Pembayaran tempat letak kereta atau parking di Selangor akan dibuat secara dalam talian sepenuhnya bermula 1 April di semua daerah kecuali Sabak Bernam dan Hulu Selangor.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han seperti memetik laporan Free Malaysia Today, Selangor telah mula melaksanakan sistem itu secara berperingkat sejak 1 Januari lalu bagi memberi masa yang mencukupi kepada pemandu.
Beliau berkata, penggunaan kupon letak kereta dan pembayaran secara manual menggunakan mesin syiling akan berakhir pada 31 Mac ini.
Orang awam boleh memuat turun aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) di telefon bimbit
Katanya, orang ramai boleh membuat pembayaran letak kereta secara digital melalui aplikasi mudah alih Smart Selangor Parking (SSP). Aplikasi tersebut boleh dimuat turun melalui Aplikasi Apple Store, Google Play dan Huawei App Gallery.
Aplikasi ini memerlukan pengguna untuk mengisi nombor pendaftaran kereta mereka dan bayar mengikut tempoh waktu kereta diparkirkan.
“Bagi pemandu yang tidak mempunyai telefon pintar atau akaun perbankan dalam talian, mereka boleh membuat pembayaran dan membeli kredit tambah nilai untuk e-kupon di 100 kedai yang diiktiraf oleh pihak berkuasa tempatan,” katanya.
Beliau menambah, kedai-kedai tersebut akan memaparkan papan tanda “SSP” dan “e-kupon dijual di sini”.
Ng berkata pemandu boleh menukar kupon yang tidak digunakan kepada kredit melalui aplikasi SSP dari 16 Mac hingga 30 April.
“Tidak seperti sebelum ini, warga emas tidak perlu berjalan semula ke kereta mereka dan meletakkan resit yang dicetak kerana pembayaran direkodkan secara dalam talian untuk pegawai penguatkuasa menyemak secara maya,” tambah Ng.
Zon parkir kereta khas selama 2 jam di kawasan komersial yang sibuk
Sementara itu, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MBSJ) akan melaksanakan zon khas letak kereta dua jam yang dipanggil “Zon 2 Jam” tidak lama lagi.
Datuk Bandar Subang Jaya Johary Anuar berkata, MBSJ akan melaksanakannya di kawasan komersial terpilih di Subang Jaya dan Puchong.
Zon letak kereta khas yang sedang dalam pertimbangan termasuklah :
- USJ 9
- USJ 10
- SS19
- Bandar Puteri Puchong
- Bandar Sunway
Kadar bayaran parking bagi zon ini adalah sebanyak 60sen (RM0.60) untuk setengah jam atau RM1.20 bagi tempoh sejam.
“Kami menyasarkan untuk menyediakan kemudahan parkir kepada pengunjung ke kawasan itu daripada didominasi oleh mereka yang bekerja di sana,” katanya.
Beliau berkata kenderaan persendirian dan komersial hanya boleh meletakkan kenderaan untuk maksimum selama dua jam di tempat-tempat tersebut. Selepas mencapai had dua jam, mereka mesti mengosongkan tempat mereka.
MBSJ juga sedang berusaha untuk melaksanakan zon letak kereta khas di jalan dan kawasan lain.
Bjak menyediakan 15 syarikat insurans untuk pengguna lakukan perbandingan sebelum memperbaharui insurans. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak hari ini dan renew insurans kereta atau motosikal anda dengan mudah dan pantas.