Syarat Penting Tinted Cermin Kereta Lulus JPJ

Sebelum memasang tinted cermin kereta, pelajari dahulu jenis-jenis tinted cermin kereta dan peraturan JPJ tentang penggunaan cermin gelap.

Info

Written by:

Tinted cermin kereta atau cermin gelap kereta sudah menjadi suatu keperluan untuk kebanyakan pemilik kereta untuk pemanduan yang lebih selesa dan selamat. Penggunaan cermin gelap membantu mengurangkan kadar sinaran matahari yang menembusi cermin sekali gus mengurangkan suhu di dalam kereta. 

Tetapi adalah suatu kesalahan sekiranya anda tidak mengikut peraturan penggunaan tinted cermin kereta berdasarkan ketetapan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). 

Justeru, untuk membantu anda mendapatkan tinted cermin kereta terbaik serta diluluskan JPJ, kami kongsikan di sini info penting tentang tinted cermin kereta serta peraturan penggunaan tinted cermin kereta mengikut JPJ

Maksud VLT, UV dan IR tinted cermin kereta

Ketelusan Cahaya / Visible Light Transmission (VLT)

Visible Light Transmission (VLT) atau Ketelusan Cahaya ialah kadar peratusan cahaya yang dapat menembusi cermin kereta.

Semakin rendah kadar peratusan VLT tinted cermin kereta, semakin rendah kadar peratusan cahaya yang boleh menembusi cermin, lalu menjadikan cermin semakin gelap.

Anda digalakkan untuk memilih cermin gelap yang mengandungi kadar peratusan VLT tinted yang lebih rendah, mengikut had yang ditetapkan JPJ. 

Kadar peratusan VLT tinted yang lebih rendah akan mengurangkan tembusan sinaran cahaya matahari. Ini dapat mengurangkan silau dan menjadikan pemanduan anda lebih selesa.  

Ultraungu / Ultraviolet (UV)

Ultra Violet (UV) atau Ultraungu adalah bahagian spektrum gelombang elektromagnet yang dipancarkan matahari. Pendedahan kepada UV yang berlebihan boleh memberi kesan kepada kulit atau mata. 

Dalam tinted cermin kereta, nilai UV tinted cermin menunjukkan kadar peratusan UV yang boleh menembusi cermin kereta.

Semakin tinggi kadar peratusan UV tinted cermin kereta, semakin rendah kadar sinaran UV yang boleh menembusi cermin.

Anda disarankan untuk mendapatkan cermin gelap yang mempunyai kadar peratusan UV tinted yang lebih tinggi

Kadar peratusan UV tinted yang lebih tinggi akan mengurangkan tembusan sinaran UV. Selain menurunkan suhu di dalam kereta, ini dapat membantu mengurangkan risiko kesihatan seperti kanser kulit. 

Inframerah / Infrared (IR)

Dalam tinted cermin kereta, kadar peratusan Infrared (IR) atau Inframerah merujuk kepada jumlah haba yang dapat menembusi cermin kereta.

Semakin tinggi kadar peratusan IR tinted cermin kereta, semakin rendah tahap kepanasan di dalam kereta. 

Anda digalakkan untuk mendapatkan cermin gelap yang mempunyai kadar peratusan IR tinted yang lebih tinggi

Ini bertujuan untuk mengurangkan haba di dalam kereta anda. Selain dapat memandu dalam kereta yang lebih sejuk, ini dapat menjimatkan penggunaan bahan api apabila anda tidak perlu lagi menggunakan penyaman udara pada tahap yang maksimum. 

Jenis tinted cermin kereta

Terdapat pelbagai jenis tinted cermin kereta di pasaran yang mempunyai kelebihan masing-masing. Secara amnya, semua jenis cermin gelap mempunyai fungsi asas yang sama tetapi kadar keberkesanan serta harga mereka mungkin berbeza. 

Berikut dikongsikan 5 jenis tinted cermin kereta untuk pilihan anda:

Jenis tinted cermin kereta

Tinted Jenis Seramik (Ceramic Window Tint Film)

Tinted cermin jenis seramik berupaya menghalang hampir 99% sinaran UV dan lebih berkesan dalam menghalang penembusan haba dan cahaya matahari sehingga mampu mengurangkan hampir separuh suhu di dalam kereta. Tinted jenis ini juga dapat mengurangkan tahap silau tanpa perlu menambah kadar peratusan ketelusan cahaya cermin gelap. 

Selain itu, cermin gelap jenis seramik tidak mudah pudar dan tidak mengganggu isyarat radio. Tinted jenis ini juga mampu meningkatkan ketahanan cermin.

Tinted cermin jenis seramik dijual pada harga yang lebih mahal. 

Tinted Jenis Karbon (Carbon Window Tint Film)

Tinted cermin jenis karbon diperbuat daripada zarah fiber dan efektif dalam menghalang penembusan cahaya matahari. 

Cermin gelap jenis karbon mempunyai ciri penebat yang sangat baik dan dikatakan mampu mengurangkan sekitar 40% suhu di dalam kereta. 

Dari segi nilai estetika, cermin gelap jenis karbon mempunyai kemasan matte berdasarkan pandangan dari luar. Cermin jenis ini juga tidak mudah pudar.

Harga cermin gelap jenis karbon juga adalah lebih mahal tetapi bersesuaian dengan kualitinya. 

Tinted Jenis Celup (Dyed Window Tint Film)

Tinted jenis celup terdiri daripada beberapa lapisan filem yang dicelup yang berfungsi untuk menyerap cahaya matahari yang menembusi cermin. 

Cermin gelap jenis celup mempunyai kemampuan yang terhad untuk menghalang penembusan sinaran matahari serta lebih mudah pudar dan perlu diganti selepas beberapa ketika.

Harga untuk tinted jenis celup adalah lebih murah.

Tinted Jenis Logam (Metallized Window Tint Film)

Tinted jenis logam mempunyai partikel logam mikro yang berfungsi untuk memantulkan cahaya matahari. Cermin gelap jenis logam lebih berkesan berbanding cermin gelap jenis celup.

Tambahan lagi, cermin gelap jenis logam dapat menahan calar dan melindungi cermin kereta. Tetapi, penggunaan tinted cermin jenis ini boleh mengganggu isyarat radio atau GPS (Global Positioning System).

Tinted Jenis Hibrid (Hybrid Window Tint Film)

Tinted jenis hibrid ialah cermin gelap yang menggabungkan cermin gelap jenis celup dan jenis logam. Beberapa lapisan filem yang dicelup diselang-selikan dengan lapisan logam nipis.

Walaupun tinted kereta jenis hibrid adalah versi tinted cermin jenis celup dan logam yang lebih baik, cermin gelap jenis hibrid boleh lebih mengganggu isyarat radio berbanding cermin gelap jenis logam.

Dari segi perbandingan harga, cermin gelap jenis hibrid lebih mahal berbanding jenis celup tetapi lebih murah berbanding jenis logam.

Peraturan JPJ mengenai penggunaan tinted cermin kereta 

Berikut merupakan Kadar Ketelusan Cahaya atau Visible Light Transmission (VLT) tinted cermin kereta yang dibenarkan JPJ:

Peraturan JPJ mengenai penggunaan tinted cermin kereta

Untuk makluman anda, peraturan di atas tidak terpakai kepada kenderaan awam dan kenderaan perdagangan yang dibenarkan untuk menggunakan cermin gelap dengan kadar ketelusan cahaya tidak kurang daripada 70%.

Peraturan JPJ mengenai penggunaan tinted cermin kereta

Prosedur memohon cermin lebih gelap untuk cermin bahagian pemandu

Sekiranya anda memerlukan cermin yang lebih gelap untuk cermin bahagian pemandu atas faktor keselamatan atau kesihatan, anda boleh membuat permohonan kepada JPJ. 

Untuk makluman anda, setiap permohonan atas faktor keselamatan akan dikenakan fi keselamatan sebanyak RM50. Permohonan yang diluluskan pula akan dikenakan fi sebanyak RM5,000 untuk tempoh 2 tahun. Setelah tamat 2 tahun, anda perlu membuat permohonan semula.

Berikut merupakan prosedur ringkas permohonan menggunakan cermin lebih gelap untuk cermin bahagian pemandu: 

  1. Mengemukakan permohonan kepada Urusetia Bahagian Penguatkuasa JPJ & Cawangan
  2. Melengkapkan Borang CG1 dan melampirkannya bersama-sama salinan kad pengenalan dan salinan kad perakuan pendaftaran kenderaan (geran)
  3. Membuat permohonan secara berasingan bagi setiap kenderaan dan menandatangani setiap borang permohonan
  4. Mengemukakan dokumen sokongan untuk permohonan yang dibuat atas faktor keselamatan atau kesihatan untuk pertimbangan

Anda boleh layari laman web rasmi JPJ untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang syarat-syarat dan panduan permohonan penggunaan cermin gelap mengikut JPJ

Hukuman melanggar peraturan JPJ untuk tinted cermin kereta

Sekiranya anda melanggar peraturan yang telah ditetapkan JPJ untuk penggunaan cermin gelap, anda boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 6 bulan.

Untuk sabitan kali kedua dan seterusnya, anda boleh dikenakan denda tidak melebihi RM4,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali

Pemeriksaan cermin gelap oleh JPJ

Patuhi peraturan JPJ untuk tinted cermin kereta

Diharapkan perkongsian kami kali ini dapat membantu anda untuk tahu lebih lanjut mengenai cermin gelap atau tinted cermin kereta. Selain mengetahui tentang jenis dan cara memilih tinted cermin kereta, anda mesti mengikut peraturan yang telah ditetapkan JPJ. Ingat, pengguna yang tidak mengikut spesifikasi JPJ akan dikenakan tindakan. 

Selain itu, sekiranya insurans kereta anda sudah atau hampir tamat tempoh, jangan berlengah untuk renew insurans kereta anda. Renew insurans kereta anda di Bjak secara online dalam hanya 5 minit. Dapatkan sebut harga insurans kereta percuma di Bjak.my hari ini.