Skip to content
Home » Raya 2022: Jadual Cadangan Waktu Perjalanan oleh PLUS

Raya 2022: Jadual Cadangan Waktu Perjalanan oleh PLUS

    Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA)

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengesyorkan pengguna lebuh raya untuk mengikut jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) Balik Kampung dan Pulang Ke Bandar pada musim perayaan Aidilfitri bagi perjalanan raya pada 29 April hingga 9 Mei 2022.

    Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, ia bagi mengelakkan kesesakan daripada memasuki lebuh raya secara serentak di laluan-laluan utama lebuh raya, plaza tol dan kawasan rehat, sekaligus mengurangkan kesesakan.

    “Ini adalah kali pertama selepas 2 tahun menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), rakyat Malaysia dibenarkan pulang ke kampung halaman untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri.

    “Kami menjangka kira-kira 2 juta kenderaan, iaitu peningkatan sebanyak 25 peratus berbanding 1.6 juta kenderaan sehari yang menggunakan lebuh raya kami.

    “Oleh itu, sila jangkakan kesesakan dan ia mungkin memanjangkan tempoh perjalanan anda. Jadi, kami menggesa dan menasihatkan pelanggan lebuh raya untuk mematuhi jadual perjalanan TTA yang dikeluarkan bagi merancang perjalanan Balik Kampung dan Pulang Ke Bandar,” katanya.

    Zakaria berkata pengguna lebuh raya dijangka akan mengalami tempoh perjalanan yang lebih lanjang di lebuh raya jika mereka enggan mematuhi jadual TTA ini.

    “Ia berdasarkan simulasi pola perjalanan trafik pada musim perayaan, bagi pelanggan lebuh raya dari Utara ke Lembah Klang, mereka dijangka akan mengalami tempoh perjalanan sehingga 10 jam atau dua kali lebih panjang daripada purata tempoh perjalanan sekiranya memasuki lebuh raya selepas jam 9:00 pagi.

    “Manakala, tempoh perjalanan dari Selatan ke Lembah Klang pula bakal mencecah sehingga 7 jam atau dua kali lebih panjang berbanding purata tempoh perjalanan sekiranya memasuki lebuh raya pada masa yang sama iaitu selepas jam 9:00 pagi.

    “Kami mencadangkan pengguna lebuh raya dari Lembah Klang yang menuju ke destinasi lebih jauh seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara) dan Johor untuk memasuki lebuh raya lebih awal iaitu sebelum jam 10:00 pagi. Sementara itu, bagi mereka yang menuju ke lokasi yang lebih dekat atau ke negeri-negeri lain dinasihatkan untuk memasuki lebuh raya selepas jam 1:00 petang,” katanya lagi.

    Dapatkan maklumat trafik dari PLUS

    Untuk kelancaran perjalanan sempena musim perayaan ini, pelanggan lebuh raya boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi Twitter @PLUSTrafik, Aplikasi PLUS, talian PLUSLine 1800-88-0000, Chatbot PUTRI, papan tanda elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih serta mengikuti laporan trafik terkini menerusi siaran-siaran radio utama negara.

    Dalam pada itu, anda turut disaran untuk menggunakan Aplikasi PLUS, Waze atau Google Map bagi mendapatkan pelan perjalanan yang lebih baik.

    Ingat, rancang perjalanan anda dengan baik. Periksa juga kenderaan anda sebelum memulakan perjalanan. Semoga anda dan keluarga sampai ke destinasi dengan selamat.


    Bjak menyediakan lebih 10 jenama insurans untuk pengguna lakukan perbandingan. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak dan pilih pelan terbaik hari ini!

    Baca juga:

    Tags: