Anda pemegang lesen P? Apa perlu buat apabila lesen P anda itu tamat tempoh beberapa bulan atau hari sahaja lagi dari sekarang?
Perlu anda tahu, sebenarnya terdapat beberapa syarat yang perlu anda ikuti bagi lesen P tamat tempoh. Kegagalan anda untuk memperbaharuinya dengan lesen penuh (Lesen Memandu Kompeten (CDL)) dalam tempoh yang ditetapkan mungkin akan memberi kesan kepada anda nanti.
Jom teruskan membaca perkongsian ini untuk ketahui dengan lebih lanjut mengenai lesen P supaya anda tidak terlepas pandang beberapa perkara penting.
Apa itu lesen memandu P?
Lesen memandu percubaan (lesen P) ini dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kepada setiap pemandu baru bagi tempoh selama dua tahun dengan tujuan untuk mengenakan beberapa batasan tertentu agar pemandu baru tersebut diberi masa untuk mendapatkan kemahiran serta pengalaman bagi menjadi seorang pemandu yang kompeten.
Antara syarat-syarat yang dikenakan kepada pemegang lesen P ketika memandu di atas jalan raya adalah:
- Sentiasa membawa lesen memandu percubaan bersamanya
- Memastikan kadar alkohol dalam nafas, darah dan air kencing berada pada paras 0.00%
- Mempamerkan sticker P di cermin hadapan dan belakang kenderaan.
Jika pemegang lesen P didapati melanggar mana-mana syarat berikut, individu berkenaan boleh didakwa di bawah Seksyen 119 Akta Pengangkutan Jalan 1987. Jika disabitkan kesalahan, bagi kesalahan pertama dia boleh dikenakan denda RM2,000 atau 6 bulan penjara. Manakala bagi kesalahan kedua dan seterusnya pula adalah denda RM4,000 atau penjara 12 bulan atau kedua-duanya sekali.
Selain itu, sabitan kesalahan juga akan mengumpul mata demerit berikut:
- Pemegang lesen P akan dikenakan demerit jika melakukan kesalahan terjadual lain di bawah sistem mata demerit KEJARA
- Jika 10 mata demerit terkumpul, ia boleh mengakibatkan lesen memandu P dibatalkan oleh Ketua Pengarah JPJ. Akibatnya, individu berkenaan dilarang untuk memandu, memegang atau memohon apa-apa lesen dalam tempoh 12 bulan dari tarikh penyerahan lesen memandu P
- Selepas tempoh 12 bulan berakhir, barulah individu terbabit boleh mendapatkan lesen memandu kembali dengan mengulang semula proses latihan serta ujian dari awal.
Apa nak buat lepas lesen P tamat tempoh?
Anda perlu memastikan lesen P anda itu diperbaharui dengan mendapatkan Lesen Memandu Kompeten (CDL) seawal 7 hari sebelum ia tamat tempoh.
Namun apa jadi jika anda tidak perbaharui lesen P yang telah tamat melebihi tempoh-tempoh di bawah?
Lesen P sudah tamat sebulan
Anda perlu peka dengan tempoh penukaran lesen P kepada lesen CDL bagi mengelakkan sebarang masalah. Jika terlewat, anda bukan sahaja perlu melalui proses yang menyukarkan untuk memperoleh lesen CDL, bahkan juga mungkin lesen P anda juga dibatalkan terus.
Jika lesen P baru tamat selama sebulan, anda masih bernasib baik kerana masih boleh perbaharui atau dapatkannya di JPJ.
Lesen P tamat sudah setahun
Bagaimana pula jika lesen P sudah tamat selama setahun dan anda masih belum dapatkan lesen CDL lagi?
Pertama sekali, perlu anda pastikan dahulu sama ada lesen P itu telah tamat tempoh hampir setahun atau lebih setahun?
Jika lesen P tersebut baru akan mencapai tempoh tamat setahun dalam masa beberapa hari lagi, jadi anda masih dibolehkan untuk dapatkan/ hidupkan lesen CDL di JPJ.
Lesen P sudah tamat tempoh LEBIH setahun
Namun, jika lesen P anda telah tamat lebih dari setahun, maka anda mungkin sudah tidak mempunyai peluang lagi untuk mendapatkan lesen penuh.
Ini kerana berdasarkan akta yang telah ditetapkan JPJ, apabila genap sahaja lesen P tamat lebih dari setahun waima hanya lebih 1 hari sekalipun, maka anda sudah tidak dibenarkan untuk perbaharui lesen P kepada CDL.
Apatah lagi jika lesen P tersebut tamat lebih 2 tahun atau 3 tahun, anda bukan sahaja tidak boleh perbaharui lesen P kepada lesen CDL, bahkan lesen memandu P anda juga dibatalkan dan tidak boleh digunakan untuk anda memandu kenderaan di jalan raya.
Namun jika anda mempunyai alasan yang kukuh, maka anda bolehlah cuba mengemukakan rayuan bertulis kepada pihak JPJ. Sila rujuk dengan cawangan JPJ yang terdekat untuk meneruskan proses rayuan bertulis anda. Jika didapati alasan tersebut belum cukup kukuh, maka anda mungkin perlu menjalani semula ujian memandu.
Pastikan anda renew lesen P sebelum terlambat
Kelekaan anda mungkin mengundang padah. Jika anda pemegang lesen P, pastikan anda ingat untuk perbaharuinya selepas 2 tahun ia dikeluarkan. Jangan bazirkan wang, masa dan tenaga anda untuk perkara yang sepatutnya boleh dielakkan.
Ingat, lesen memandu amat penting pada hari ini. Selepas bersusah-payah menjalani pelbagai kelas dan ujian, pastikanlah anda perbaharui lesen P anda itu seawal 7 hari sebelum ia tamat tempoh ya! Bila dah ada lesen CDL, nak memandu pun rasa lebih menyeronokkan!
Bjak menyediakan lebih 10 jenama insurans untuk pengguna lakukan perbandingan. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak dan pilih pelan terbaik hari ini!
Baca juga: