Skip to content
Home » Tuntutan Insurans: Apa Perlu Anda Buat Jika Terlibat Dalam Kemalangan Langgar Lari?

Tuntutan Insurans: Apa Perlu Anda Buat Jika Terlibat Dalam Kemalangan Langgar Lari?

    Claim insurans

    Terbabit dalam kejadian kemalangan langgar lari sememangnya sangat mendukacitakan. Anda mungkin tahu atau tidak tahu siapa yang melanggar kereta anda. Ia boleh jadi mengelirukan terutamanya ketika ingin menuntut pampasan insurans bagi membaiki kerosakan yang kenderaan anda alami.

    Bukankah ia amat menyusahkan apabila kita tidak mempunyai butiran yang diperlukan bagi membuat tuntutan insurans?

    Namun, jangan risau. Terdapat beberapa langkah yang boleh anda ambil di tengah-tengah kekeliruan tersebut. Teruskan membaca kerana kami akan kongsikan kepada anda beberapa cara yang boleh dilakukan bagi membantu anda menangani situasi malang ini.

    Apa yang diklasifikasikan sebagai kemalangan langgar lari?

    Kemalangan langgar lari boleh disifatkan sebagai kes di mana pemandu melanggar kenderaan lain dan tidak berhenti selepas kejadian. Mereka dengan sengaja meninggalkan tempat kejadian tanpa memberikan butiran untuk dihubungi. 

    Berikut adalah contoh kemalangan langgar lari:

    • Sebuah kenderaan melanggar anda ketika memandu dan memecut laju tanpa berhenti
    • Seorang pemandu melanggar kereta anda di parkir namun tidak meninggalkan sebarang maklumat yang boleh dihubungi.

    Apa yang perlu dilakukan selepas kemalangan itu?

    Bagaimana untuk membuat tuntutan insurans jika berlaku kemalangan langgar lari?

    Terdapat beberapa jenis situasi langgar lari yang mungkin anda akan alami. Selepas dilanggar oleh pemandu yang tidak bertanggungjawab, mereka mungkin melarikan diri daripada tempat kejadian.

    Anda mungkin bernasib baik jika berjaya melihat kereta mereka untuk mendapatkan butiran. Contohnya adalah model kereta, dan nombor pendaftaran kenderaan. Maklumat tersebut mungkin sudah cukup untuk anda mengesannya.

    Walau bagaimanapun, dalam beberapa kes, pelaku mungkin memecut laju tanpa memberi anda peluang untuk melihat kereta mereka – termasuklah nombor plat. Sukar bagi anda untuk mengesannya jika tidak mempunyai sebarang butiran mengenai kenderaan terbabit. Tanpa berlengah lagi, ayuh kami huraikan dengan lebih lanjut tentang beberapa kemungkinan senario lain dan perkara yang boleh anda lakukan untuk menuntut insurans.

    Senario A: Anda mempunyai nombor pendaftaran kereta pelaku

    • Buat laporan polis

    Sila pergi ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan. Pastikan anda melakukannya dalam tempoh 24 jam selepas kemalangan. Berikan butiran yang diperlukan mengenai pihak yang bersalah.

    Laporan polis adalah bukti penting untuk melindungi diri anda daripada sebarang tuntutan pihak ketiga yang tidak dijangka atau tuntutan kecederaan peribadi.

    • Laporkan kepada syarikat insurans anda

    Pastikan anda maklumkan kepada syarikat insurans dengan segera tentang situasi anda. Mereka akan membantu dan menasihati anda untuk mengambil langkah seterusnya yang diperlukan. Contohnya, pembaikan kereta dan prosedur untuk memfailkan tuntutan.

    Anda tidak perlu membuat tuntutan di bawah polisi insurans anda. Anda boleh membuat tuntutan kerosakan tanpa kesalahan (no-fault damage claim) jika anda mengalami kemalangan kereta yang disebabkan oleh pihak ketiga. Sekiranya anda membuat tuntutan kerosakan tanpa kesalahan, ia juga tidak akan menjejaskan kadar NCD anda. 

    Senario B: Anda tidak mempunyai nombor pendaftaran kereta pelaku

    • Bayar sendiri

    Hantar kereta anda untuk dibaiki dan bayar sendiri tanpa menuntut daripada mana-mana syarikat insurans (termasuk insurans anda). Anda boleh mempertimbangkan untuk menampung kos kerosakan sendiri jika ia adalah kerosakan kecil. Secara tidak langsung, anda boleh mengekalkan kadar NCD anda dengan cara ini.

    • Tuntutan daripada insurans anda

    Anda boleh membuat tuntutan daripada syarikat insurans anda bagi kos pembaikan di bawah “Tuntutan Kerosakan Sendiri“. Walau bagaimanapun, ini hanya boleh dilakukan jika anda adalah pemegang polisi komprehensif.

    Kesannya, anda akan kehilangan kelayakan NCD anda.

    Senario C: Pihak lain mendakwa bahawa kemalangan itu adalah salah anda

    Satu lagi senario yang boleh berlaku adalah anda dituduh sebagai punca kemalangan tersebut terjadi. Ini boleh menjadi masalah jika anda tidak mempunyai bukti atau saksi untuk menentang tuduhan itu.

    Jika polis atau mahkamah tidak dapat menentukan pihak yang bersalah, tiada sesiapa yang akan memenangi tuntutan berkenaan. Ini bermakna, anda tidak akan dapat menuntut insurans daripada pihak lain. Dalam kes ini, anda hanya boleh menuntut daripada polisi komprehensif anda sendiri, atau membayar sendiri kerosakan tersebut.

    Senario D: Pihak yang satu lagi tidak diinsuranskan/ mempunyai insurans

    Ketiadaan insurans adalah salah satu sebab mengapa pelaku mungkin melarikan diri dari tempat kejadian.

    Anda boleh merayu melalui cara undang-undang jika pihak yang satu lagi tidak mempunyai perlindungan insurans yang sah.

    Jika mahkamah memutuskan untuk memihak kepada anda, maka pihak yang satu lagi perlu membayar ganti rugi anda menggunakan wang sendiri dan turut dikenakan denda oleh mahkamah kerana memandu secara haram.

    Hati-hati dengan kemalangan langgar lari

    Banyak perkara boleh berlaku apabila anda memandu di jalan raya atau semasa anda meninggalkan kereta tanpa pengawasan. Walau apa pun, sila berhati-hati dan berwaspada dengan persekitaran anda.

    Jangan panik jika anda menghadapi mana-mana senario yang dikongsikan di atas. Kami berharap artikel ini akan membantu anda pada masa akan datang. Jika anda tidak pasti cara insurans anda mengendalikan kes langgar lari, sila lakukan semakan dengan syarikat insurans anda.


    Bjak merupakan platform perbandingan insurans kereta terbesar di Malaysia yang menyediakan 15 syarikat insurans untuk pengguna lakukan perbandingan. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak hari ini dan renew insurans kereta atau motosikal anda dengan mudah dan pantas.

    Baca juga: