Gearbox kereta…
Untuk pemilik kenderaan, anda pasti tahu bahawa kos untuk membaiki gearbox kereta rosak akan menelan belanja yang sangat banyak. Jadi bagi mengelakkan ia daripada berlaku, anda perlu sentiasa peka dan mengenal pasti tanda-tanda yang akan ‘membawa’ kepada kerosakan pada gearbox kereta supaya langkah awal boleh diambil.
Bagaimana gearbox kereta berfungsi?
Mungkin masih ramai yang belum tahu bagaimana gearbox kereta berfungsi.
Sebenarnya, fungsi utama gearbox adalah bagi mendapatkan kelajuan yang berbeza dan sesuai mengikut keadaan dan beban pada kenderaan, memindahkan tenaga, menyesuaikan daya penukaran dan berada pada posisi neutral untuk menghidupkan enjin.
Tanda gearbox kereta mulai rosak
Untuk makluman anda, kos untuk membaiki gearbox auto boleh mencecah hingga ribuan ringgit. Jadi sebelum bertambah parah, anda perlu kenali tanda awal kerosakan gearbox kereta agar lebih mudah dan seterusnya mengelakkan anda daripada terbeban dengan masalah kewangan yang besar.
Berikut merupakan tanda-tanda awal gearbox kereta anda sudah rosak.
Sukar untuk menukar gear
Antara tanda awal gearbox kereta rosak adalah masalah ketika ingin menukar gear, atau gear sukar masuk. Kesukaran yang dialami adalah seperti semasa ingin memulakan pemanduan, proses untuk menukar gear menjadi lambat dan tidak seperti kebiasaan.
Ia juga sering berlaku pada waktu pagi di mana minyak gear masih dalam keadaan sejuk dan keadaan getah seal masih keras. Walau bagaimanapun, ia mungkin tidak normal jika kerap berlaku.
Terdapat sentakan yang kuat
Keadaan ini berlaku apabila timbul bunyi sentakan yang kuat ketika anda ingin menukar gear seperti dari gear P ke D atau N ke D.
Jika ia berlaku, anda perlu segera menghantar kereta ke bengkel untuk melakukan pemeriksaan sebelum kondisi gearbox bertambah teruk.
RPM menjadi tinggi
Seterusnya, antara tanda lain yang menunjukkan gearbox kereta anda mulai rosak adalah apabila bacaan RPM pada kereta naik menjadi tinggi dan ia tidak kembali kepada asal walaupun selepas gear bertukar.
Enjin kereta berbunyi kuat
Jika anda mendapati bahawa enjin kereta ada mengeluarkan bunyi yang kuat setiap kali penukaran gear auto berlaku, maka ini mungkin menandakan bahawa clutch plate dalam gearbox auto telah habis ataupun nipis.
Kereta tidak dapat bergerak
Jika kereta anda tidak bergerak walaupun tombol gear sudah dimasukkan ke D, maka ia menunjukkan bahawa gearbox kereta anda sudah mengalami kerosakan yang teruk. Antara kerosakan yang boleh berlaku adalah seperti valve body tersumbat, sensor dan valve body rosak.
Gear bertukar kepada N atau D pada meter
Jika anda mendapati gear secara tiba-tiba bertukar pada keadaan N atau D pada meter, maka ia mungkin turut menjadi tanda bahawa gearbox anda bakal rosak. Keadaan ini juga sebenarnya sangat merbahaya dalam pemanduan dan mungkin terdapat kerosakan pada valve body gearbox auto anda.
Mengapa kerosakan pada gearbox boleh berlaku?
Antara sebab-sebab kerosakan pada gearbox kereta boleh berlaku adalah kerana:
- Tidak pernah menukar oil filter gearbox auto
- Penukaran minyak auto tidak mengikut jadual
- Tidak pernah periksa paras minyak gear auto
- Tidak pernah tukar minyak gear auto
Untuk pengetahuan anda, minyak auto perlu ditukar apabila perjalanan kenderaan mencapai 20,000km bagi mengelakkan berlakunya kerosakan serius pada gearbox auto.
Cara untuk menjaga gearbox kereta automatik
Cara penjagaan gearbox jenis automatik adalah tidak mudah, dan anda perlu melakukan penjagaan yang rapi bagi memastikan gearbox anda sentiasa berada dalam kondisi terbaik dan memiliki jangka hayat yang panjang.
Justeru, berikut merupakan tips asas penjagaan gearbox automatik yang perlu anda ketahui:
Tukar minyak Automatic Transmission Fluid (ATF)
Minyak ATF atau turut dikenali sebagai minyak kotak gear transmisi automatik perlu diganti setahun sekali, bergantung pada cara pemanduan anda. Minyak ATF yang telah lama digunakan mengandungi enapan-enapan minyak dan serpihan besi yang boleh menyebabkan keadaan minyak menjadi likat, seterusnya boleh merosakkan prestasi gearbox kereta anda dan menyebabkan suhu di dalamnya lebih tinggi daripada biasa.
Selain itu, minyak ATF yang kotor juga berpontensi untuk menyebabkan penapis (auto filter) di dalam gearbox menjadi tersumbat. Apabila penapis tersebut tersumbat dengan enapan dan serpihan besi di dalam minyak likat, ia secara langsung akan membuatkan pertukaran gear menjadi tidak lancar semasa dalam pemanduan.
Ganti penapis (auto filter) gearbox kereta
Model-model kereta yang baru kebanyakannya mempunyai 2 jenis penapis di dalam gearbox. Salah satunya berada pada bahagian dalaman gearbox di mana ianya tidak perlu diganti melainkan gearbox mengalami masalah kritikal dan perlu menjalani proses overhaul. Manakala, lagi satu penapis berada pada bahagian oil sum gearbox.
Pastikan penapis diganti mengikut jadual ataupun setiap kali anda servis minyak ATF. Sekiranya anda tidak pasti sama ada gearbox kereta anda memiliki penapis yang boleh diganti ataupun tidak, sila tanya kepada yang lebih pakar seperti mekanik.
Beri penjagaan rapi
Diharapkan perkongsian ini dapat membantu anda memahami kepentingan penjagaan gearbox dan mengenal pasti tanda-tanda awal kerosakannya bagi mengelakkan anda daripada menanggung kos pembaikan yang besar kelak.
Bjak menyediakan 15 syarikat insurans untuk pengguna lakukan perbandingan sebelum memperbaharui insurans. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak hari ini dan renew insurans kereta atau motosikal anda dengan mudah dan pantas.