Setuju tak kalau penulis kata, pada kebiasaannya, seseorang pemilik kereta hanya mementingkan perkara-perkara di bawah ini:
- Membayar ansuran bulanan kereta
- Menghantar kereta ke pusat servis untuk diservis
- Menukar tayar kereta apabila tiba masanya
Itu pasti antara perkara ‘basic’ yang sering diutamakan oleh ramai pemilik kereta bukan?
Namun sedarkah anda, terdapat satu perkara lain yang anda perlu utamakan juga iaitu menyimpan beberapa peralatan atau aksesori penting di dalam kereta sebagai persediaan jika berlaku kecemasan.
Mengapakah ia penting?
Anda kena sedar bahawa sebaik sahaja anda memandu kereta, anda sebenarnya terdedah dengan pelbagai risiko yang tidak dijangka. Kereta tiba-tiba rosak, wiper tiba-tiba tidak berfungsi ketika hujan, kereta tiba-tiba terkunci dari dalam, dan sebagainya.
Ya, kecemasan boleh berlaku pada bila-bila masa sama anda hanya membabitkan kenderaan anda sahaja atau pun bersama kenderaan lain. Justeru sebagai seorang pemilik kereta yang bijak dan berhemah, anda sangat digalakkan untuk membuat persediaan rapi dengan menyimpan beberapa peralatan atau aksesori ini sebagai persediaan jika berlaku kecemasan.
Ingin ketahui apakah ia? Jom teruskan membaca artikel ini.
Peralatan penting yang perlu disimpan di dalam kereta
Tukul cermin pelbagai fungsi
Tukul cermin adalah antara peralatan penting yang perlu disimpan di dalam setiap kereta.
Mengapa? Jawapannya mudah. Ia mampu menyelamatkan nyawa anda dan penumpang sekiranya berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini. Contohnya, anda terperangkap dalam kereta akibat kemalangan atau kereta anda terjunam ke dalam sungai sehingga tidak boleh membuka pintu. Jadi di sinilah bagaimana tukul cermin ini akan memainkan peranannya.
Semestinya, fungsi utama tukul cermin adalah untuk membantu anda memecahkan cermin kereta ketika kecemasan. Jadi, tukul cermin ini direka khas untuk memecahkan cermin kereta anda tanpa memerlukan banyak kekuatan.
Justeru, penting untuk anda memilikinya serta simpan di tempat yang mudah dicapai seperti di laci bawah kerusi penumpang depan.
Anda boleh mendapatkannya di mana-mana kedai elektrik, kedai peralatan menjual aksesori dan peralatan rumah, malah juga beli secara atas talian seperti di Shopee. Harga untuk sebiji tukul ini tidak mahal pun. Sebagai contoh di Shopee, peralatan ini dijual pada harga kurang RM20 sahaja. Jadi, jika anda belum ada, dapatkanlah ia sekarang sebelum anda menyesal suatu hari nanti.
Botol air saiz 1.5 liter dan ke atas
Bayangkan minyak kenderaan anda habis ditengah jalan dan stesen minyak hanya beberapa meter daripada tempat anda kehabisan minyak. Apakah yang perlu anda lakukan?
Di sinilah sebenarnya botol air kosong tersebut boleh digunakan. Sekiranya keadaan itu berlaku, anda boleh terus berjalan ke stesen minyak berdekatan dan isikan minyak ke dalam botol tersebut untuk diisikan kemudian ke dalam tangki minyak kenderaan anda.
Kit pertolongan cemas
Kit pertolongan cemas seringkali sinonim untuk disimpan di dalam rumah sahaja dan bukannya di dalam kereta.
Apa kata selepas ini, anda turut sediakan satu kit pertolongan cemas ini di dalam kereta anda. Yelah, kecemasan boleh berlaku pada bila-bila masa, tanpa mengira tempat kan? Kit ini pastinya akan berguna jika berlaku kecederaan pada diri anda dan penumpang, bukan hanya jika kereta anda terlibat dalam kemalangan jalan raya, tetapi juga kecederaan lain.
Apakah yang perlu ada dalam kit kecemasan anda? Antara kelengkapan asasnya adalah:
- Pembersih antiseptik ringan
- Kain kasa pengelap
- Kapas
- Gunting
- Pita pelekat
- Kain anduh tiga segi
- Pek penyejuk segera
- Sarung tangan
- Plaster
- Termometer
- Minyak/Minyak angin
- Ubat-ubatan ringan seperti panadol, ubat tahan sakit
Seperti biasa, anda boleh mendapatkannya secara offline mahupun online seperti di laman Shopee. Harganya juga tidaklah mahal. Semestinya, di bawah RM100 pun boleh dapat, bergantung kepada berapa perkara asas yang ada di dalam kit itu.
Untuk lebih memudahkan anda, belilah kit yang bersaiz kompak supaya senang disimpan di dalam kereta anda.
Jaket keselamatan pembalik cahaya
Jaket keselamatan yang digunakan kebanyakannya mempunyai ciri pantulan cahaya yang amat berguna khususnya pada waktu malam dan juga sesetengah keadaan lain.
Sekiranya kenderaan anda rosak pada waktu tengan malam dan di kawasan gelap, anda boleh memakai jaket ini bagi memastikan anda boleh dilihat oleh pengguna jalan raya lain dan seterusnya mengelakkan sebarang kemalangan yang tidak diingini.
Anda boleh membeli jaket ini di laman beli-belah Shopee pada harga kurang daripada RM20 sahaja.
Segi tiga amaran
Jangan pandang remeh mengenai peralatan ini. Segi tiga amaran penting untuk digunakan dalam situasi kecemasan atau kerosakan pada kereta anda. Anda perlu meletakkan papan tanda ini sekurang-kurangnya 45 meter dari arah belakang kereta anda yang sedang rosak atau kemalangan sebagai tanda amaran kepada pengguna jalan raya yang lain.
Tahukah anda, sesetengah negara akan mengenakan kompaun jika pemilik kenderaan gagal meletakkan peralatan ini ketika kecemasan? Malah, kebanyakan negara di Eropah turut mewajibkan penggunaan segi tiga amaran dalam situasi kecemasan seperti di Perancis, Belgium, Itali dan Sepanyol.
Di laman beli-belah online popular seperti Shopee, peralatan ini dijual pada harga sekitar RM20 hingga RM50 sahaja. Jadi, dapatkannya sekarang jika anda masih belum ada peralatan ini di dalam kereta anda.
Payung
Ini adalah peralatan yang dianggap paling basic yang anda perlu sediakan. Sebolehnya, setiap kenderaan dikehendaki untuk meletakkan sekurang-kurangnya sekaki payung di dalam kereta.
Mana tidaknya, jika berlaku hujan lebat dan anda perlu ke sesuatu tempat pada masa itu, anda pastinya memerlukan payung ini untuk membantu anda pergi ke tempat yang ingin dituju tanpa membasahkan diri anda.
Selain itu, payung juga akan membantu melindungi diri anda daripada cuaca panas sekiranya kenderaan secara tiba-tiba rosak di atas jalan raya.
Tayar ganti dan peralatan menukar tayar
Di dalam setiap kereta, pastinya ada sebiji tayar ganti untuk digunakan ketika kecemasan. Ia merupakan komponen yang sangat penting terutamanya jika anda memulakan perjalanan jarak jauh.
Namun, anda jangan lupa untuk memastikan kondisi tayar ganti tersebut berada pada tahap yang baik. Kerap juga periksa kandungan angin tayar ganti anda sama ada ia mencukupi atau tidak. Segera tukar tayar ganti anda jika ia berada dalam keadaan yang tidak memuaskan.
Selain tayar, anda juga perlu memastikan bahawa peralatan untuk menukar tayar seperti bicu (jack) dan soket perengkuh (lug wrench) atau sepanar roda turut ada di dalam kereta. Ini bagi memudahkan urusan anda untuk menukar tayar lebih lancar dan mudah. Dalam pada itu, jika kereta anda menggunakan sport rim lain, sila pastikan juga nut khas untuk membuka rim sentiasa ada di dalam kereta anda!
Alat pemadam api
Sebenarnya, alat pemandam api merupakan salah satu peralatan penting yang perlu ada dalam semua kenderaan. Peralatan ini bukan sahaja membantu untuk memadamkan kebakaran melibatkan kenderaan anda, malah juga kenderaan lain yang memerlukannya.
Alat pemadam api 1kg jenis serbuk kering sesuai digunakan untuk kereta persendirian. Letakkan peralatan ini di bawah tempat duduk penumpang hadapan bagi memudahkan anda untuk mencapainya apabila keadaan mendesak nanti.
Jangan letakkan ia di bawah tempat duduk pemandu kerana sifatnya yang mudah bergolek sehingga ‘tertekan’ pedal mungkin akan membahayakan anda.
Kabel jumper kereta
Enjin kereta anda boleh mati pada bila-bila masa, tanpa mengira tempat dan masa. Jadi, untuk elakkan anda daripada ‘tersadai’ dengan begitu lama di tepi jalan raya, anda bolehlah menggunakan kabel ‘jumper’ kereta untuk menghidupkan kembali kereta anda.
Anda boleh membeli kabel jumper di mana-mana kedai aksesori kereta ataupun secara online. Harganya adalah sekitar RM50 dan ke bawah sahaja. Selain itu, ada juga kabel jumper kereta jenis mudah alih di jual di pasaran di mana ia hanya menggunakan powerbank khas tanpa perlu menggunakan kuasa daripada kenderaan lain. Semestinya lebih mudah bukan!
Powerbank
Semasa kecemasan, telefon anda mungkin juga sedang kehabisan bateri dan anda memerlukan sumber kuasa untuk mengecasnya semula. Di sinilah bagaimana powerbank akan membantu anda.
Pastikan anda sentiasa membawa bersama powerbank ke mana sahaja terutama perjalanan jauh. Namun jangan lupa untuk pastikan powerbank tersebut dicas penuh terlebih dahulu ya!
Tapi kan boleh charge dalam kereta?
Ya, walaupun sesetengah kereta mempunyai built-in charger, namun anda perlu juga memikirkan kebarangkalian lain yang boleh menghalang anda daripada menggunakannya. Contohnya, bateri kereta habis dan enjin kereta anda tidak dapat dihidupkan.
Dengan powerbank, anda bolehlah mengecas semula telefon bimbit, dan seterusnya meminta bantuan kecemasan daripada pihak yang sepatutnya.
Dashcam
Kamera dashcam adalah salah satu aksesori yang semakin popular terutamanya dalam kalangan pemilik kereta. Ia diketahui berfungsi untuk merakam perjalanan anda dan seterusnya membantu untuk menjadi saksi penting jika anda atau kenderaan di sekeliling anda pada ketika itu terlibat dalam kemalangan jalan raya.
Dalam perkongsian sebelum ini, kami telah berkongsikan kepada anda mengenai ciri-ciri penting yang perlu ada sebelum anda membeli dashcam. Jadi, anda bolehlah rujuk dulu artikel tersebut untuk membantu anda sebelum mendapatkannya.
Ingat, walaupun dashcam tidak diwajibkan untuk dimiliki oleh setiap pemilik kereta, namun ia mampu membantu anda ketika keadaan mendesak kelak. Jika kekurangan bajet, anda juga boleh mendapatkannya secara online pada harga kurang RM100. Lihat senarai ‘Top Sales’ dashcam ini bagi panduan anda.
Jadi pemilik kereta yang berhemah
Kebanyakan peralatan-peralatan di atas dijual pada harga mampu milik. Sebagai seorang pemilik kereta, anda sememangnya perlu memiliki senarai peralatan di atas kerana ia bakal membantu menyelamatkan anda ketika memerlukan. Jangan ambil remeh mengenai perkara ini, kerana kemalangan atau kerosakan pada kereta boleh berlaku pada bila-bila masa.
Bjak menyediakan lebih 10 jenama insurans untuk pengguna lakukan perbandingan. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak dan pilih pelan terbaik hari ini!
Baca juga: