Saban tahun membeli insurans kenderaan, mungkin ada dalam kalangan pemilik kenderaan/ pemegang polisi yang masih belum tahu atau menyedari tentang beberapa terma penting dalam polisi insurans tersebut.
Antaranya adalah ekses, betterment, waiver of betterment, endorsmen, premium dan banyak lagi. Selain itu, salah satu terma yang sering ada dalam polisi insurans kenderaan adalah ‘loading’.
Jika sebelum ini Bjak sudah menerangkan dengan lebih lanjut mengenai beberapa terma penting dalam polisi insurans, kali ini kami akan jelaskan pula apa itu ‘loading’ di dalam polisi insurans kenderaan untuk pemahaman bersama.
Apakah yang dimaksudkan dengan ‘loading’?
Loading merupakan salah satu jargon dalam industri insurans yang sebenarnya boleh diistilahkan sebagi ‘caj tambahan’. Caj tambahan ini dikenakan oleh syarikat insurans terhadap pemegang polisi ke atas premium asas berdasarkan sesuatu risiko.
Antara faktor risiko yang diambil kira oleh syarikat insurans adalah faktor umur pemandu, tabiat pemandu, kapasiti enjin, sejarah memandu, kekerapan tuntutan sebelumnya, umur kenderaan dan lain-lain. Caj loading ini akan dikenakan bagi memastikan ia setimpal dengan risiko yang akan ditanggung oleh syarikat insurans.
Berapakah caj loading yang dikenakan?
Kadar caj atau peratusan loading yang ditetapkan oleh setiap syarikat insurans adalah berbeza-beza meskipun untuk satu risiko yang sama. Biasanya, peratusan loading yang ditetapkan adalah di antara 15% hingga 35%. Semakin tinggi risiko yang ditanggung oleh syarikat insurans, semakin tinggi kadar yang akan dikenakan bagi menutup pendedahan berisiko tinggi.
Gambaran situasi:
Encik Ahmad memiliki sebuah kereta lama jenama XX yang sudah didaftarkan sejak tahun 2007, dan tahun ini, usia kenderaan itu adalah 15 tahun. Selama 15 tahun ini, Encik Ahmad tidak pernah membuat sebarang tuntutan dan kadar NCD juga sudah mencecah sebanyak 55%. Walau bagaimanapun, memandangkan kereta itu sudah agak lama, syarikat insurans mengenakan caj loading terhadap premium insurans asasnya iaitu sebanyak 30%.
Jadi, jumlah premium yang Encik Ahmad perlu bayar untuk premium insuransnya bagi tahun 2022 adalah seperti berikut:
Pengiraan sebelum penolakan NCD, dan ditambah dengan caj loading:
Premium asas | RM427.30 |
Caj loading (30%) | RM128.19 |
Jumlah yang sepatutnya dibayar | RM555.49 |
Selepas penolakan NCD
RM555.49 – NCD (55%) RM305.50= RM249.97
Jumlah premium yang perlu dibayar selepas ditambah cukai SST (6%) dan caj duti setem
RM249.97 + RM15 (SST) + RM10 (duti setem) = RM274.97
Bagi pembaharuan insurans tahun 2022, jumlah premium insurans yang perlu dibayar oleh Encik Ahmad adalah sebanyak RM274.97.
Tahu dan bandingkan caj loading sebelum renew insurans
Secara amnya, semakin tinggi kadar loading yang dikenakan, semakin mahal premium insurans yang perlu dibayar. Jadi sebelum membeli insurans, pemilik kenderaan digalakkan untuk mengetahui atau membandingkan dahulu caj yang dikenakan oleh setiap syarikat insurans bagi memastikan ia adalah yang terendah anda miliki. Semakin rendah caj yang dikenakan, semakin rendah premium insurans yang perlu anda bayar.
Walau bagaimanapun, ada juga syarikat insurans yang tidak mengenakan sebarang caj loading. Jadi, silalah jadi seorang pengguna yang bijak dan selidik terlebih dahulu sebelum memperbaharui insurans kenderaan anda.
Bjak menyediakan 15 syarikat insurans untuk pengguna lakukan perbandingan sebelum memperbaharui insurans. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak hari ini dan renew insurans kereta atau motosikal anda dengan mudah dan pantas.
Baca juga: