Skip to content
Home » Padah Ubah Suai Kereta, 3 Lelaki Disaman – 1 Individu Kena 3 Saman Sekaligus

Padah Ubah Suai Kereta, 3 Lelaki Disaman – 1 Individu Kena 3 Saman Sekaligus

    Ikut peraturan jalan raya

    Memiliki kereta sendiri tidak bermakna anda boleh mengubahsuainya sesuka hati. Terdapat peraturan atau garis panduan ubah suai kereta yang telah ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk dipatuhi.

    Untuk makluman anda, Seksyen (12) Akta Pengangkutan Jalan 1987 telah menetapkan keperluan undang-undang mengenai sebarang pengubahsuaian kepada kenderaan sebelum dan selepas pendaftarannya. Kegagalan mana-mana pemilik kendaraan mengikut peraturan yang telah ditetapkan ini boleh menyebabkan tindakan saman dikenakan.

    Disaman akibat ubah suai kereta

    Keghairahan mengubah suai kereta menyebabkan tiga lelaki disaman dalam operasi bersepadu Op Samseng Jalanan di Melaka pada Sabtu lalu.

    Pertama, seorang lelaki dikenakan sebanyak tiga saman oleh pihak polis selepas didapati melanggar peraturan termasuk mengubahsuai enjin kereta dalam operasi yang dijalankan itu.

    Menurut laporan Sinar Harian, lelaki yang berusia 25 tahun tersebut dikenakan tiga saman akibat; i) kesalahan mempamerkan nombor pendaftaran fancy, ii) mengubahsuai enjin dan iii) lampu brek belakang tidak berfungsi. 

    Lebih mengejutkan, lelaki itu memaklumkan bahawa dia telah membelanjakan kira-kira RM10,000 yang diperoleh hasil daripada tuntutan insurans akibat kemalangan jalan raya serta wang simpanan untuk mengubahsuai keretanya itu. 

    “Saya baru setahun beli kereta hasil wang insurans yang diperoleh dan kerana minat nak cantikkan bahagian enjin, saya buat ubahsuai.

    “Tapi bila dikenakan saman, saya menjadi serik dengan tindakan saya mengubah suai kereta. Ia nampak cantik tapi sebenarnya boleh membahayakan diri dan orang lain,” katanya seperti memetik laporan.

    Kedua, seorang lelaki berusia 27 tahun yang pada ketika itu sedang bercuti di Melaka disaman gara-gara mengubah suai ekzos kereta miliknya.

    Menurutnya, dia telah mengeluarkan modal beribu ringgit untuk mengubai suai ekzos kereta miliknya.

    Manakala seorang lagi individu yang merupakan penuntut universiti tempatan turut dikenakan saman selepas Proton Satria miliknya didapati ada melakukan ubah suai yang bertentangan dengan syarat pengubahsuaian yang ditetapkan. 

    Apakah jenis pengubahsuaian yang tidak dibenarkan JPJ?

    Berikut merupakan ringkasan jenis pengubahsuaian atau pemasangan aksesori yang tidak dibenarkan oleh JPJ untuk rujukan dan makluman anda.

    1. Pemasangan bodypart/ bodykit yang sehingga mengubah identiti kereta
    2. Pemasangan rollcage sebagai aksesori dalaman pada kenderaan
    3. Pemasangan lampu HIP secara retrofit
    4. Penukaran sistem pacuan
    5. Lampu berkelip-kelip (selain daripada lampu penunjuk arah dan lampu berjaga-jaga) pada bahagian hadapan atau belakang kereta
    6. Pemasangan sebarang lampu tambahan selain warna putih / amber pada bahagian hadapan dan selain warna merah / amber pada bahagian belakang
    7. Pemasangan hon yang berirama atau hon dengan dua nada
    8. Pemasangan cermin gelap atau tinted film pada cermin hadapan dengan ketelusan cahaya kurang daripada 70%
    9. Pemasangan cermin gelap atau tinted film pada cermin sisi dengan ketelusan cahaya kurang daripada 50% dan belakang dengan ketelusan cahaya kurang daripada 30%
    10. Ubah suai kenderaan menggunakan tayar ‘Hellaflush’ – boleh didenda sehingga RM2,000 atau penjara tidak lebih 6 bulan.

    Untuk nombor plat kenderaan, apakah spesifikasi yang sebenar?

    Sebelum ini, Bjak telah kongsikan kepada anda mengenai spesifikasi nombor plat yang telah ditetapkan oleh JPJ.

    Secara ringkasnya, terdapat tiga bentuk nombor plat kenderaan yang dibenarkan oleh JPJ iaitu:

    1. Huruf dan nombor berwarna putih yang dilekatkan atau di’embossed’ atas bingkai hitam

    2. Huruf dan nombor berwarna putih yang dilekatkan atau di’embossed’ atas bingkai berwarna merah bagi kenderaan kedutaan, PBB dan International Natural Rubber Association

    3. Huruf dan nombor berwarna hitam yang di’embossed’ atas bingkai berwarna putih bagi teksi atau kereta sewa. 

    Ini bermakna, jika anda adalah pemilik kereta persendirian, anda haruslah menggunakan nombor plat mengikut bentuk pada point nombor 1 itu.

    Untuk mengetahui contoh ukuran nombor plat yang dibenarkan, sila lihat rajah di bawah:

    Contoh ukuran plat kenderaan yang ditetapkan JPJ

    Kegagalan anda untuk menggunakan spesifikasi nombor plat seperti yang ditetapkan oleh JPJ boleh menyebabkan anda  disaman sehingga RM3,000 dan tidak kurang RM300 di bawah Seksyen 14 (4) Akta JPJ 1987.

    Ikut peraturan yang ditetapkan

    Jangan hanya kerana ingin nampak gah di atas jalan raya, anda terpaksa menghabiskan wang untuk membayar saman-saman yang dikenakan oleh pihak berkuasa. Sebaiknya, ikut sahaja peraturan yang telah ditetapkan untuk kesenangan anda.

    Selain itu, anda juga diingatkan untuk memastikan kenderaan yang digunakan di jalan raya mempunyai roadtax dan insurans yang masih belum tamat tempoh. Buat apa kereta cantik, tapi insurans dan roadtax pun tiada kan?

    Jika sudah hampir tamat, anda renew sahaja di Bjak. Pastinya lebih mudah, laju dan selamat. Minta sebut harga percuma dulu dari kami hari ini untuk bandingkan harga.