Apabila melibatkan tentang tuntutan insurans kereta, rata–rata daripada kita pasti akan menganggap proses itu rumit, memakan masa dan memerlukan kesabaran yang tinggi. Apatah lagi, jika berlaku sebarang permasalahan ketika proses tuntutan sehingga menyebabkan tuntutan kita ditolak.
Pertikaian atau salah faham juga sering berlaku ketika proses tuntutan. Beberapa isu mungkin dibangkitkan apabila ada pihak yang tidak berpuas hati dengan syarat yang dinyatakan.
Justeru pada artikel kali ini, Bjak akan kongsikan kepada anda beberapa persoalan, permasalahan atau situasi yang mungkin berlaku membabitkan tuntutan insurans kereta bagi pemahaman bersama.
Apakah jenis tuntutan insurans kereta yang saya boleh kemukakan?
Terdapat 3 jenis tuntutan insurans yang anda boleh kemukakan, bergantung kepada kejadian kemalangan. Jika anda di pihak yang bersalah, anda boleh membuat tuntutan insurans kerosakan sendiri, namun dengan syarat anda adalah pemegang insurans kereta 1st party. Namun, jika anda bukan di pihak yang bersalah, anda boleh membuat tuntutan pihak ketiga atau tuntutan knock-for-knock untuk proses yang lebih cepat.
Lesen memandu saya telah tamat tempoh ketika kemalangan. Bolehkah saya membuat tuntutan insurans?
Ya, tuntutan insurans masih boleh dibuat, asalkan pada ketika itu insurans kereta dan roadtax anda masih sah. Dari segi undang-undang, anda masih memiliki lesen memandu yang sah, cuma terlupa untuk memperbaharuinya sahaja. Namun, anda akan dikenakan kompaun mengikut Seksyen 26(1) APJ iaitu denda maksimum RM300 untuk kesalahan tersebut (memandu tanpa lesen yang sah).
Saya tiada lesen memandu langsung, namun terlibat kemalangan. Bolehkah saya membuat tuntutan insurans?
Tidak. Tuntutan insurans tidak akan dilayan oleh pihak insurans jika berlaku kemalangan membabitkan pemandu yang langsung tidak mempunyai lesen. Sama juga jika seseorang itu hanya memiliki lesen motosikal, tetapi semasa kemalangan dia memandu kereta.
Rakan saya cedera akibat pemanduan saya. Bolehkah saya claim insurans untuk tanggung kos rawatannya?
Boleh, asalkan polisi insurans anda itu mempunyai perlindungan tambahan liabiliti undang-undang kepada penumpang.
Perlindungan tambahan ini akan melindungi anda daripada sebarang liabiliti undang-undang atas kecederaan tubuh atau kematian penumpang akibat pemanduan anda. Jika tiada, maka kos rawatan rakan anda itu perlu dibayar menggunakan wang anda sendiri.
Kereta saya terlanggar divider jalan, bolehkah saya membuat tuntutan insurans?
Boleh, asalkan anda adalah pemegang polisi komprehensif. Tuntutan itu perlu dibuat di bawah tuntutan kerosakan sendiri kerana kemalangan itu tidak melibatkan pihak lain dan berpunca dari diri anda sendiri. Selepas tuntutan dibuat, kadar NCD anda akan kembali ke kadar 0%.
Kereta saya rosak di tepi jalan namun bukanlah disebabkan oleh kemalangan. Bolehkah saya claim insurans untuk tanggung kos pembaikan kereta?
Jika anda adalah pemegang polisi komprehensif, anda masih boleh mendapatkan perkhidmatan tunda percuma daripada syarikat insurans. Bagaimanapun, anda tidak boleh membuat tuntutan insurans bagi membaiki kerosakan pada kereta anda itu. Mudah kata, anda perlu menggunakan wang anda sendiri untuk membaiki kereta anda yang telah rosak.
Kenapa tuntutan insurans saya ditolak?
Terdapat sebab atau situasi di mana tuntutan insurans kereta anda boleh ditolak. Antaranya adalah kerana tiada laporan polis, pemandu penyebab kemalangan tidak dinamakan di dalam polisi, bentuk tuntutan yang anda kemukakan itu tidak termasuk dalam polisi, maklumat yang diberikan tidak tepat atau kemalangan disebabkan pemanduan ketika mabuk.
Apa perlu saya buat jika terbabit dalam kemalangan langgar lari?
Terdapat beberapa jenis situasi langgar lari yang mungkin anda akan alami.
i) Anda nampak nombor pendaftaran kenderaan kereta pelaku. Jadi sila segera buat laporan polis dan maklumkan juga kepada syarikat insurans anda.
ii) Anda tidak nampak nombor pendaftaran kenderaan kereta pelaku. Pilihan yang anda adalah bayar sendiri kerosakan kereta anda itu atau claim insurans di bawah tuntutan kerosakan sendiri. Kesannya, NCD anda akan terjejas.
iii) Pihak lain mendakwa bahawa kemalangan itu adalah salah anda. Jika polis atau mahkamah tidak dapat menentukan pihak yang bersalah, tiada sesiapa yang akan memenangi tuntutan berkenaan. Ini bermakna, anda tidak akan dapat menuntut insurans daripada pihak lain. Jadi, anda hanya boleh menuntut daripada polisi komprehensif anda sendiri, atau membayar sendiri kerosakan tersebut.
iv) Pihak yang satu lagi tidak diinsuranskan/ mempunyai insurans. Anda boleh merayu melalui cara undang-undang jika pihak yang satu lagi tidak mempunyai perlindungan insurans yang sah.
Jika mahkamah memutuskan untuk memihak kepada anda, maka pihak yang satu lagi perlu membayar ganti rugi kepada anda menggunakan wang sendiri dan dia akan turut dikenakan denda oleh mahkamah kerana memandu secara haram.
Berapa kalikah saya boleh membuat tuntutan insurans kereta?
Kebanyakan perlindungan insurans tidak mengehadkan bilangan tuntutan yang boleh anda failkan. Bermakna, tiada had atau sekatan terhadap bilangan tuntutan yang dibenarkan di bawah polisi anda dalam setahun.
Kemalangan akibat mabuk, bolehkah saya claim insurans?
Tidak, jika anda adalah puncanya. Ini kerana, di Malaysia, memandu di bawah pengaruh alkohol adalah pengecualian umum untuk insurans kereta. Bagaimanapun jika anda adalah mangsa kemalangan, maka anda boleh membuat tuntutan pihak ketiga daripada pihak tersebut.
Bolehkah saya failkan insurans tanpa laporan polis?
Anda boleh memfailkan tuntutan insurans tanpa laporan polis. Bagaimanapun, kesalahan atau kerosakan yang dialami mungkin lebih sukar untuk dibuktikan. Proses itu juga mungkin mengambil masa lebih lama berbanding jika laporan polis difailkan.
Laporan polis juga merupakan bukti penting dan diperlukan sekiranya terdapat tuntutan mahkamah daripada pihak lain. Jadi sebaiknya, anda membuat laporan polis lebih-lebih jika kemalangan membabitkan kenderaan lain dan kecederaan. Ini bagi mengurangkan risiko tuntutan anda ditolak oleh syarikat insurans.
Bjak menyediakan lebih 10 jenama insurans untuk pengguna lakukan perbandingan. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak dan pilih pelan terbaik hari ini!
Baca juga: