Skip to content
Home » Takaful Insurans Kereta: Definisi, Keistimewaan, Senarai Syarikat Takaful Terbaik dan Lain-lain

Takaful Insurans Kereta: Definisi, Keistimewaan, Senarai Syarikat Takaful Terbaik dan Lain-lain

    TAKAFUL KERETA

    Selain insurans kereta konvensional, pemilik kenderaan di Malaysia juga mempunyai pilihan untuk mendapatkan perlindungan menerusi takaful kereta.

    Justeru, artikel kali ini akan menerangkan kepada anda mengenai takaful insurans kereta dengan lebih terperinci dan seterusnya membantu menjawab persoalan yang mungkin pernah bermain di fikiran anda mengenainya.

    Definisi Takaful

    Takaful mengenakan konsep yang berteraskan kerjasama

    Takaful merupakan satu konsep insurans yang berlandaskan hukum syariah di mana ia bebas daripada tiga unsur yang dilarang oleh Islam iaitu riba’, gharar (ragu-ragu) dan masyir (judi). Takaful mengenakan konsep yang berteraskan kerjasama, yang mana segala risiko dikongsi/ ditanggung bersama oleh syarikat insurans termasuk semua pihak di bawah perlindungan takaful.

    Takaful ditubuhkan di Malaysia sebagai satu alternatif untuk individu khususnya umat Islam beralih daripada syarikat insurans konvensional kepada perlindungan yang lebih mematuhi syariah Islam.

    Apakah fungsi takaful insurans kereta?

    Takaful kereta memainkan peranan yang sama dengan insurans konvensional iaitu untuk melindungi pemegang polisi dan/atau pihak ketiga sekiranya berlaku kemalangan, kerosakan pada kenderaan dan harta benda, kebakaran dan kecurian, bergantung kepada polisi yang dipilih.

    Secara amnya, takaful insurans kereta melindungi pemilik kenderaan daripada menanggung kos yang besar terhadap sebarang kerosakan atau kerugian akibat kejadian-kejadian yang dinyatakan di atas. 

    Apakah ciri-ciri/ keistimewaan takaful

    Terdapat tiga ciri utama takaful kereta iaitu perkongsian risiko, polisi tiada tuntutan serta patuh syariah seperti yang dijelaskan di bawah:

    Perkongsian risiko – Takaful menawarkan perkongsian risiko sesama ahli di bawah takaful tersebut dan tidak hanya ditanggung oleh sebelah pihak sahaja.

    Polisi tiada tuntutan –  Ia adalah salah satu keistimewaan dalam perlindungan takaful. Sekiranya anda tidak pernah membuat sebarang tuntutan sepanjang polisi berjalan, maka syarikat takaful akan memberikan ganjaran kepada anda berbentuk rebat tunai. Rebat tunai biasanya ditentukan oleh syarikat takaful itu sendiri dan jumlahnya adalah tidak tetap.

    Patuh syariah – Ini adalah perkara yang paling penting diterapkan dalam perlindungan takaful. Semua perlindungan takaful mestilah mematuhi segala undang-undang syariah dan bebas daripada unsur yang dilarang oleh Islam seperti unsur faedah atau interest, perjudian dan keraguan.

    Ciri-ciri takaful

    Apakah perbezaan antara takaful kereta dan insurans konvensional?

    Seperti yang dinyatakan tadi, takaful dan insurans konvensional berkongsi objektif yang sama iaitu untuk melindungi pemegang sijil dan/atau pihak ketiga dalam kes kemalangan jalan raya, kerosakan kepada kereta dan harta benda, kebakaran atau kecurian, tertakluk kepada sijil yang dipilih.

    Namun, meskipun kedengaran sama, sebenarnya terdapat perbezaan antara takaful dan insurans konvensional. Perbezaan paling utama ialah takaful bebas daripada unsur yang dilarang agama Islam iaitu Riba’ (faedah), Gharar (ragu-ragu) serta Maysir (perjudian). 

    Untuk panduan anda, berikut merupakan jadual ringkasan perbezaan antara takaful dan insurans konvensional:

    Perbezaan antara takaful dan insurans konvensional

    Apakah jenis-jenis takaful kereta yang ada di pasaran?

    Seperti insurans konvensional, takaful kereta juga mempunyai tiga jenis polisi iaitu polisi komprehensif, pihak ketiga, kebakaran dan kecurian dan akhir sekali, pihak ketiga.

    Komprehensif 

    Polisi takaful kereta komprehensif menawarkan perlindungan yang paling menyeluruh kepada pemilik kereta. Polisi ini melindungi pemilik kereta daripada kerugian atau kerosakan harta benda sendiri dan tuntutan pihak ketiga yang merangkumi kerugian atau kerosakan harta benda pihak terbabit, serta kecederaan atau kematian yang disebabkan oleh kenderaan anda.

    Kebiasaannya, polisi komprehensif diwajibkan untuk kereta baharu dan kereta yang berusia sehingga 10 tahun. 

    Pihak ketiga, kebakaran dan kecurian

    Polisi takaful kereta pihak ketiga, kebakaran dan kecurian menyediakan perlindungan untuk  pemandu daripada tuntutan pihak ketiga yang merangkumi kerugian atau kerosakan harta benda, serta kecederaan atau kematian yang disebabkan oleh kenderaan anda.

    Selain itu, polisi ini turut menawarkan perlindungan tambahan yang akan melindungi kenderaan anda jika berlaku kejadian seperti kebakaran atau kecurian.

    Polisi ini lebih sesuai bagi kenderaan yang berusia 10 tahun ke atas dan kenderaan yang jarang digunakan.

    Pihak ketiga

    Polisi takaful pihak ketiga adalah polisi perlindungan yang paling asas dan hanya melindungi pihak ketiga sahaja. 

    Perlindungan yang diberikan merangkumi kerosakan atau kerugian ke atas harta benda pihak ketiga, serta kecederaan dan kematian pihak tersebut akibat kemalangan yang disebabkan oleh anda.

    Kerosakan pada kenderaan anda perlu dibaiki menggunakan wang anda sendiri.

    Di bawah merupakan ringkasan perbezaan ketiga-tiga jenis polisi takaful kereta:

    Jenis-jenis polisi takaful kereta

    Bolehkah orang bukan Islam membeli takaful?

    Jawapannya adalah ya. Meskipun takaful menyediakan perlindungan mengikut syariah, namun tidak bermakna ia hanya ditawarkan kepada orang Islam sahaja. Sesiapa sahaja boleh mengambil perlindungan Takaful termasuklah individu yang bukan beragama Islam. 

    Apakah pula hukumnya umat Islam mengambil insurans kereta konvensional? 

    Berdasarkan kepada perbezaan-perbezaan yang dikongsikan di atas, ia menyatakan bahawa insurans konvensional mempunyai beberapa unsur yang dilarang oleh Islam iaitu unsur riba’ (faedah), gharar (ragu-ragu) dan juga maysir (judi).

    Bagi umat Islam sendiri, mencari yang halal untuk dimakan atau digunakan adalah wajib dan merupakan suatu perkara yang difardukan oleh Allah.

    Justeru, menurut Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MJFK), berdasarkan kepada keputusan mengenai perbahasan tentang status insurans konvensional, ia menyatakan bahawa secara umumnya semua jenis insurans konvensional termasuk insurans kereta adalah haram kerana mempunyai tiga unsur seperti yang telah dinyatakan di atas.

    Di manakah boleh dapatkan pelan takaful insurans kereta terbaik?

    Berdasarkan laman web Persatuan Takaful Malaysia atau Malaysian Takaful Association (MTA), terdapat empat syarikat atau pengendali takaful kereta di Malaysia iaitu Etiqa Takaful, Takaful Malaysia, Takaful Ikhlas, dan Zurich Takaful.

    Etiqa Takaful

    Etiqa Takaful

    Etiqa Takaful merupakan salah satu syarikat takaful kereta terbaik di Malaysia yang mana ia mengikuti prinsip seperti berikut:

    Memberi perlindungan untuk semua pemandu – Pemegang polisi tidak perlu meletakkan senarai nama pemandu lain di dalam polisi kerana Etiqa Takaful menyediakan manfaat perlindungan untuk semua pemandu secara percuma dan automatik tanpa tambahan premium.

    Nilai yang dipersetujui, bukan nilai pasaran – Tuntutan anda akan dibayar mengikut nilai yang dipersetujui semasa pembaharuan. Ini bermakna sekiranya kereta anda dicuri atau rosak teruk (total lost) akibat kemalangan, anda akan diberi pampasan dengan jumlah penuh yang diinsuranskan. 

    Tiada excess – Sesetengah syarikat insurans meminta anda untuk membayar sebahagian kos untuk kerosakan sendiri apabila terlibat dalam kemalangan, yang mana ia dipanggil sebagai excess. Dengan prinsip ‘tiada excess’ yang disediakan oleh Etiqa Takaful ini, maka anda (pemandu berusia 21 tahun ke atas) tidak perlu membayar sebahagian kos untuk kerosakan tersebut.

    Kereta ihsan percuma selepas kemalangan – Etiqa Takaful menawarkan kereta ihsan percuma selama 14 hari. Ia adalah manfaat yang sangat jarang diberikan oleh mana-mana syarikat takaful atau insurans lain dan berguna terutamanya jika anda sangat bergantung kepada satu-satunya kereta anda sebagai pengangkutan harian.

    Bacaan lanjut:

    Helaian pendedahan produk Etiqa Takaful untuk kereta persendirian (komprehensif)

    Kontrak sijil Etiqa Takaful untuk kereta persendirian (komprehensif)

    Takaful Malaysia

    Takaful Malaysia

    Menerusi myMotor, Takaful Malaysia menyediakan perlindungan untuk kenderaan anda daripada kerugian dan kerosakan serta tanggungjawab undang-undang untuk pihak ketiga.

    Takaful myMotor menyediakan dua jenis perlindungan untuk dipilih iaitu:

    Perlindungan komprehensif – Pampasan akan diberikan untuk kerugian, atau kerosakan pada kenderaan sendiri akibat daripada kemalangan, kecurian atau kebakaran yang tidak disengajakan. Polisi ini juga turut melindungi pihak ketiga daripada kecederaan, kematian dan kerugian serta kerosakan harta benda; dan

    Perlindungan pihak ketiga, kebakaran dan kecurian – Pampasan akan dibayar sekiranya berlaku kematian, atau kecederaan terhadap pihak ketiga, serta kerosakan atau kerugian pada kenderaan pihak tersebut. Perlindungan pada kenderaan anda bagaimanapun terhad kepada sebarang kerugian atau kerosakan yang disebabkan oleh kebakaran, letupan, kilat, rompakan, pecah rumah atau kecurian sahaja.

    Sama seperti Etiqa Takaful, Takaful Malaysia turut memberikan perlindungan untuk semua pemandu secara percuma. Malah lebih menarik, syarikat ini turut menyediakan perlindungan kemalangan peribadi secara percuma bernilai RM15,000 yang diberikan kepada setiap pemandu dan penumpang sekiranya kematian tidak sengaja atau keilatan kekal ketika dalam perjalanan atau sedang turun dari kenderaan.

    Selain itu, pemegang polisi juga berpeluang untuk mendapatkan pulangan tunai sekiranya tidak pernah membuat tuntutan sebanyak 7.5%.

    Bacaan lanjut:

    Helaian pendedahan produk Takaful Malaysia untuk kereta persendirian (komprehensif)

    Kontrak sijil Takaful Malaysia untuk kereta persendirian (komprehensif)

    Takaful Ikhlas

    Takaful Ikhlas

    Takaful Ikhlas juga merupakan salah satu syarikat takaful kereta terbaik di Malaysia yang turut menyediakan perlindungan komprehensif bagi kerosakan atau kerugian pada kenderaan anda akibat kemalangan, kecurian atau kebakaran yang tidak disengajakan. Ia juga turut melindungi daripada liabiliti terhadap pihak ketiga untuk kecederaan atau kematian, kerosakan atau kerugian harta benda.

    Selain itu, Takaful Ikhlas memberikan manfaat percuma untuk 10 pemandu tambahan, selain turut menyediakan insurans kemalangan peribadi khusus untuk pemilik dengan jumlah perlindungan sebanyak RM10,000. Bukan itu sahaja, syarikat takaful ini turut menawarkan pengecualian excess wajib untuk pemandu yang tidak dinamakan. Manfaat lain ialah bayaran balik fi untuk penggunaan perkhidmatan pengangkutan awam sehingga RM100, semasa kereta anda dibaiki di panel workshop.

    Bacaan lanjut:

    Helaian pendedahan produk Takaful Ikhlas untuk kereta persendirian (komprehensif)

    Kontrak sijil Takaful Ikhlas untuk kereta persendirian (komprehensif)

    Zurich Takaful

    Zurich Takaful

    Sama seperti Takaful kereta yang lain, Zurich Takaful turut menyediakan perlindungan terhadap liabiliti kepada pihak ketiga untuk kecederaan atau kematian, kerosakan harta benda pihak ketiga dan juga kerosakan pada kenderaan sendiri akibat daripada kemalangan, kecurian atau kebakaran. 

    Polisi komprehensif Takaful Zurich menerusi produk Z-Driver Takaful menyediakan perlindungan tambahan kemalangan peribadi untuk peserta dengan mengenakan bayaran serendah RM15 setahun untuk perlindungan sehingga RM175,000, tertakluk kepada terma dan syarat. Pelan tambahan ini dapat melindungi anda serta seluruh keluarga anda atau mana-mana penumpang lain di dalam kereta anda. 

    Selain itu, anda juga boleh menerima perlindungan percuma pemandu dinamakan untuk kegunaan peribadi.  Apa yang lebih menarik, anda juga boleh memilih untuk menambah perlindungan waiver of betterment (pengecualian kos penambahbaikan) yang mana hanya sesetengah syarikat insurans sahaja menyediakan perlindungan tambahan ini.

    Bacaan lanjut:

    Helaian pendedahan produk Zurich Takaful untuk kereta persendirian (komprehensif)

    Kontrak sijil Zurich Takaful untuk kereta persendirian (komprehensif)

    Antara takaful kereta dan insurans konvensional, perlindungan manakah yang patut diambil?

    Kedua-duanya memberikan fungsi yang sama, iaitu untuk menyediakan perlindungan buat pemilik kenderaan daripada sebarang risiko seperti kemalangan, kecurian atau kebakaran. 

    Namun dinasihatkan, untuk umat Islam, mereka wajib mengambil perlindungan yang tidak mempunyai unsur diharamkan oleh agama.

    Bandingkan perlindungan Takaful kereta

    Diharapkan perkongsian kami di atas dapat membantu anda untuk membezakan serta memilih antara takaful kereta dan insurans konvensional kereta.

    Seperti yang telah disebutkan, sesiapa sahaja boleh membeli perlindungan takaful untuk kereta. Namun, sebelum bersetuju untuk mendapatkan sebarang jenis perlindungan, bandingkan dahulu pelan takaful yang ada di pasaran untuk memastikan pelan yang dipilih bersesuaian dengan tahap penggunaan, bajet serta keperluan anda. 

    Anda boleh membandingkan keempat-empat takaful yang disenaraikan di atas melalui platform online Bjak. Minta sebut harga percuma dan renew takaful kereta anda secara online di Bjak.


    Bjak menyediakan 15 syarikat insurans untuk pengguna lakukan perbandingan sebelum memperbaharui insurans. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak hari ini dan renew insurans kereta atau motosikal anda dengan mudah dan pantas.

    Baca juga: