Sudah terlalu banyak kemalangan jalan raya yang membabitkan kereta, lori mahupun trak bersama motosikal dilaporkan setiap hari. Di Malaysia, statistik mendedahkan bahawa lebih 60% kemalangan yang berlaku di jalan raya adalah melibatkan penunggang motosikal sepanjang tempoh 20 tahun. Bahkan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) memetik laporan Utusan pada tahun lalu memaklumkan bahawa secara purata 20% daripada 500,000 kemalangan yang dilaporkan setiap tahun adalah melibatkan kemalangan motosikal.
Sudah tentu, salah satu faktor kejadian ini berlaku adalah kerana kecuaian kedua-dua penunggang motosikal dan pemandu kenderaan pacuan empat roda.
Penunggang motosikal biasanya lebih terdedah kepada risiko kemalangan kerana mereka tidak mempunyai perlindungan yang sama seperti kenderaan lain.
Justeru pada artikel kali ini, Bjak akan kongsikan kepada anda beberapa tips keselamatan yang boleh digunakan oleh pemandu kereta untuk mengurangkan risiko kemalangan dengan motosikal.
Tips apabila berkongsi jalan raya bersama penunggang motosikal
Berikut adalah tips bagi membantu memastikan anda dan penunggang motosikal selamat ketika di atas jalan raya.
Hati-hati dengan titik buta
Antara punca paling biasa berlakunya pelanggaran dengan motosikal adalah apabila pemandu tidak perasan atau sedar tentang keberadaan penunggang motosikal berdekatannya.
Berdasarkan perbandingan saiz, motosikal sememangnya lebih kecil dan pantas berbanding kenderaan lain. Secara amnya, mereka akan sering menukar lorong dan keadaan ini menyebabkan anda perlu menjadi lebih peka terhadap keberadaan mereka di atas jalan raya.
Jadi, sangat penting untuk anda untuk menolehkan sedikit kepala bagi memeriksa kawasan titik buta dan memastikan keadaan selamat sebelum menukar lorong.
Berhati-hati ketika cuaca buruk
Berbeza dengan pemandu kereta, penglihatan penunggang motosikal mungkin lebih terjejas ketika cuaca hujan. Mereka akan lebih mudah tergelincir dan jatuh di permukaan jalan yang licin. Keadaan berangin juga boleh menyebabkan mereka hilang kawalan terhadap kenderaan mereka ketika di jalan raya.
Jadi sebagai pemandu kereta, sila amalkan sikap empati dan bertimbang rasa. Perlahankan kenderaan anda bagi mengelak daripada berlaku pelanggaran dengan penunggang motosikal.
Nyalakan lampu signal
Penunggang motosikal tidak dapat meramal langkah anda. Jadi, sila nyalakan lampu signal kereta anda lebih awal jika anda ingin menukar lorong atau membelok. Ini akan membantu penunggang motosikal untuk memperlahankan kenderaan lebih awal dan seterusnya mengelakkan kemalangan.
Kekal di lorong anda
Berkongsi satu lorong dengan motosikal berpotensi menyebabkan bahaya.
Sila elak menggunakan lorong yang sama dan memandu berdekatan dengan motosikal. Jika boleh, sila berada di belakang atau di hadapan mereka, seperti yang anda lakukan dengan mana-mana kenderaan lain.
Beri jarak selamat
Pastikan anda mengekalkan jarak selamat semasa mengekori motosikal. Gunakan peraturan 3 saat untuk memastikan anda dan pengguna jalan raya yang lain selamat.
Ini akan memberi anda ruang dan masa untuk bertindak balas sekiranya penunggang motosikal di hadapan anda perlahankan motornya secara tiba-tiba.
Bagaimana untuk anda dapatkan jarak yang selamat?
Pilih objek tetap di jalan, seperti papan tanda, pokok, tiang lampu jalan atau tanda lain. Apabila motosikal di hadapan anda melepasi objek tetap tersebut, mulakan kiraan sehingga tiga. Jika anda melepasi titik yang sama sebelum mencapai tiga saat, ini bermakna anda memandu terlalu dekat dengan motosikal.
Jadi, anda perlu perlahankan kenderaan untuk meningkatkan jarak di antara anda dengan motosikal.
Pandu berhati-hati pada waktu malam, matikan lampu tinggi
Menunggang motosikal pada waktu malam adalah agak merbahaya. Jadi sebagai pemilik kereta yang prihatin, pastikan anda mendapatkan jarak yang selamat apabila melihat motosikal dari arah hadapan. Jangan cuba memandu melepasi mereka.
Sila pastikan juga lampu tinggi kereta anda dimatikan. Cahayanya adalah sangat terang dan boleh mengganggu penglihatan penunggang motosikal serta kenderaan lain.
Pandu selamat untuk keselamatan motosikal dan pengguna jalan raya lain
Dengan mengikuti langkah-langkah ini, anda secara tidak langsung membantu memastikan keselamatan penunggang motosikal di jalan raya.
Penunggang motosikal tidak mempunyai perlindungan yang sama seperti pemandu lain, jadi kecederaan mereka lebih teruk jika terbabit dalam kemalangan. Jadi, adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai pemandu kereta untuk menjadi lebih prihatin terhadap keselamatan pengguna jalan raya lain termasuk penunggang motosikal.
Bjak merupakan platform perbandingan insurans kereta terbesar di Malaysia yang menyediakan 15 syarikat insurans untuk pengguna lakukan perbandingan. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak hari ini dan renew insurans kereta atau motosikal anda dengan mudah dan pantas.
Baca juga: