan ia alasan untuk anda lari dari tempat kejadian.

    Anda tidak boleh bergerak mahupun lari dari tempat kejadian kemalangan berlaku – ambil gambar tempat kejadian sebagai bukti untuk menyokong tuntutan anda dan mengelakkan tuntutan anda daripada ditolak.

    Bukti itu juga akan membantu anda membuktikan anda tidak bersalah dalam siasatan polis. Jika perlu, dapatkan kenyataan atau keterangan daripada saksi berhampiran tempat kemalangan. Ini seterusnya akan membantu anda mengesahkan tuntutan anda.

    Soalan lazim tentang tuntutan insurans

    Berikut adalah beberapa soalan lazim tentang tuntutan insurans kereta untuk makluman anda.

    Adakah berbohong kepada syarikat insurans merupakan satu jenayah?

    Memberi maklumat palsu kepada syarikat insurans anda adalah satu bentuk penipuan insurans.

    Apa yang berlaku jika anda berbohong kepada syarikat insurans kereta? Jawapannya mudah, anda menghadapi risiko tuntutan ditolak dan polisi anda ditamatkan serta-merta.

    Adakah syarikat insurans perlu membayar tuntutan dalam jangka masa tertentu?

    Syarikat insurans perlu membayar semua tuntutan dalam tempoh masa yang munasabah. Walau bagaimanapun, tempoh masa mungkin berbeza untuk setiap tuntutan. Sesetengah tuntutan mungkin memerlukan lebih banyak masa untuk siasatan yang lebih teliti.

    Sekiranya kemalangan itu adalah kesalahan saya, adakah saya perlu mengakuinya kepada pemandu lain?

    Adalah lebih baik untuk tidak mengaku terlebih dahulu dan biarkan syarikat insurans/penyiasat menentukan pemandu mana yang bersalah.

    Walaupun anda mungkin berasa seperti anda bersalah, sila elakkan mengaku bahawa kemalangan itu adalah kesalahan anda. Mungkin pemandu lain turut menyumbang kepada kemalangan itu (tanpa anda sedari).

    Apakah yang perlu saya lakukan sekiranya pemandu lain enggan memberikan butiran mereka di tempat kemalangan?

    Jika pihak lain yang terlibat enggan memberikan butiran mereka, hubungi polis. Maklumkan kepada pegawai polis bahawa pihak lain yang terlibat enggan bekerjasama.

    Untuk pengetahuan anda, pihak lain yang terlibat tidak boleh menolak untuk memberikan maklumat tertentu apabila polis memintanya. Oleh itu, anda hanya perlu menunggu polis mendapatkan maklumat yang anda perlukan.

    Bolehkah saya membuat tuntutan insurans jika kereta kemek?

    Ya, anda boleh membuat tuntutan. Walau bagaimanapun, kami menasihatkan anda untuk membuat tuntutan insurans kereta bagi kerugian besar dan bukannya kerosakan kecil.

    NCD insurans kereta anda mungkin akan terjejas lebih-lebih lagi jika ia adalah kesalahan anda.

    Jika saya membuat tuntutan, adakah saya akan kehilangan (NCD) saya?

    Elakkan membuat tuntutan terutamanya jika kosnya kecil kerana ia akan menjejaskan NCD anda.

    Jika anda di pihak yang bersalah, anda akan kehilangan Diskaun Tanpa Tuntutan (NCD) anda selepas membuat tuntutan. Bagaimanapun, NCD anda tidak akan terjejas jika anda membuat tuntutan pihak ketiga (kemalangan bukan salah anda).

    Adakah premium insurans kereta saya akan meningkat selepas tuntutan dibuat?

    Tuntutan yang berulang kali bermakna anda menimbulkan risiko yang lebih tinggi kepada syarikat insurans. Sebagai balasan, syarikat insurans mungkin akan meningkatkan premium apabila anda memperbaharui insurans untuk tahun berikutnya.


    Bjak menyediakan lebih 10 jenama insurans untuk pengguna lakukan perbandingan. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak dan pilih pelan terbaik hari ini!

    Baca juga: